Friday, February 4, 2011

BAGAIMANA RASULULLAH MEMAKAI CINCIN?

Soalan; ustaz, boleh tolong jelaskan bagaimana cara memakai cincin yang mengikut sunnah? Memakai di tangan kanan atau kiri dan di jari mana? Terima kasih.

Jawapan;

1. Memakai cincin harus di tangan kanan dan juga tangan kiri. Menurut Imam an-Nawawi; “Telah ijmak para ulamak bahawa harus memakai cincin di tangan kanan atau tangan kiri. Di sebelah mana kita memakainya tidaklah dimakruhkan” (Syarah Soheh Muslim). Merujuk kepada hadis-hadis, terdapat hadis menceritakan Nabi memakai cincin di tangan kanannya dan ada juga hadis baginda memakainya di tangan kiri.

2. Dalil keharusan memakai cincin di tangan kanan ialah;

a) Dari Saidina Ali r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakai cincinnya di tangan kanannya”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

b) Hammad bin Salamah menceritakan; “Aku telah melihat Abi Rafi’ memakai cincin di tangan kanannya, maka aku bertanya kepadanya tentang hal tersebut. Lalu ia menjawab; ‘Kerana aku telah melihat Abdullah bin Jaafar r.a. (seorang sabahat) memakai cincin di tangan kanannya dan ia (yakni Abdullah) berkata kepadaku; ‘Adalah Rasulullah s.a.w. memakai cincin di sebelah tangan kanannya’”. (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad).

3. Adapun dalil bagi tangan kiri;

a) Dari Anas dan Ibnu Umar keduanya menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. memakai cincin di tangan kirinya”. (Riwayat Imam Muslim dari Anas dan Abu Daud dari Ibnu Umar)

b) Dari Jaafar bin Muhammad yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Adalah Hasan dan Husain (cucu Nabi), kedua-dua mereka memakai cincin di tangan sebelah kiri mereka” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata Imam at-Tirmizi, hadis ini soheh). Menurut ulamak; Kemungkinan kedua-dua mereka telah melihat datuk mereka (yakni Nabi s.a.w.) memakai cincin di tangan kiri, lalu mereka mengikutinya.

4. Mana yang paling baik, memakainya di tangan kanan atau di tangan kiri? Menurut Imam Nawawi; ulamak-ulamak Salaf ramai yang memakainya di tangan kanan dan tidak kurang ramai juga yang memakainya di tangan kiri. Imam Malik menyukai memakainya di tangan kiri dan ia memakruhkan memakainya di tangan kanan. Di kalangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie terdapat khilaf; ada yang menyukai di tangan kanan dan ada yang menyukai di tangan kiri. Namun yang rajih ialah; memakainya di tangan kanan kerana cincin adalah perhiasan, maka tangan kanan lebih mulia dan lebih berhak diberi perhiasan dan dimuliakan dari tangan kiri. (Syarah Soheh Muslim)

5. Mengenai jari pula, sepakat para ulamak menyebutkan; sunat cincin dipakai di jari kelingking berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. memakai cincinnya di jari ini, sambil beliau (yakni Anas) menunjukkan pada jari kelingking di tangan kirinya”. (Riwayat Imam Muslim)

Terdapat hadis melarang memakai cincin di jari telunjuk dan jari tengah, iaitu hadis dari Saidina Ali yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah menegahku dari memakai cincin di jari ini atau jari sebelahnya, sambil ia (yakni Ali) menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya” (HR Imam Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasai)

Namun menurut ulamak; Larangan di dalam hadis di atas adalah larangan makruh, bukan larangan haram. (Syarah Soheh Muslim)

6. Bagi kaum wanita, harus memakai cincin pada mana-mana jari tanpa makruh. (Syarah Soheh Muslim, Tuhfah al-Ahwazi, 'Aunul-Ma'bud)

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Juz. 14, kitab al-Libas wa az-Zinah, bab Fi Khatam al-Wariq Fassuhu Habasyiy.
2. Tuhfah al-Ahwazi, juz. 4, bab Karahiyati at-Takhattum fi al-Usbu’aini.
3. ‘Aunul-Ma’bud, juz. 9, bab Ma Ja-a Fi Khatamil-Hadiid.

5 comments:

 

Copyright © LAMAN SOAL JAWAB AGAMA Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger