Sunday, January 30, 2011

LAFAZ SALAM

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Semalam saya telah di tegur oleh sorang sahabat saya, dia cakap tidak boleh ucap 'SALAM' dan dia beri dalil:-

"Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)". Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yangburuk). (QS. 43:89)"

Benarkan tidak boleh ucap Salam. Harap ustaz memberi penjelasan .. jazakallah

Jawapan;

Ucapan salam (sama ada “Salaamun ‘Alaikum” atau “Salaaman” atau “Salaamun”) di dalam al-Quran ada yang ditujukan kepada orang mukmin dan ada yang ditujukan kepada orang kafir atau jahil. Contoh bagi ucapan salam yang ditujukan kepada orang mukmin ialah;

وَإِذَا جَاءكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِنَا فَقُلْ سَلاَمٌ عَلَيْكُمْ كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَى نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ
“Dan apabila datang kepadamu orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, maka katakanlah kepada mereka: ‘Salaamun ‘Alaikum’ (selamat sejahtera ke atas kamu). Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat’” (Surah al-An’am, ayat 54).

دَعْوَاهُمْ فِيهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلاَمٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Doa ucapan mereka (yakni orang-orang beriman dan beramal soleh) di dalam Syurga itu ialah; ‘Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan!’. Dan ucapan penghormatan mereka di dalam Syurga itu ialah: ‘Salaamun’ (selamat sejahtera). Dan akhir doa mereka ialah; ‘Segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam’”. (Surah Yunus, ayat 10)

Contoh ucapan salam yang ditujukan kepada orang kafir atau jahil pula;

وَإِذَا سَمِعُواْ اللَّغْوَ أَعْرَضُواْ عَنْهُ وَقَالُواْ لَنَآ أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلاَمٌ عَلَيْكُمْ لاَ نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ
“Dan apabila mereka (yakni orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Allah) mendengar perkataan yang sia-sia (dari orang kafir), mereka berpaling daripadanya sambil berkata: ‘Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu. ‘Salaamun ‘Alaikum’ (selamat tinggallah kamu). Kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil” (Surah al-Qasas, ayat 55)

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْناً وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَاماً
“Dan hamba-hamba Allah yang maha rahman, iaitu mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun. Dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka berkata; “Salaaman” (al-Furqan, ayat 63).

فَاصْفَحْ عَنْهُمْ وَقُلْ سَلَامٌ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ
“Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka dan katakanlah: ‘Salaamun’. Mereka akan mengetahui kelak” (az-Zukhruf, ayat 89).

Para ulamak tafsir menjelaskan; ucapan Salam apabila dituturkan ia berada di antara dua makna;
1. al-Musalamah/al-Mutarakah; iaitu bermaksud selamat tinggal
2. at-Tahiyyah; iaitu bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan.
(lihat; Ahkam al-Quran, Imam al-Jassas, surah al-Qasas, ayat 55).

Maka apabila ucapan salam itu dituju/diberikan kepada orang kafir atau orang-orang jahil dalam ayat-ayat tadi, maka ia bermaksud mengucapkan selamat tinggal kepada mereka, yakni kita tidak mahu bersekongkol dengan kesesatan dan kejahilan mereka atau kita membiarkan mereka dengan kejahilan dan kejahatan mereka. Adapun apabila ucapan salam itu diucapkan kepada orang-orang beriman atau kepada ahli-ahli syurga dalam ayat-ayat tadi, maka ia bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan atau memberi penghormatan.

Adakah harus kita memberi salam dengan hanya menyebutkan “Salam” sahaja? Persoalan ini kita akan huraikan di bawah.

LAFAZ-LAFAZ MEMBERI SALAM

1. Lafaz memberi salam yang terbaik ialah;

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Lafaz menjawab salam yang terbaik ialah;

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Diriwayatkan dari Imran Bin Hushain menceritakan; Seorang lelaki datang kepada Nabi –sallalallahu ‘alaihi wasallam- dan memberi salam dengan mengucapkan; Assalamu ‘alikum (السلام عليكم). Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat sepuluh ganjaran”. Kemudian datang lelaki yang kedua dan memberi salam dengan berkata; “Assalamu ‘alaikum warahmatullah” (السلام عليكم ورحمة الله). Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat 20 ganjaran”. Kemudian datang lelaki yang ketiga dan memberi salam; Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wa barakaatuh” (السلام عليكم ورحمة الله وبركاته). Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat 30 ganjaran” (HR Imam ad-Darimi, Abu Daud dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Sebahagian ulamak berkata; sebaiknya orang yang memberi salam hanya berhenti pada “warahmatullah” untuk memberi peluang kepada orang yang menjawab untuk membalas dengan yang lebih baik iaitu sehingga “…wa barakaatuh” sebagai menyahut seruan Allah dalam firmanNya (bermaksud); “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)” (an-Nisa’, ayat 86).

2. Sekurang-kurang lafaz memberi salam ialah; Assalamu alaikum (السلام عليكم) sebagaimana dalam hadis tadi. Diharuskan juga dengan lafaz Salaamun ‘Alaikum (سلام عليكم) yakni tanpa “As” iaitu sebagaimana salam para malaikat kepada ahli-ahli Syurga yang diceritakan Allah di dalam al-Quran;

وَقالَ لَهُمْ خَزَنَتُها سَلامٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوها خالِدِينَ
“Dan penjaga-penjaga syurga mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salaamun ‘Alaikum (Salam sejahtera kepada kamu), berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk). (Surah az-Zumar, ayat 73)

سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ
“Salaamun ‘Alaikum (Selamat sejahteralah kamu), disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu” (Surah ar-Ra’du, ayat 24).

