Soalan; salam
tuan, saya ade beberapa soalan
untuk pencerahan:
2. solat
berjemaah - individu merupakan jemaah masbuk, katakan individu mengikut
imam pada rakaat ke-2 dan tidak dpt menghabiskan bacaan al-fatihah, individu
tersebut tidak perlu menghabiskan bacaan tersebut dan perlu rukuk mengikut
imam, yang saya ingin dapat kepastian adalah pada rakaat ke-3, sekiranya makmum
tersebut masih tidak dpt menghabiskan surah al-fatihah dan imam telah rukuk,
perlukah makmum tersebut menghabiskan bacaannya kemudian rukuk mengikut imam
ttp jika makmum tidak sempat rukuk bersama imam adakah rakaat tersebut dikira @
masih perlu dilakukan sama seperti rakaat ke-2?
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu 'ala Rasulillah.
1. Jika kita tiba ketika imam telah rukuk, terus sahaja bertakbir
masuk ke dalam solat (takbiratul ihram), kemudian takbir sekali lagi dan rukuk
bersama imam. Ketika ini, gugur al-Fatihah dari kita dan ia ditanggung oleh
imam.
2. Jika kita tiba ketika imam hampir rukuk, terus
bertakbir masuk ke dalam solat, baca al-Fatihah setakat yang sempat, apabila
imam rukuk kita turut rukuk bersama imam, tidak perlu kita menghabiskan fatihah
kita kerana baki fatihah kita itu ditanggung oleh imam.
3. Jika kita mengikuti imam dari awal solat, wajib dalam
apa keadaan sekalipun kita menghabiskan bacaan al-Fatihah kita. Sekalipun imam
telah rukuk, kita wajib menyudahkan bacaan al-Fatihah, kemudian baru rukuk
bersama imam. Jika ada keuzuran (iaitu lambat dalam bacaan) diberi kelonggaran
kepada kita hingga tiga rukun panjang (iaitu sehingga sebelum imam bangkit dari
sujud kedua).[1] Jika
kita sempat sujud sebelum imam bangkit dari sujud keduanya, kita masih dikira
mendapat rakaat tersebut bersama imam. Jika
tidak sempat, kita dikira telah luput rakaat tersebut bersama imam, maka tidak
perlu lagi kita rukuk, akan tetapi terus duduk tahiyyat bersama imam (jika dia duduk tahiyyat) atau tunggu sahaja imam naik ke rakaat berikutnya
(jika tidak ada tahiyyat oleh imam) dan mengikuti imam hingga selesai solatnya, apabila imam memberi salam, kita
bangun menambah rakaat yang ketinggalan dari imam tadi.
Itu adalah mengikut mazhab Syafiie yang berpandangan; makmum
wajib membaca al-Fatihah ketika solat berjamaah (sebagaimana imam wajib
membacanya) kecuali dalam kes makmum masbuq (iaitu kes 1 dan 2 di atas) di mana
bacaan al-Fatihahnya ditanggung oleh imamnya bagi dua kes tersebut. Menurut
mazhab-mazhab lain ( Hanafi, Maliki dan Hanbali); ketika solat berjamaah, makmum
tidak wajib membaca al-Fatihah (hanya disunatkan sahaja). Telah memadai bacaan imam
untuknya atau dalam pengertian yang lain; imam menanggung bacaan al-Fatihah untuknya,
jadi tidak wajib lagi atasnya. Maka menurut pandangan kedua ini, dalam apa
keadaan sekalipun, apabila imam rukuk, makmum hendaklah terus rukuk bersama
imamnya. Tidak perlu makmum menghabiskan bacaan al-Fatihah (sama ada ia
mengikuti imam dari awal atau ketika imam telah rukuk atau hampir rukuk) kerana
telah ditampung oleh bacaan imamnya.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52
(perkataan; “Qira-ah”).
2. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.
3. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
4. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil.
3. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
4. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil.
[1] Iktidal
dan duduk antara dua sujud adalah rukun pendek. Adapun ruku’, sujud pertama dan
sujud kedua adalah rukun panjang. Jadi, apabila makmum masih belum ruku’
tatkala imamnya telah bangkit dari sujud kedua, maka ia telah ketinggalan dari
imamnya melebihi tiga rukun panjang, iaitu; ruku’, sujud pertama dan sujud
kedua.
Ulasan
Saya ingin bertanya mengenai solat.
Jika saya terlewat untuk solat subuh, perlukah saya menyebut ' qada ' dalam niat solat subuh saya atau saya perlu niat seperti biasa ?