Monday, July 19, 2010

KANAK-KANAK MEMBACA BUKU SEKS

Soalan; Saya ada beberapa soalan ...
1 . Apakah Hukum membaca Buku mengenai Seks bagi mereka yang bawah umur mahupun yang sudah mencapai umur baligh tetapi belum berkahwin?
Jazakallah hu kharian kasiro

Jawapan;

Di antara perkara yang ingin dibendung oleh Islam ialah penyelewengan seks. Kerana itu, Islam mengharamkan zina dan segala perkara yang mendorong kepada zina. Islam meletakkan peraturan dan undang-undang bahawa seseorang tidak boleh melampiaskan keinginan seksnya melainkan kepada isteri atau hamba yang dimilikinya;

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan yang sia-sia, dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat), dan mereka yang menjaga kemaluan mereka kecuali kepada isteri mereka atau hamba (perempuan) yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas” (al-Mukminun, ayat 1-7).

Apabila kita ingin memperkatakan pendirian Islam tentang buku seks, pengertian buku seks itu perlu difahami dengan jelas apa maksudnya? Jika ia bermaksud buku yang memaparkan gambar-gambar lucah atau porno, maka hukumnya adalah haram bukan sahaja kepada kanak-kanak, malah kepada orang dewasa termasuk yang telah beristeri. Adalah haram di sisi agama seorang lelaki melihat aurat wanita yang bukan mahramnya dan seorang wanita melihat aurat lelaki yang bukan mahramnya. Di dalam surah an-Nur, Allah memerintahkan kedua-dua lelaki dan wanita agar menjaga pandangan mata masing-masing;

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)” (an-Nur, ayat 30).

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)” (an-Nur, ayat 31)

Jika ia bermaksud buku yang mengajar tentang panduan seks yang normal, adab-adab jimak atau sebagainya yang memberi panduan kepada orang-orang yang bakal menjadi suami atau isteri supaya dapat menempuh alam perkahwinan dalam keadaan saling mehamami antara satu sama lain iaitu suami dapat belajar bagaimana jiwa dan fizikal seorang perempuan dan isteri pula dapat belajar bagaiman jiwa dan fizikal seorang lelaki, buku sebegini hanya harus dibaca oleh orang-orang yang akan menempuh alam perkahwinan sahaja. Adapun kepada kanak-kanak atau remaja yang masih jauh dari alam perkahwinan, membaca buku-buku sebegini dibimbangi akan meransang nafsu seksnya dan ia melampiaskannya mengikut jalan yang diharamkan Syarak (zina, onani atau sebagainya). Jadi, atas dasar saddan lizzarai’ (yakni menutup jalan-jalan yang membawa kepada dosa dan maksiat) adalah haram bagi kanak-kanak atau remaja membaca buku-buku seperti itu dan haram ibu-bapa membiarkannya.

Di dalam al-Quran dan as-Sunnah kita dapat perhatikan Allah dan RasulNya memerintahkan ibu-bapa agar mengambil langkah berjaga-jaga dari mendedahkan anak-anak kepada seks atau membukan ruang yang boleh menjebakkan mereka kepada perlakuan seks, antaranya;

1. Perintah supaya mengajar anak-anak agar meminta izin sebelum memasuki kamar ibu dan ayahnya. Anak-anak yang telah baligh, mereka hendaklah meminta izin setiap ketika sebelum masuk. Adapun anak-anak yang belum baligh dikecualikan pada tiga waktu iaitu waktu tengahari, selepas isyak dan sebelum subuh (kerana waktu-waktu ini adalah waktu biasa terdedah aurat ibu-bapa).

“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menaggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu” (ayat 58).

