Tuesday, July 28, 2009

MELEWATKAN SOLAT ISYAK DAN MASA SOLAT TAHAJJUD

Soalan :
Assalamualaikum ustaz, Saya sering tidur awal tanpa solat isyak dan saya bangun awal pagi,
dalam sekitar pukul 4.30 pagi untuk solat isyak dan terus bersolat tahajud. Saya pernah diberitahu untuk bersolat tahajud, saya perlu solat isyak dan tidur dahulu kemudian bangun semula barulah saya boleh menunaikan solat tahajud, betulkah begitu ustaz dan adakah cara saya melakukan solat isyak beserta solat tahajud itu tidak betul?

Jawapan :

1. Sengaja melewat-lewatkan solat isyak hingga melebihi ½ atau 1/3 malam adalah tidak digalakkan kerana sebaik-baiknya solat dilaksanakan di awal waktu. Lagipun, sebahagian ulamak/mazhab ada yang berpandangan; waktu solat isyak tidaklah berterusan hingga masuk subuh, akan tetapi setakat 1/3 atau ½ malam sahaja. Berdasarkan pandangan ini, sesiapa sengaja melewat-lewatkan solat isyak hingga melepasi sepertiga malam atau separuhnya, ia berdosa kecuali kerana suatu keuzuran. (Sila baca lebih lanjut dalam blog ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2009/02/waktu-solat-isyak.html).

2. Adapun hadis yang menceritakan Rasulullah s.a.w. melewatkan solat isyak, maksudnya ialah melewatkannya hingga ke sepertiga malam atau seperduanya sahaja. Ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w.;

Jika tidak kerana bimbang akan memberatkan umatku, nescaya aku akan suruh mereka supaya melewatkan solat Isyak hingga ke sepertiga malam atau separuhnya” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)

3. Mengenai solat Tahajjud, ia termasuk dalam ibadah malam. Ibadah malam atau Qiyamullail masanya bermula dari awal malam (iaitu selepas isyak) dan berterusan hingga azan subuh. Ia boleh dilakukan sebelum tidur atau selepasnya. Namun yang terbaik ialah melakukannya selepas tidur terutamanya di penghujung malam kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Solat paling baik selepas solat fardhu ialah solat di penghujung malam. Puasa yang paling baik selepas bulan Ramadhan ialah puasa di bulan Muharram” (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut ulamak, maksud hujung malam dalam hadis di atas ialah sepertiga malam yang akhir. Pada saat itu, Allah SWT turun ke langit dunia sebagaimana sabda Nabi s.a.w.;

“Tuhan kita turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih masih tinggal sepertiganya yang akhir. Ia berkata; ‘Mana orang yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan perkenankan untuknya doanya. Mana orang yang memohon kepadaku, maka aku akan berikan kepadanya (permohonannya). Mana orang yang meminta ampun dariKu, maka aku akan ampuninya’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Solat sunat yang dilakukan selepas tidur itulah yang dinamakan tahajjud. Firman Allah s.a.w.;

“Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajjud (sebagai satu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji” (al-Isra’, ayat 79).

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya; “Tahajjud ialah ibadah malam yang dilakukan selepas tidur”.

Cara terbaik untuk menghidupkan malam ialah dengan membahagikan malam kepada enam bahagian; tidur di tiga bahagian awalnya (yakni separuh malam), kemudian bangun bertahajjud pada dua bahagian selepas itu dan tidur semula pada satu bahagian yang hujung, iaitu sebelum azan subuh. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.;

“Sesungguhnya solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud a.s. iaitu ia tidur separuh malam (yang awal), ia bangun solat sepertiganya dan ia tidur semula di seperenamnya. Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud; ia berpuasa sehari dan ia berbuka sehari”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin ‘Amru r.a.).

Kesimpulannya, untuk melakukan ibadah atau solat malam (solat witir, solat sunat taubah, solat istikharah, solat tasbih, solat sunat mutlak di malam hari, membaca al-Quran, berzikir dan sebaginya) tidaklah disyaratkan tidur terlebih dahulu. Namun jika kita hendak mengambil fadhilat solat malam yang paling baik dan mengikuti kebiasaan Nabi s.a.w., maka digalakkan kita tidur terlebih dahulu dan bangun mengerjakan tahajjud selepas pertengahan malam.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Mugni al-Muhtaj, 1/313.

2. al-Iqna’ (Imam Ibnu al-Munzir), hlm. 81.

3. Fiqh al-Ibadaat (Syeikh Hasan al-Ayyub), hlm. 296.

4. al-Fiqh al-Wadhih, 1/261.

5. al-Mughni, Ibnu Qudamah, 2/89-90.

6. Faidhul-Qadier, syarah hadis no. 1256.

2 comments:

 

Copyright © LAMAN SOAL JAWAB AGAMA Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger