Soalan; Assalamualaikum, saya ingin bertanya
kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama
ibu-bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu,
saya tidak pasti kesahihannya. Terima kasih.
Jawapan;
Tidak digalakkan
oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk tidur
bersama dengan ayah dan ibunya kerana dikhuatiri berlaku pendedahan aurat dari bapa
dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah berfirman (bermaksud);
“Wahai orang-orang beriman, hendaklah
meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum
baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga
masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu
tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan
aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas
kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu)
kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni
sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah
menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah maha mengetahui lagi maha
bijaksana” (ayat 58).
Dalam ayat di atas Allah memerintah anak-anak sekalipun
belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki
bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada tiga waktu;
a)
Sebelum subuh adalah masa kamu
bangun tidur
b)
Selepas solat isyak ialah
masa kamu tidur
c)
Waktu tengahari (ketika
matahari tegak atas kepala) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita
tidur seketika sebelum solat zohor.
Sebab perintah tersebut ialah untuk
mengelak dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita
fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut; “Itu adalah tiga masa berlaku
pendedahan aurat pada kamu”. Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir Ibnu ‘Asyur-;
“Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah
mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan
menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak
dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat
kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri mereka apabila
mereka besar nanti” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah an-Nur, ayat 58).
Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat –seperti ibu dan
bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-, maka haramlah membenarkan
anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya.
Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika
sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat orang lain termasuk anak kecil
jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh). Malah sebahagian ulamak
(antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki) melarang berjimak dengan dilihat oleh anak
belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar
RA yang memerintahkan anaknya yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar
dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu).
Menurut jumhur; perbuatan Ibnu Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan
sulit amalkan-, tetapi jika dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaitiyyah, 3/178).
Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin (salah seorang ulamak
besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah; diharamkan
bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada di hadapan itu adalah anak
kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu, maka tidak mengapa.
Adapun di hadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku di
depannya, tidak harus melakukan persetubuhan di hadapannya sekalipun ia masih kecil
kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain
apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkan. Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai
contohnya- jika usianya baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan
di hadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat
menggambarkannya. Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun,
tidak sepatutnya ibu-bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh
berlaku pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain. Oleh
demikian, adalah dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka
sekali belum mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang
dilihatnya” (Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).
Rujukan;
1.
az-Zawaj, Dr. Muhammad
Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2.
al-Muqtataf Min 'Uyun
at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3.
Fatwa Syeikh Muhammad Soleh
al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4.
al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,
3/178
Ulasan