Langkau ke kandungan utama

JAMAK DAN QASAR DI TEMPAT KERJA

Soalan; Assalammualaikum ustaz, Saya ada soalan tentang sembahyang jamak dan qasar:
Saya tingal di Kuantan dan dipilih oleh majikan untuk menghadiri latihan selama 2 hari di Kuala Lumpur. Saya dikehendaki datang bekerja seperti biasa pagi dan hanya boleh bertolak ke Kuala Lumpur selepas pada pukul 3 petang. Saya akan membawa semua kelengkapan dan pakaian saya semasa pergi ketempat kerja dan terus ke Kuala Lumpur selepas keluar dari tempat kerja tampa kembali ke rumah kerana kedudukan tempat kerja adalah di pertengahan.
1. Adakah boleh saya mengerjakan sembahyang Asar jamak dan qasar di dalam waktu Zohor di tempat kerja saya?
2. Semasa dalam perjalanan pulang, saya mengerjakan sembahyangk jamak Isyak didalam waktu maghrib. Saya tiba dirumah tetapi belum lagi masuk waktu Isyak. Adakah perlu saya ulangi sembayang Isyak?
Harap ustaz dapat menberi penjelasan tentang masalah di atas.

Jawapan;

1. Boleh melakukan jamak dan qasar di tempat kerja saudara jika saudara berniat musafir dari rumah dengan syarat rumah dan tempat kerja saudara tidak berada di dalam taman/pekan/kampung yang sama. Apabila saudara telah berniat musafir dari rumah untuk menuju satu destinasi yang jaraknya melebihi dua marhalah, kemudian saudara keluar dan melepasi daerah/kawasan penempatan saudara, bermulalah keharusan saudara untuk mengambil rukhsah safar (iaitu kelonggaran atau kemudahan yang diberikan Syariat untuk orang yang bermusafir; antaranya memendek dan menghimpunkan solat fardhu).

2. Jika saudara telah menjamakkan isyak ke dalam waktu maghrib, tidak wajib lagi saudara mengulangi solat isyak apabila sampai di rumah walaupun ketika sampai itu waktu isyak belum masuk atau waktu isyak masih ada, kerana solat isyak saudara secara jamak tadi telahpun dikira. Berkata Imam an-Nawawi dalam Matan al-Minhaj; "Jika (seseorang) melakukan jamak taqdim, lalu ia menjadi muqim (iaitu tidak lagi berada dalam keadaan safar dengan sebab telah berniat iqamah atau dengan sebab telah sampainya kapal di tempat tuju) pada saat di antara dua solat jamak tersebut (yakni ia telah selesai mengerjakan solat pertama, namun sebelum mengerjakan solat kedua ia telah berubah menjadi muqim), batallah jamaknya (yakni wajib atasnya menganjakkan solat kedua ke dalam waktunya, adapun solat pertama ia tidak terjejas dan tidak perlu diulangi). Adapun jika ia menjadi muqim ketika sedang mengerjakan solat kedua atau setelah selesai mengerjakan solat kedua, tidak batal jamaknya mengikut pandangan yang ashah (yakni pandangan terkuat dari ulamak-ulamak mazhab Syafi'e) (kerana solat kedua itu dilakukan ketika keuzuran yang mengharuskan jamak (iaitu safar) masih ada". (Mughni al-Muhtaj, 1/373).

Wallahu a'lam.

Ulasan

Amir berkata…
Salam,

1-Saya kerja outstaion. tidak tahu bila kerja boleh siap. biasanye hampir sebulan. Sy pernah terbaca jika kita tahu bila kite siap kerja kita hanya boleh jamak 3 hari shj. Jika kes sy ni bagaimana pula? berapa hari maksimum sy boleh jamak Qasar.

2-Saya bermastautin di KL. Sy ke Sarawak 3 hari. kemudian ke Sabah 3 Hari, ke JB 3 Hari. Adakah spnjang saya di sana boleh sy melakukan Jamak Qasar.

-Amir

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...