Wednesday, June 15, 2011

HUKUM SEWA ATAS SEWA

Soalan; assalamualaikum ustaz...apakah hukum sewa atas penyewa? 

Jawapan;

Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab empat); diharuskan orang yang menyewa barang/premis untuk menyewakannya semula kepada orang lain selama dalam tempoh sewaan yang diakadkan dengan pemilik barang/premis. Sama ada bayaran sewaan yang dikenakan sama dengan bayaran sewaan yang dibayar kepada pemilik atau lebih tinggi atau lebih rendah hukumnya adalah harus. Ini kerana akad sewaan adalah sama seperti akad jual-beli iaitu akad pertukaran. Jika akad jual beli menukarkan antara harta (yang berupa wang) dengan harta (yang berupa barang/produk), akad sewaan pula menukar harta (iaitu bayaran sewaan) dengan manfaat (iaitu kegunaan barang yang disewa). Apabila sempurna akad sewaan, manfaat barang/premis yang disewa telah menjadi milik orang yang menyewa, maka ia harus menggunanya sendiri atau menghadiahnya kepada orang lain atau menjual manfaat itu (dengan pengertian menyewanya kepada orang lain). Ia sama seperti apabila sempurna akad jual-beli, pembeli bebas menggunakan barang/produk yang dibelinya mengikut yang disukainya kerana barang/produk itu telah menjadi miliknya.

Namun keharusan menyewa semula itu terikat dengan syarat berikut;
1. Barang/premis yang terbabit itu tidak terkesan dengan sebab bertukar tangan penyewa seperti menyebabkan kerosakan atau sebagainya.
2. Penggunaan penyewa kedua ke atas barang/premis sama seperti yang diakadkan antara penyewa pertama dengan pemilik atau penggunaan yang kurang risiko darinya, contohnya; jika penyewa pertama menyewanya untuk digunakan sebagai kediaman, tidak harus ia menyewanya kepada orang lain untuk dijadikan kilang atau seumpamanya.
2. Pemilik tidak mensyaratkan barang/premisnya tidak disewakan semula kepada orang lain.[1] Jika ia mensyaratkannya, tidak harus disewakan semula kerana sabda Nabi; "Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang dipersetujui sesama mereka selama menepati yang hak" (HR Imam al-Hakim dari Aisyah r.a. dan Anas. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat: al-Jami' as-Saghier, hadis no. 9214).

Nota;

[1] Ini berdasarkan pandangan mazhab Maliki dan Hanbali di mana menurut mereka; harus pemilik barang/premis mensyaratkan barang/premis kepunyaannya hanya digunakan oleh penyewa sahaja atau mensyaratkan tidak boleh disewa kepada orang lain. Penyewa terikat dengan syarat tersebut dan jika ia melanggarinya terbatallah akad sewaan. Pandangan ini ditarjih oleh Imam Ibnu Taimiyyah. Namun mazhab Syafiie berpandangan; tidak harus meletakkan syarat tersebut dan jika diletakkan batallah akad sewaan. Mazhab Hanafi pula berpendapat; akad tidak terjejas, namun syarat yang diletakkan itu tidak terpakai (yakni sia-sia sahaja dan tidak mengikat penyewa). 

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 1/267, 284, 270, 286-287 (perkataan "Ijarah").
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, Kitab al-Ijaraat (11/450).
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, no. 118454, 103260.
4. Fatawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid, no. 82568.
Post a Comment