Soalan; salam ustaz, sy nak tanya
soalan, siapakah yang wajib bertanggungjawab (dari segi nafkah) ke atas anak2
yang kematian bapa? ibu masih ada tetapi kurang kemampuan
Jawapan;
Bismillah walhamdulillah wassolatu ala Rasulillah,
Dalam surah al-Baqarah (ayat 233) Allah menegaskan; “Dan
kewajipan bapa ialah menanggung nafkah
dan pakaian mereka dengan cara yang berpatutan…Ahli waris pun (berkewajipan)
seperti itu juga”.
Berdasarkan ayat
ini para ulamak menyimpulkan bahawa; kewajipan nafkah asalnya tertanggung di
atas bahu bapa. Jika bapa tidak mampu atau mati, nafkah si anak ditanggung oleh
waris-waris si anak (iaitu kerabat-kerabatnya yang akan mewarisi darinya)
merangkumi ibunya sendiri, datuknya, neneknya, saudaranya, bapa saudaranya dan
sebagainya lagi yang dapat mewarisi darinya. Jika waris ramai, tanggungan
nafkah wajib dikongsi mengikut kadar pewarisan masing-masing. Sebagai
contohnya; jika si anak hanya mempunyai nenek dan saudara lelaki sahaja, maka
nenek wajib menanggung 1/6 nafkahnya dan saudara lelaki pula nafkah selebihnya
iaitu mengikut kadar pewarisan mereka. Ini merupakan pandangan mazhab Hanbali
berdalilkan ayat di atas.
Menurut mazhab
Syafiie; nafkah anak wajib di tanggung oleh usul-usulnya (iaitu bapa, ibu,
datuk, nenek hingga ke atas) dengan didahulukan usul lelaki ke atas usul
perempuan. Selama masih ada usul lelaki (bapa, datuk hingga seterusnya), nafkah
tidak ditanggung oleh usul perempuan (ibu, nenek hingga seterusnya). Bagi anak
yang kematian bapa atau bapanya tidak mampu, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuknya,
diikuti oleh bapa kepada datuknya hinggalah seterusnya ke atas. Yang lebih
dekat didahulukan dari yang jauh. Jika si anak mempunyai datuk dan juga bapa
kepada datuknya, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuk kerana ia lebih dekat.
Jika sama-sama dekat (seperti si anak mempunyai datuk sebelah bapa (iaitu bapa
kepada bapanya) dan juga datuk sebelah ibu (iaitu bapa kepada ibunya), kewajipan
nafkah dikongsi bersama. Apabila tidak ada lansung datuk atau datuk yang ada
tidak mampu, barulah kewajipan nafkah berpindah kepada usul-usul perempuan
(iaitu ibu atau nenek atau yang lebih atas).
Perlu disebutkan;
kewajipan menanggung nafkah orang lain tertakluk kepada kemampuan. Jika tidak
mampu, tidaklah seseorang itu dibebani oleh Syarak untuk menanggung nafkah
orang lain sedang nafkahnya sendiri tidak tertanggung. Hal ini telah disepakati
ulamak. Maksud kemampuan itu ialah mempunyai lebihan setelah ditolak keperluan
diri sendiri sama ada dari hartanya sedia ada atau dari pendapatannya. Sabda
Nabi SAW; ““Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu.
Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk
ahli kerabat kamu. Jika ada suatu lebihan lagi setelah itu, maka untuk begini
dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Soheh
Muslim; 997, dari Jabir RA).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 41/79, 41/81 (perkataan ‘nafaqah’).
2. Hasyiyah
al-Baijuri ‘Ala Ibnu Qasim, 2/192.
3. Raudhatu
at-Thalibin, Imam an-Nawawi, 8/56-57.
Ulasan