Berkata Imam Abu al-Hasan al-Wahidi; “Kamu boleh memilih sama ada hendak menuturnya dengan ma’rifah (yakni dengan ada “As”) atau dengan nakirah (yakni tanpa “As”)”. Berkata Imam an-Nawawi; “Menuturnya dengan ada “As” adalah lebih baik”. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi).

3. Adakah harus memberi salam dengan sekadar menyebutkan “Salaam” sahaja (tanpa ‘Alaikum)? Imam Ibnu ‘Athir dalam kitabnya al-Nihayah menyebutkan tiga lafaz salam;
a) As-Salamu Alaikum
b) Salaamun ‘Alaikum
c) Salaamun (tanpa Alaikum)

Jadi berdasarkan kenyataan Ibnu Athir ini, lafaz “Salaamun” (سلام) juga harus digunakan untuk memberi salam. Di dalam al-Quran ada ayat menceritakan para malaikat memberi salam kepada Nabi Ibrahim dengan lafaz “Salaaman” (سلاما) dan Nabi Ibrahim menjawab dengan lafaz “Salaamun” (سلام). Ayat tersebut ialah;

وَلَقَدْ جَاءتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُـشْرَى قَالُواْ سَلاَماً قَالَ سَلاَمٌ
“Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang menggembirakan, lalu mereka memberi salam dengan berkata: ‘Salaaman (salam sejahtera)’. Nabi Ibrahim menjawab; ‘Salaamun’’ (salam sejahtera)” (Surah Hud, ayat 69).

Namun ada ulamak berpandangan; lafaz “Salaamun” tidak memadai sebagai lafaz salam kerana ia bukan ucapan yang sempurna. Jika seseorang memberi salam dengan hanya menyebut lafaz itu sahaja, tidak sah salamnya dan tidak wajib dijawab. Mengenai ayat 69 (surah Hud) di atas, ayat tersebut bukanlah bertujuan menceritakan tentang lafaz salam malaikat dan Nabi Ibrahim, akan tetapi hanya menceritakan perbuatan memberi dan menjawab salam antara malaikat dan Nabi Ibrahim. Adapun lafaz salam, maka ia adalah sebagaimana yang disebut dalam ayat 73 (surah az-Zumar) dan ayat 24 (sura ar-Ra’du) tadi iaitu “Salaamun Alaikum”. (Ahkam al-Quran, Imam al-Jassas, surah Hud, ayat 69).

LAFAZ-LAFAZ MENJAWAB SALAM

Lafaz untuk menjawab salam yang paling ringkas ialah;

وعليكم السلام

Jawapan salam yang paling sempurna ialah;

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Jika dibuang wau (و) iaitu dengan menjawab “Alaikumussalam” (عليكم السلام), jumhur ulamak mazhab Syafi’ie berkata; diharuskan dan dikira menjawab salam (yakni tambahan wau itu –menurut jumhur ulamak mazhab Syafiie- adalah sunat, tidak wajib). Bagaimana jika dibuang perkataan as-Salaam, iaitu dengan kita hanya menjawab ‘Wa ‘Alaikum’ (وعليكم) sahaja? Sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie mengharuskannya dan sebahagian mereka tidak mengharuskannya. Adapun jika dibuang wa (و) dan as-salam (السلام), iaitu dengan hanya menjawab “’Alaikum” (عليكم) sahaja, sepakat ulamak mazhab Syafi’ie melarangnya (yakni tidak harus dan tidak dikira menjawab salam).

Bagaimana jika seorang itu menjawab salam dengan lafaz sebagaimana lafaz memberi salam iaitu ia menjawab salam dengan berkata; As-Salamu ‘Alaikum (السلام عليكم) atau Salaamun ‘Alaikum (سلام عليكم)? Jawapannya adalah harus dan dikira menjawab salam (hukum ini disepakati oleh sekelian ulamak mazhab Syafiie). Ia berdalilkan hadis dari Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi telah bersabda; “Allah menjadikan Adam setinggi 60 hasta. Apabila Adam selesai diciptakan, Allah berkata kepadanya; “Pergilah kamu kepada kumpulan malaikat itu dan berilah salam kepada mereka. Dengarlah apa jawapan mereka. Sesungguhnya itulah ucapan tahiyyah (aluan) untuk kamu dan zuriat kamu”. Adam pun pergi kepada mereka dan memberi salam; “As-Salamu ‘Alaikum (السلام عليكم)”. Mereka (malaikat) menjawab; “As-Salaamu ‘Alaika (السلام عليك ورحمة الله)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Perhatikan; malaikat menjawab dengan jawapan yang sama seperti lafaz memberi salam, menunjukkan bahawa ia adalah harus.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/498-502.
2. Al-Adab as-Syar’iyyah, Imam Ibnu Muflih, 1/437.
3. Al-Azkar, Imam an-Nawawi,
4. Ahkam al-Quran, Imam al-Jassas (surah al-Qasas (ayat 55) dan surah Hud (ayat 69)).
5. An-Nihayah, Imam Ibnu Athir (perkataan “سلم”).
Post a Comment