Ayat di atas berkenaan anak-anak yang belum baligh. Adapun anak-anak yang telah baligh, Allah berfirman;

“Dan jika anak-anak di kalangan kamu telah sampai umur bermimpi (yakni umur baligh), hendaklah mereka meminta izin (untuk memasuki bilik) sebagaimana meminta izin orang-orang lain sebelum mereka (yakni orang-orang yang disentuh oleh ayat sebelum ini). Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah adalah maha mengetahui lagi maha bijaksana” (ayat 59).

2. Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasalallam memerintahkan; apabila anak-anak sampai umur sepuluh tahun hendaklah dipisahkan tempat tidur di antara anak lelaki dan anak perempuan.

وعن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُم قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم: <مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع، واضربوهم عليها وهم أبناء عشر، وفرقوا بينهم في المضاجع> حديث حسن رواه أبو داود بإسناد حسن.
“Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka telah berumur tujuh tahun. Pukullah mereka jika meninggalkan solat apabila mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah antara mereka (yakni antara anak lelaki dan anak perempuan) pada tempat-tempat tidur” (HR Abu Daud dari ‘Amru bin Syu’aib yang meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini adalah hasan. Lihat; Riyadhussalihin, bab wujubi amrihi ahlahu wa auladahu al-mumayyiziin…).

Menurut ulamak; Nabi menghimpunkan antara arahan mengerjakan solat dan memisahkan tempat tidur tujuannya ialah untuk mendidik anak-anak dengan sikap menjaga perintah Allah, mengelak diri dari perkara yang mendatangkan tohmah (keraguan/tuduhan orang lain) pada dirinya dan menjauhi larangan Allah. (Faidhul-Qadier, no. 8174)

3. Allah melarang wanita-wanita beriman dari mendedahkan aurat mereka di hadapan kanak-kanak yang telah mula mengerti aurat wanita walaupun belum mencapai usia baligh. Firman Allah dalam surah an-Nur (bermaksud);“Dan janganlah mereka (yakni perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan”. (an-Nur, ayat 31).

Dalam ayat di atas, Allah menyebutkan beberapa lelaki yang diharuskan kepada wanita untuk membuka aurat mereka. Di hadapan kanak-kanak lelaki, Allah hanya membenarkan wanita membuka aurat di hadapan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Ini bermakna, di hadapan kanak-kanak yang telah mengerti aurat, dilarang berlaku pendedahan tersebut. (Untuk keterangan lebih lanjut tentang hal ini, sila baca jawapan saya sebelum ini tentang “Aurat wanita di hadapan kanak-kanak 12-15 tahun).

Kita perhatikan hari ini apabila arahan Allah dan Rasul diabaikan di mana pendedahan aurat dan seks kepada kanak-kanak berlaku secara terang-terangan dan berleluasa –melalui televisyen, filem, majalah dan sebagainya- akibatnya penyelewengan seks tidak dapat dibendung lagi di kalangan remaja di mana ramai remaja yang terlibat dengan zina (hingga melahirkan anak luar nikah), khalwat, onani dan sebagainya.

Peringkat kanak-kanak dan remaja ialah peringkat yang perlu disemai ilmu dan penghayatan agama secukupnya. Pepatah Arab berkata; “التعليم في الصغار كالنفش على الحجر” (Pengajaran yang diberikan ketika kecil umpama memahat di atas batu). Maksud pepatah ini ialah; ilmu yang kita ajar kepada anak-anak kita ketika ia kecil, ilmu itu tidak akan hilang buat selama-lamanya sebagaimana tidak akan hilang ukiran di atas batu walaupun masa berlalu begitu lama. Jadi, jika ilmu agama yang kita semai ke dalam jiwa anak kita, insya Allah ilmu itu akan kekal dalam dirinya hingga akhir hayatnya, malah hingga ke zuriatnya. Namun jika yang kita semai dalam jiwa anak kita ialah nafsu dan keseronokan, maka anak kita akan membesar, mendewasa (dan mungkin juga mati) dengan dibelenggu oleh nafsu dan keseronokan tersebut.

Wallahu a’lam.
Post a Comment