Saturday, 30 June 2018

ADAKAH HARUS BERPUASA ENAM SEBELUM PUASA QADHA RAMADHAN?

Soalan; ustaz, adakah boleh kita berpuasa enam sebelum mengqadha puasa Ramadhan yang tertinggal?

Jawapan; 

Bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana uzur syar'ie (seperti wanita yang kedatangan haid di bulan Ramadhan, berbuka kerana sakit, musafit dan sebagainya), harus baginya untuk berpuasa enam dalam bulan Syawal, kemudian baru berpuasa qadha Ramadhan (sama ada dalam bulan Syamal atau selepasnya), kerana qadha Ramadhan baginya adalah wajib muwassa' iaitu kewajipan yang diberi tempoh masa yang panjang untuk melaksanakanya iaitu hingga sebelum menjelang Ramadhan tahun hadapan (lebih kurang 11 bulan), sedang puasa enam pula tempoh masanya pendek iaitu hanya dalam bulan Syawal sahaja.

Adapun orang yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa ada sebarang uzur Syar'ie (yakni meninggalkan puasa tanpa sebarang keuzuran), wajib dia segera mengqadha puasanya sebaik selepas hari raya. Maka tidak harus dia berpuasa enam sebelum menyelesaikan puasa qadha.

Pandangan di atas adalah sebagaimana pandangan jumhur ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Syafiie). Ada juga ulamak (iaitu mazhab Hanbali) berpandangan; diharamkan berpuasa sunat (termasuk puasa enam) melainkan setelah menyelesai puasa qadha Ramadhan.

Walaupun harus (mengikut pandangan jumhur di atas), namun yang terbaik -jika mampu banyak berpuasa dalam bulan Syawal- ialah menyelesaikan dahulu puasa Qadha, baru diikuti dengan puasa enam. Jika tidak mampu, bolehlah berpuasa enam terlebih dahulu dan menganjak puasa qadha ke dalam bulan-bulan yang lain.

Untuk lebih jelas; baca jawapan berkaitan;

NIAT SEKALI; PUASA QADHA DAN PUASA SYAWAL

MENGHIMPUNKAN PUASA ENAM DENGAN PUASA QADHA

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fatwa Lujnah Fatwa Negara Jordan (http://aliftaa.jo), no. fatwa; 2958.
2. Fatwa Syeikh Khakid bin Abdullah al-Muslih (https://ar.islamway.net/fatwa/33660).
3. Fatwa Syeikh Khalid bin Abdul Mun'im ar-Rifa'ie (https://ar.islamway.net/fatwa/38703).


0 ulasan: