Langkau ke kandungan utama

CARA MENGURUSKAN NAJIS

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya menjaga ibu mertua yang berusia 90 tahun. Ibu mertua saya masih boleh berjalan walau agak payah. Olehitu, beliau enggan memakai lampin pakai buang. Kerana faktor usia beliau kadang kala tidak dapat menahan najis (kecil dan besar) dari tercicir di aas lantai. Soalan saya ialah, bagaimanakah cara menguruskan najis yang tercicir atas lantai rumah? Adakah memadai dengan sayang membuang ain najis tersebut kemudian saya  mopkan kawasan yang terkena najis dengan air sebanyak 2 kali bilas? Perlukan saya mengalirkan air sebanyak 2 kolah untuk membersihkan najis tersebut? Jika saya berbuat begitu, dikhuatiri bekas najis tersebut akan merebak ke bahagian lain. Selepas dicuci, bolehkan kita bersolat ditempat yang pernah terkena najis? Bagaimana pula dengan pakaian mertua saya? Bolehkah saya membuang najis dengan membilas pakain tersebut dengan air mengalir kemudian membasuhnya bersama pakaian lain di dalam mesin basuh? Bolehkah pakaian yang dibasuh bersama pakaian mertua saya dibawa bersolat? Saya amat berharap agar Ustaz dapat menjawab soalan saya ini untuk menghilangkan rasa was was sambil berusaha menjaga mertua dengan sebaik mungkin.

Jawapan;

1. Buang 'ain najis terlebih dahulu, kemudian alirkan air ke atas tempat/kawasan yang dikenai najis dan lapkan. Lakukan sehingga hilang kesan najis. Jika perlu menggunakan sabun untuk menanggalkan najis, gunakanlah. Bilangan basuhan tidak disyaratkan. Yang disyaratkan ialah hilang kesan najis iaitu bau, warna dan sebagainya. Jika dengan sekali basuhan kesan najis telah hilang, tidak perlu lagi diulangi basuhan. Begitu juga, tidak disyaratkan kuantiti air mesti air dua kolah. Hanya disyaratkan air mutlak dengan kadar yang mencukupi untuk menghilangkan najis. Jika dengan air yang sedikit (yakni kurang dua kolah) sudah dapat menghilangkan kesan najis tadi, sudah memadai basuhan itu. Malah berlebihan menggunakan air tanpa perlu, hukumnya makruh kerana membazir.

2. Pakaian yang dikenai najis; tidak harus dibasuh dengan merendamkannya ke dalam tank (bekas) mesin basuh kerana ia akan menajisi air di dalam tank tersebut. Dari segi hukum, air yang kurang dari dua kolah jika dimasuki/dijatuhi najis otamatik air itu menjadi mutanajjis (yakni air yang bercampur najis) walaupun tidak nampak kesan najis pada air itu dan tidak harus digunakan lagi air itu untuk bersuci. Jika diputarkan pakaian bernajis di dalam tank mesin basuh, basuhan itu tidak dikira melainkan setelah dibilas kemudiannya dengan air bersih (mutlak) barulah dianggap suci pakaian tersebut dengan syarat tidak ada lagi kesan najis pada pakaian tersebut (warna, bau dan sebagainya).

Adapun membasuh pakaian yang kotor/cemar tetapi tidak najis (seperti pakaian yang berpeluh,terkena kuah makanan, tanah dan sebagainya) tidak mengapa merendamnya ke dalam tank mesin basuh dan memutarkannya kerana bahan-bahan kotor/cemar itu tidak akan menajisi air (kerana ia bukan najis). Tujuan basuhan tersebut bukan untuk menghilangkan najis, tetapi hanya untuk menghilangkan kesan cemar pada pakaian, kerana itu tidak dikenakan syarat sebagaimana basuhan najis. Oleh itu, sebaiknya pakaian yang bernajis tidak dicampurkan dengan pakaian yang tidak bernajis di dalam satu tank mesin basuh. Jika ingin dicampurkan,hendaklah dipastikan semua pakaian dibilas (yakni dialirkan air ke atasnya) setelah diputarkan dalam mesin basuh (termasuk pakaian yang tidak bernajis juga perlu dibilas).

3. Pakaian bernajis yang telah dibasuh dengan sempurna hingga hilang kesan-kesan najis darinya, ia kembali kepada hukum asalnya (iaitu suci/bersih) dan harus dipakai ketika solat. Tidak perlu lagi ada perasaan was-was apabila basuhan telah sempurna dan kesan najis tidak ada lagi.

Wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...