Langkau ke kandungan utama

MAKNA MENDERHAKA IBU BAPA

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Ustaz, saya ingin bertanya.
1) Wajarkah seorang anak menegur ibu yang melakukan kesalahan? Adakah itu dianggap derhaka?
2) Sekiranya seorang ibu yang membuat salah itu memarahi anak nya kerana tidak menurut apa yang dikehendakinya dan anak nye membantah sehingga berlaku pertengkaran adakah itu derhaka?
3) Sekiranya anak tersebut seorang perempuan dan telah berkahwin, bagaimanakah dosa anak perempuan tersebut?  adakah di tanggung oleh suami?
4) Sekiranya si anak banyak terasa hati dengan tingkah laku ibu nya dan membawa diri jauh dari ibunya, adakah itu dikira derhaka?
Terima kasih ya ustaz.

Jawapan;

Menderhakai dua ibu bapa merupakan dosa besar dalam Islam, malah di antara dosa-dosa paling besar. Di dalam hadis, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Dosa-dosa paling besar ada empat;
1.      Mensyirikkan Allah
2.      Membunuh manusia
3.      Menderhakai dua ibu bapa
4.      Memberi kesaksian palsu
(HR Imam al-Bukhari dari Anas –radhiyallahu ‘anhu-)

Namun kita perlu memahami dengan baik apa yang dimaksudkan menderhakai dua ibu-bapa kerana ibu-bapa tidaklah sama seperti Allah dan Rasul yang tidak boleh dicanggahi arahan dan keputusannya. Dua ibu-bapa adalah makhluk dan mereka tertakluk dengan hadis Nabi; “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Khaliq (Tuhan pencipta iaitu Allah)”.

Menurut Imam Ibnu as-Solah; penderhakaan terhadap ibu-bapa yang diharamkan ialah semua jenis perbuatan yang menyebabkan dua ibu-bapa merasa sakit hati (perasaan kecewa) yang tidak sedikit terhadap anaknya, sedangkan perbuatan itu bukanlah dari perkara-perkara wajib (yang terpaksa dilakukan)” (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 1, bab Bayan al-Kabair wa Akbariha). Berdasarkan pandangan Imam Ibnu as-Solah ini kita dapat simpulkan bahawa yang dikatakan penderhakaan ialah apabila si anak melakukan perbuatan yang sengaja untuk menyakiti dua ibu-bapanya. Adapun jika ibu-bapa merasa sakit hati atau kecewa terhadap perbuatan si anak yang wajib perbuatan itu ia lakukan kerana untuk memenuhi tuntutan agama, tidaklah ia dianggap penderhakaan yang diharamkan oleh agama yang tergolong dalam dosa-dosa besar oleh hadis tadi kerana mentaati Allah lebih utama dari mentaati dua ibu-bapa.

Maka apabila si anak menegur bapa atau ibunya kerana suatu maksiat yang mereka lakukan yang mesti ditegur, lalu bapa atau ibu merasa marah atau kecewa, tidaklah si anak itu dianggap durhaka di sini agama kerana menegur/mencegah maksiat adalah dituntut oleh agama. Begitu juga, jika ibu-bapa meminta/mengarahkan si anak agar melakukan perbuatan dosa, munkar atau maksiat, lalu si anak menolaknya dan ibu-bapa rasa marah, tersinggung atau kecewa, tidaklah si anak dikira durhaka kepada ibu-bapa di sisi agama.

Diceritakan di dalam hadis bahawa, Sa’ad bin Abi Waqqas –radhiyallahu ‘anhu- apabila ia memeluk Islam dan diketahui ibunya yang masih kafir, ibunya telah telah mengadakan mogok lapar. Ibunya berkata; “Bukankan Allah memerintahkan supaya kamu berbuat baik kepada ibumu? Demi Allah, aku tidak akan makan sebarang makanan dan tidak akan minum sebarang minuman hinggalah sama ada aku mati atau kamu kembali kafir”. Lalu turunlah ayat Allah (bermaksud); “…dan jika mereka berdua (yakni ibu-bapamu) mendesakmu supaya engkau mempersekutukanKu dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka” (Surah al-‘Ankabut, ayat 8). (HR Imam at-Muslim, at-Tirmizi dan lain-lain. Lihat hadis ini dalam Tafsir Ibnu Kathir, surah al-‘Ankabut, ayat 8).

Dalam riwayat yang lain diceritakan; Saad berkata kepada ibunya tadi; “Wahai ibu, ketahuilah bahawa jika ibu dikurniakan 100 nyawa dan keluar nyawa itu satu demi satu dari ibu (kerana mogok lapar ibu itu), saya sekali-kali tidak akan meninggalkan agama ini kerana suatu tukaran pun. Jika ibu mahu, ibu makanlah. Jika tidak mahu, tak usahlah makan”. Akhirnya ibunya putus asa dan makan. (HR Imam at-Thabrani. Lihat hadis ini dalam Tafsir Ibnu Kathir).

Walau bagaimanapun, dalam menegur kedua ibu-bapa, si anak hendaklah beradap dan menggunakan bahasa yang elok. Tidak harus menengking atau bertengkar dengan ibu-bapa. Kewajipan si anak ialah memberikan teguran. Jika teguran tidak dindahkan, bukanlah lagi tanggungjawab si anak untuk memaksa mereka. Berdoalah kepada Allah agar Allah memberi hidayah kepada mereka. Begitu juga, tidak harus memulau ibu-bapa semata-mata kerana bercanggah pandangan dengan kita. Perhatikan firman Allah dalam surah Luqman (yang bermaksud);

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…” (Surah Luqman, ayat 15)

Perhatikan dalam ayat di atas; Allah melarang kita dari memenuhi desakan ibu-bapa kepada kekufuran (mensyirikkan Allah), namun dalam pada itu Allah tetap memerintahkan agar kita bergaul dengan mereka di dunia secara baik. Berkata Imam al-Qurthubi –mengulas ayat di atas-; “Ayat ini menjadi dalil kepada tuntutan supaya mengikat hubungan dengan dua ibu-bapa yang kafir termasuk menafkahi mereka –mengikut yang terdaya- jika mereka miskin, bercakap lembut dengan mereka dan mengajak mereka kepada Islam dengan bahasa yang manis” (Tafsir al-Qurthubi, surah Luqman, ayat 15). Diceritakan dalam hadis bahawa Asma’ binti Abu Bakar, tatkala datang kepadanya ibunya yang masih kafir (musyrik) untuk mengikat hubungan, ia (yakni Asma’) bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, perlukah aku mengikat hubungan dengan ibuku itu?”. Nabi menjawab; “Ikatlah hubungan dengannya”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)
Jika terhadap ibu yang kafir kita masih disuruh agar berbuat baik dan tidak memutuskan hubungan, maka apatahlagi dengan ibu yang telah Islam, cuma tidak solehah sahaja. Kita wajib terus menjalinkan ikatan/hubungan dengannya dan pada masa yang sama kita membetulkannya sedikit demi sedikit dengan penuh hikmah. Kita melihat sikap Nabi sendiri, walaupun bapa saudaranya (Abu Thalib) tidak menerima Islam, Nabi terus berhubungan dengannya dan tidak pernah berputus asa mendakwahinya hingga akhir hayatnya (Abu Thalib).

Wallahu a’lam.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Hargailah mereka.. selangi mereka masih ada..


Jasa Ibu Bapa Dilupakan, Jasa Orang Lain Disanjung
Tanpa Nama berkata…
best lagu nih





Mari singgah ke Official BLog for Tenangsudey.

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk