Sabtu, 3 Julai 2010

PASANGAN KAFIR YANG MASUK ISLAM; PERLUKAH DIAKADKAN SEMULA?

Soalan;assalamualaikum sy ingin bertanyakan satu soalan,sekiranya pasangan bukan islam memeluk agama islam apakah mereka perlu akad nikah semula secara islam?

Jawapan;

Terdapat hadis dari Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan;“Seorang lelaki telah memeluk Islam pada zaman Nabi –sallallau ‘alaihi wasallam- dan diikuti oleh isterinya (yang turut memeluk Islam). Mereka datang kepada Nabi. Lelaki itu berkata kepada Nabi; ‘Ya Rasulullah, isteriku telah memeluk Islam bersamaku’. Lalu Nabi mengembalikan isterinya kepadanya’”. (HR Abu Daud dan at-Tirmizi. Menurut beliau; hadis ini hasan soheh”).

Para ulamak berkata; hadis ini menjadi dalil bahawa dua suami isteri yang asalnya kafir, kemudian kedua-duanya memeluk Islam bersama-sama, mereka akan kekal di atas perkahwinan mereka sebelum Islam. Perkara ini telah dijmakkan oleh ulamak. Tidak perlu dipersoalkan bagaimana berlakunya perkahwinan mereka sebelum Islam sama ada sah atau tidak. Dikecualikan jika terdapat factor yang membatalkan akad yang masih berterusan sekalipun setelah mereka masuk Islam, maka ketika itu akan terbatallah akad antara mereka. Contohnya; di antara mereka ada ikatan mahram kerana susuan, wajiblah dipisahkan antara mereka.

Jika isteri memeluk Islam sebelum suami, kemudian suaminya memeluk Islam ketika ia masih dalam eddah, akan berterusanlah perkahwinan mereka berdua. Jika suaminya memeluk Islam selepas eddah, ia tidak boleh kembali kepada suaminya itu melainkan dengan akad baru. Kesimpulannya, jika salah seorang memeluk Islam dan tidak diikuti oleh seorang lagi untuk memeluk Islam dalam tempoh eddah, terfasakhlah perkahwinan mereka berdua.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. ‘Aunul-Ma’bud, syarah Sunan Abi Daud, karya Syeikh Muhammad Syamsyul-Haq al-Adziem Abadi, Bab Iza Aslama Ahadu Zaujaini.
2. Tuhfah al-Ahwazi, Syarah Jami’ at-Tirmizi, bab Ma Ja-a Fi az-Zaujaini Yuslimu Ahaduhuma.
3. Al-Wajiz Fi al-Fiqhi al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 3/70.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum, jika suami masuk islam dahulu,, kemudian lepas satu ketika isteri baru masuk islam,, bagaimanapula.

terima Kasih.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...