Sunday, February 22, 2009

JUMHUR

Soalan : Kenapa dok turut pendapat syaukani sedangkan JUMHUR kita kebelakang kan.Apa kita ingt alasan2 yg didatang olh syaukani JUMHUR tak tahu.Kemudian,kesemua ulama 4 tu adlh mujtahid mutlak,manakala syaukani?,,,Kita bukan merendah2kan beliau sbg yg jg sebagai ulama,tetapi siapa dia berbanding dengan JUMHUR.

Jawapan :

Yang menjadi hujjah dalam Islam ialah Ijmak ulamak, bukan jumhur ulamak. Ijmak tidak boleh dipertikai, tetapi jumhur masih harus dipertikai. Tidak semestinya pandangan jumhur yang rajih. Adakalanya yang rajih ialah pandangan yang bukan jumhur. Ukuran rajih bukan terletak pada pandangan itu dari jumhur (majoriti) atau dari bukan jumhur, tetapi terletak pada dalil yang dikemukakan. Bukan sahaja Imam Syaukani yang pernah menyalahi jumhur, malah ulamak-ulamak besar sebelumnya juga pernah menyalahi jumhur. Mereka bukan sengaja nak tunjuk diri hebat, tetapi itulah kejujuran mereka dalam memberi pandangan. Walaupun menyedari akan ada orang akan menghina atau mengutuk mereka -khusus oleh golongan taksub mazhab- kerana menyalahi jumhur, namun yang menjadi penilaian mereka bukan keredhaan manusia tetapi keredhaan Allah. Ulamak hari ini makan gaji. Kalau tak makan gaji pun, bagi kuliah dapat saguhati. Ulamak dulu, berkhidmat tanpa gaji. Mengajar pula, tiada saguhati. Ulamak hari ini tulis buku dapat royalti. Ulamak dulu tulis buku hanya mengharap pahala dari Allah (royalti di akhirat). Imam Syaukani salah seorang dari ulamak mukhlisin tersebut. Beliau telah menghasilkan karya yang cukup hebat iaitulah Nailul-Autar yang menjadi rujukan oleh ulamak-ulamak Timur Tengah termasuk ulamak-ulamak al-Azhar khusus dalam Muqaranah al-Mazahib.
Contoh pandangan-pandangan yang menyalahi jumhur;
1. Pandangan Imam Syafi'ie; menyentuh wanita bukan mahram membatalkan wudhuk. Jumhur ulamak kata tidak batal. Adakah jumhur tak tahu dalil Imam Syafi'ie? Dan adakah Imam Syafi'ie pula tidak tahu dalil jumhur? Di antara yang bersama jumhur ialah Imam Ahmad (murid Imam Syafi'ie). Adakah Imam Ahmad tidak tahu dalil Imam Syafi'ie?
2. Pandangan Imam Abu Hanifah; bacaan al-Fatihah tidak wajib. Sedangkan jumhur ulamak berkata; wajib. Adakah Imam Abu Hanifah tidak mengetahui dalil jumhur hingga beliau menyalahinya?
3. Banyak lagi contoh jika hendak dikemukakan.
Dalam sejarah dunia Islam sejak dari Nabi Muhammad dibangkitkan hingga ke hari ini belum ada seorang ulamak pun yang diizinkan Allah untuk menghimpun kaum muslimin di bawah pandangan/mazhabnya. Sehebat-hebat Imam Malik, banyak pandangannya tidak dipersetujui oleh muridnya Imam Syafiie hingga muncul selepasnya mazhab Syafi'ie. Sehebat-hebat Imam Syafi'ie, banyak juga pandangannya tidak dipersetujui oleh muridnya Imam Ahmad hingga timbul selepasnya mazhab Hanbali.
Begitulah kehendak Allah. Allah ingin agar ada kepelbagaian pandangan di kalangan umat Islam kerana banyak hikmahnya, antaranya untuk memberi kemudahan kepada kaum muslimin. Kerana itu dikatakan; "Perbezaan pandangan di antara ulamak adalah rahmat bagi umat".
Kita yang hidup di akhir zaman ini perlu berterima kasih kepada ulamak-ulamak terdahulu. Mereka bukan maksum, tetapi mereka telah melakukan sesuatu untuk umat yang datang selepas mereka. Kalau tidak kerana kejujuran mereka sudah tentu tidak akan ada perbezaan pandangan -kerana orang hidup bermuka-muka atau untuk mengambil hati orang lain ia tidak akan berani untuk memberi pandangan menyalahi orang lain walaupun hatinya menghendaki sebaliknya-. Begitu juga, kalau tidak kerana mereka yang gigih menulis dan merekodkan pandangan ulamak-ulamak sebelum mereka, nescaya teraba-rabalah orang hari ini mencari pendapat dan pandangan.
Kita yang hidup hari ini jangan sekali-kali berkata; "siapa Syaukani....(atau mana-mana ulamak yang lain)", tetapi lebih baik kita berkata; "siapalah saya nak mengkritik Syaukani...(atau mana-mana ulamak yang lain)". Dia telah menghasil karya/penulisan yang ribuan/puluhan/ratusan ribu ulamak telah membaca dan mengambil manfaat darinya, sedangkan kita belum tahu apa yang akan kita tinggalkan untuk umat selepas kita.
"Umat tersebut telah berlalu (sejarah mereka). Bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan" (al-Baqarah; 141).

Taman yang indah ialah yang dihiasi dengan pelbagai bunga. Jika hanya satu jenis bunga, tidak berseri taman. Begitu lah indahnya Fiqh Islam dengan kepelbagaian pandangannya. Terserah kepada kitalah untuk memetik mana satu bunga pilihan kita. Yang tidak kita petik, jadikan ia hiasan mata kita. Itu pun jika kita mampu memetik. Jika tidak mampu memetik, jadikan ke semuanya sebagai hiasan mata.
Wallahu a'lam.




Post a Comment