Selasa, 3 Julai 2018

PANDUAN PERNIAGAAN ONLINE

Selasa, 3 Julai 2018


Soalan; assalamu alaikum ustaz. Boleh ustaz berikan sedikit panduan kepada saya tentang perniagaan secara online. Saya berhasrat untuk menceburinya. Apa yang patut saya pastikan supaya jualan online saya menepati Syariat?


Jawapan;



Islam membuka ruang seluasnya untuk manusia mencipta kaedah baru atau menceburi kaedah-kaedah baru dalam urusan kehidupan mereka. Kerana itu, para fuqahak hari ini mensepakati satu prinsip dalam Syariat iaitu "Hukum asas bagi segala urusan keduniaan adalah harus (yakni dibolehkan) selama tidak ada padanya sebarang larangan Syarak". Dalam perniagaan, antara unsur yang dilarang Syarak ialah;


1. Menjual barang/produk yang ditegah Syariat atau yang memberi mudarat kepada manusia.


2. Gharar; iaitu ketidakjelasan dalam akad, yakni tidak dipastikan dengan betul status barang/produk yang dijual atau harganya atau kedua-dua sekali. Adanya unsur gharar ini akan memberi kerugian kepada mana-mana pihak yang berakad dan menimbulkan pertikaian nanti.


Dalam hadis, dinyatakan; "Nabi SAW menegah jual-beli secara gharar" (Musnad Ahmad; 2752. Abu Daud; 3376. Hadis soheh).


3. Penipuan; dalam segala bentuknya. Sabda Nabi SAW; "Sesiapa menipu, maka dia bukan dari kalanganku" (Soheh Muslim; 102).


4. Riba; khususnya bagi perniagaan emas, perak dan mata wang. Sabda Nabi SAW; "Allah melaknat pemakan riba dan pemberi makan riba" (Soheh al-Bukhari; 5962).


5. Mungkir janji. Sabda Nabi SAW; "Di antara tanda munafik ialah; bila berjanji, ia mungkiri" (Soheh al-Bukhari; 33).


Maka untuk mengelak bisnes online yang dijalankan terlibat dengan unsur-unsur di atas, hendaklah dipenuhi perkara-perkara berikut;


1. Barang/produk yang saudara tawarkan dalam talian itu hendaklah halal


2. Hendaklah dipastikan pembeli berpeluang mengetahui barang/produk yang ditawarkan dengan jelas (jenis dan ciri-cirinya, serta harganya, bayaran khidmat posnya) melalui keterangan bertulis, lebih baik lagi jika berserta gambar atau video penerangan yang mencukupi. Ini untuk memastikan pembeli tidak tersalah memilih barangan yang diminati.


3. Jangan menambah-nambah ciri yang tidak ada pada produk/barangan, kerana itu adalah penipuan. Pembeli berhak memulang barang/produk yang dibeli dan meminta kembali wangnya apabila menyedari ia ditipu.


4. Hendaklah sentiasa memastikan stok masih ada, untuk mengelak dari pembeli membayar untuk barang yang tidak ada, lalu penjual menyalahi hadis Nabi SAW; "Jangan kamu menjual apa yang tidak ada padamu".


5. Jika produk/barang hanya didapatkan apabila ada tempahan pembeli, hendaklah saudara berakad dengan pembeli secara akad SALAM (akad tempahan), iaitu mereka membayar bukan untuk membeli, akan tetapi untuk menempah dan wajib saudara memenuhi tempahan itu mengikut ciri-ciri barang yang ditempah dan dalam tempoh yang dijanjikan.


6. Di antara perkara penting dalam akad Syarak ialah ijab dan qabul, iaitu bahasa persetujuan dua pihak (penjual dan pembeli) untuk berakad jual-beli. Ijab dan qabul mesti jelas dan mesti sama. Bagi perniagaan secara online ini, ijab dan qabul berlaku secara bertulis. Maka perlu disediakan form (borang) untuk diisi oleh pembeli dan pihak saudara hendaklah memberi respon -secara bertulis juga atau melalui telefon- sebaik maklumat belian sampai kepada saudara dan dengan respon itu, akad dikira muktamad.


7. Hendaklah ditentukan kaedah pembayaran dari pembeli dan kaedah untuk saudara mengesahkan pembayaran benar dibuat atau tidak.


8. Saudara berkomitmen penuh untuk memenuhi janji kepada pelanggan dalam menentukan kualiti barang dan keselamatan barang hingga sampai kepada mereka. Saudara bukan sahaja bertindak sebagai penjual, tetapi juga sebagai wakil bagi pihak pelanggan bagi memastikan barang sampai kepada mereka seperti yang dijanjikan.


9. Pembeli diberi hak khiyar oleh Syarak apabila barang/produk sampai kepada mereka. Hak khiyar bermaksud; pilihan untuk membatalkan akad (dengan memulangkan barang dan menuntut kembali wang) jika mendapati ada kecacatan pada barang atau barang yang sampai berbeza dari yang dibeli/ditempah.


Begitulah beberapa panduan bagi saudara yang ingin menceburi perniagaan secara online. Mudah-mudahan perniagaan saudara dimajukan Allah berkat kepatuhan kepada Syariat.


Wallahu a'lam.


Rujukan;

1. at-Tahzib fi Fiqh as-Syafiie (Imam al-Baghawi), 3/282-287.
2. Fatwa dalam laman (www.islamweb.net), fatwa no. 23846.
3. at-Tijarah al-Alatruniyah fi Dhau Ahkam as-Syariah (Dr. Husain Syahatah).
4. al-Masail al-Fiqhiyyah fi at-Ta'amulaat al-Iliktruniyah (Syeikh Hamzah Masyuqah), dalam laman Institusi Fatwa Jordan (https:www.aliftaa.jo), no. 1401.
5. Keputusan Majma' al-Fiqh al-Islami (no. 54/3/6), Sya'ban 1410 / Mac 1990 (di Jeddah).
6. Fiqh Mu'amalat Harta (Ahmad Adnan Fadzil).

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...