Soalan; assalam..ustaz,apakah
hukum makan daging landak..? ianya juga buas dan bertaring..trm ksh.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah,
wassolatu ‘ala Rasulillah.
Yang dilarang oleh hadis
ialah binatang buas bertaring yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam
dan membunuh mangsanya. Saya tidak pasti apakah landak mempunyai gigi taring
yang berfungsi sebegitu. Adapun pandangan para ulamak tentang landak adalah seperti
berikut;
1. Mazhab Hanafi dan
Hanbali; haram memakannya kerana ia tergolong dalam binatang-binatang merayap/merangkak
yang dipandang keji (khabaith), iaitu satu kelompok dengan tikus. Dalam
al-Quran Allah berfirman (dengan maksud); “Dan dia (yakni Nabi Muhammad SAW)
mengharamkan ke atas kamu yang keji-keji” (surah al-A’raf, ayat 157).
2. Mazhab Maliki dan Syafiie;
harus memakannya kerana walaupun ia dari jenis merangkak, namun tidak dipandang
keji oleh manusia, kerana itu ia tidak termasuk dalam ayat tadi. Dalam kitab
Hayah al-Hayawan al-Kubra –kitab turas yang membincangkan tentang haiwan-haiwan-,
pengarangnya (ad-Dumairi, wafat 808 hijrah) menjelaskan; Imam Syafiie berkata; “Landak
halal dimakan kerana orang-orang Arab memandangnya sebagai makanan yang elok/baik”
(2/361). Di
antara kaedah dalam mazhab Syafiie -dalam menentukan jenis haiwan yang halal
dan yang haram-; “Setiap haiwan yang dipandang elok/baik oleh orang Arab maka
ia adalah halal, kecuali terdapat dalil Syarak yang mengharamkannya”.[1]
Ada diriwayatkan Nabi SAW
bersabda; “Landak adalah dari binatang-binatang yang keji” (Musnad Imam Ahmad;
5954. Sunan Abu Daud; 3799. Dari Abu Hurairah RA). Namun ulamak-ulamak hadis
menegasnya; sanad hadis ini adalah dhaif kerana terdapat beberapa rawi yang
majhul[2], tidak boleh dijadikan hujjah dalam hukum-hakam. Kerana itu para ulamak
masih berikhtilaf tentangnya (landak). Ulamak yang berpandangan dia binatang
yang baik/elok, mereka menghalalkannya. Yang berpandangan dia binatang yang
keji, mereka mengharamkannya.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144 (perkataan “at’imah”).
2. Kifayatul Akhyar, hlm.
522-523.
3. Hayah al-Hayawan
al-Kubra, Muhammad bin Musa ad-Dumairi, 2/361.
4. al-Fiqh al-Manhaji,
3/69.
a) Orang-orang
Arab yang hidup pada zaman Nabi SAW.
b) Yang
hidup/tinggal di bandar dan kawasan yang subur atau yang berhampiran dengannya.
Ini kerana orang-orang Arab yang tinggal di kawasan pedalaman dan hidup
berpindah-randah kebiasaan mereka memakan apa sahaja binatang yang melata dan
merangkak.
c) Yang
mempunyai tabi’at yang bersih.
d) Dirujuk
ketika musim subur dan senang (yakni bukan ketika musim kebuluran dan melarat
yang menyebabkan mereka terpaksa makan apa sahaja yang ada).
(Lihat;
Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523
dan Al-Fiqh al-Manhaji; 3/69).
[2] Lihat; Bulughul-Maram, Imam Ibnu hajar
(kitab al-At’imah; 1365) dan Tahqiq Musnad Ahmad, Syeikh Syu’aib al-Arnaut dan
beberapa ulamak yang lain (hadis no. 8954).
Ulasan
sifat sifat landak tidak mencari makanan mengunakan taring dan kuku ..ia memakan tumbuhan , dedaun dan umbut2.tidak memakan bangkai , jika di anggap keji agak keterlaluan . kijang ,pelamduk ,napoh juga mempunyai taring bagi mempertahan diri .