Tuesday, 17 July 2018

BEBERAPA PERSOALAN TENTANG AQIQAH BAYI

Soalan; as salam ustaz, saya ingin bertanyakan soalan; jika anak saya no 2 sudah berumur 3 tahun perempuan belum buat aqiqah lagi dan anak no 3 saya lelaki berumur 9 bulan juga belum saya buat aqiqah juga, boleh kah saya lakukan aqiqah mereka bersama, manakala yang lelaki boleh kah saya buat kan sebahagian dahulu untuknya. terima kasih ustaz.

Jawapan;

1. Aqiqah menjadi tanggungjawab penjaga (yakni orang yang wajib menanggung nafkah bayi; yakni bapa, ibu, datuk dan sebagainya) selama bayi belum mencapai usia baligh. Apabila bayi telah baligh dan belum diaqiqahkan, tidak dituntut lagi ke atas penjaganya untuk melakukan aqiqah. Menurut mazhab Syafiie; digalakkan ke atas individu yang mengetahui dirinya belum diaqiqahkan ketika kecilnya untuk melakukan sendiri aqiqah bagi dirinya.

Anas RA menceritakan; "Sesungguhnya Nabi SAW melakukan aqiqah untuk dirinya selepas baginda diutuskan menjadi Nabi" (Musnad al-Bazzar; 7281. al-Mu'jam al-Awsat, at-Tabrani; 994).

2. Aqiqah sebaiknya dilakukan ketika bayi berusia 7 hari dari hari lahirnya. 'Aisyah RA menceritakan; "Nabi SAW melakukan aqiqah untuk cucunya Hasan dan Husain pada hari ketujuh. Pada hari itu juga baginda memberi nama mereka dan menyuruh dicukur kepala mereka" (Soheh Ibnu Hibban; 5311. Isnadnya hasan).

Jika terlepas hari ke 7, bolehlah dibuat bila-bila masa selagi anak belum baligh. Oleh kerana anak puan yang ke 2 dan ke 3 itu telah melepasi hari ke 7 masing-masing, maka tidak ada halangan untuk dibuat aqiqah serentak untuk mereka, tetapi dengan syarat untuk setiap anak seekor kambing sekurang-kurangnya

3. Untuk anak lelaki disunatkan dua (2) ekor kambing, namun kalau dibuat seekor sahaja pun memadai. Nabi SAW walaupun baginda mensunatkan dua ekor kambing untuk anak lelaki, namun baginda hanya buat seekor sahaja untuk cucu baginda Hasan dan Husain; seekor untuk Hasan dan seekor untuk Husain. Boleh juga dibuat berperingkat; dibuat seekor dulu, kemudian seekor lagi bila mampu.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fiqh Menyambut Kelahiran Bayi & Fiqh Aqiqah, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

0 ulasan: