Monday, 9 July 2018

CARA MENUKAR EMAS LAMA DENGAN EMAS BARU

Soalan; ustaz, jika saya ingin menukar emas lama dengan emas baru, bolehkah saya trade in emas lama saya tu di kedai emas, kemudian ambil emas baru dari kedai tersebut dengan tambahan wang bagi harga emas baru itu?

Jawapan;

Pertukaran emas dan perak, jika dengan sama jenis (iaitu emas dengan emas atau perak dengan perak) perlu mematuhi dua syarat;

1. Mesti sama timbangannya (*walaupun yang satu darinya lebih elok dari yang satu lagi, kerana kelebihan sifat tidak diambil kira oleh Syarak untuk mengharuskan tambahan selagi kedua-duanya masih dari jenis yang sama),

2. Mesti secara tunai (tidak boleh bertangguh)

Jika pertukaran berlainan jenis (seperti emas dengan perak, atau emas dengan wang), perlu memenuhi satu syarat sahaja di atas, iaitu; mesti berlaku secara tunai. Adapun sama timbangan/berat tidak disyaratkan, maka boleh berlaku lebihan/kurangan pada tukaran.

Syarat di atas berdalilkan hadis Nabi SAW; "Pertukaran emas dengan emas dan perak dengan perak hendaklah bersamaan dan tunai. Sesiapa menambah atau minta ditambah (timbangan), maka dia melakukan riba di mana yang mengambil dan yang memberi sama-sama (berdosa)" (Soheh Muslim; 1584). Dalam hadis yang lain; "...jika berbeza jenis, juallah (mengikut timbangan) yang kamu kehendaki asalkan secara tunai" (Soheh Muslim; 1587).

Menurut jumhur ulamak (mazhab-mazhab empat); syarat di atas merangkumi juga pertukaran bagi emas/perak yang dijadikan perhiasan yakni yang telah direka-bentuk menjadi gelang, rantai, anting-anting dan sebagainya.

Oleh demikian -merujuk kepada soalan-, jika emas lama itu hendak ditukar direct dengan emas baru, mesti dengan berat yang sama. Tidak harus dikenakan sebarang lebihan/tambahan -sama ada berupa  emas juga atau berupa wang- kerana tambahan itu dianggap riba oleh Syarak (kerana pertukaran berlaku dengan yang sama jenis). Untuk mengelak riba ini, hendaklah pertukaran dibuat dengan wang terlebih dahulu (kerana jika pertukaran bukan dengan yang sama jenis, tidak disyaratkan sama timbangan sebagaimana yang dijelaskan tadi), iaitu emas lama dijual dulu dengan menerima RM (Ringgit malaysia), kemudian dengan RM yang diperolehi itu dibeli emas baru. 

Segelintir ulamak (antaranya Imam Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim) mengecualikan dua syarat tadi bagi emas/perak yang telah menjadi perhiasan. Menurut mereka; emas yang tertakluk dengan syarat-syarat tadi ialah emas dan perak yang menjadi mata-wang (yakni dinar atau dirham). Adapun emas yang direka-bentuk (menjadi perhiasan), ia bukan lagi mata-wang, akan tetapi telah menjadi barangan, maka tidak terikat lagi dengan syarat tadi.

Pandangan yang ditarjih oleh rata-rata ulamak hari ini ialah pandangan jumhur tadi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. a-Muamalat al-Maliyah fi al-Fiqh al-Islami (Syeikh Diban bin Muhammad ad-Diban), hlm. 273-322.
2. Fiqh Muamalat Harta (Ahmad Adnan Fadzil), hlm. 119.

0 ulasan: