Friday, 29 June 2018

MENSETUBUHI ISTERI KETIKA HAID; ADAKAH DIKENAKAN DENDA/KAFFARAH?

Soalan; Assalamualaikum ustaz..saya  nak tanya macam mana cara bayar kaffarah bila suami berjimak ketika isteri dah kering haid tapi belum suci hadas besar? 

Jawapan;


Diharamkan mensetubuhi isteri ketika dalam haid, sehinggalah kering/tamat haidnya dan ia mandi hadas. Sekelian ulamak menegaskan; perbuatan mensetubuhi isteri dalam haid adalah besar. Pelakukanya wajib bertaubat kepada Allah. 

Adakah dikenakan kaffarah/denda tertentu? Menurut jumhur/majoriti ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Maliki, pandangan yang masyhur dalam mazhab Syafiie dan satu riwayat dari Imam Ahmad); tidak dikenakan sebarang kaffarah/denda tertentu. Hanya bertaubat sahaja.

Sebahagian ulamak  (antaranya Imam al-Auza'ie, Ishaq, Hasan Basri dan satu riwayat dari Imam Ahmad; dikenakan denda di samping taubat. Namun mereka berikhtilaf tentang bentuk denda;
- Menurut Imam al-Auza'ie, Ishaq dan Ahmad;  membayar 1 atau 1/2 dinar.
- Menurut Imam Hasan Basri; membebaskan hamba atau menyebelih unta atau memberi makan 20 gantang.
- Menurut Said bin Jubair; membebaskan hamba.

Jika darah haid telah kering, namun belum mandi hadas, adakah boleh disetubuhi? Jumhur ulamak (iaitu mazhab Maliki, Syafiie dan Hanbali) berpandangan; haram disetubuhi selagi belum mandi. Ada ulamak berpandangan (antaranya Imam Daud az-Zahiri); halal disetubuhi jika telah menyucikan farajnya sekalipun belum mandi. Menurut Imam Abu Hanifah; jika haidnya kering setelah melepasi tempoh haid terpandang (iaitu 10 hari menurut beliau), halal disetubuhi sekalipun belum lagi mandi hadas.

Larangan mensetubuhi isteri yang sedang haid adalah hukum qat'ie dari al-Quran, iaitu firman Allah (bermaksud);

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad SAW) tentang haid. Katakanlah: 'Haid itu adalah kotoran'. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid (yakni jangan mensetubuhi mereka); dan janganlah kamu mendekati (mensetubhi) mereka sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang tobat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri" (surah al-Baqarah, ayat 222).
Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Mausu'ah Masail al-Jumhur (Dr. Muhammad Na'im Sa'ie), 1/108 dan 109.
2. Tafsir Ibnu Kathir; surah al-Baqarah, ayat 222.

0 ulasan: