Khamis, 18 Januari 2007

PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA ISTERI

Soalan:
Assalamualaikum Ustaz
Saya ingin meminta nasihat ustaz tentang kadar pembahagian faraid.Arwah adalah seorang perempuan yang telah berkahwin dengan suami pertamanya dan mendapat 3 anak lelaki dan 3 anak perempuan. Kemudian mereka bercerai. Arwah kemudiannya berkahwin dengan suami barunya dan kekal sehingga dia meninggal dan mendapat pula 2 anak lelaki dan seorang anak perempuan. Daripada yang saya tahu suami barunya akan mendapat seperempat mengikut al Quran surah an Nisa:12.
Adakah suami lamanya yang bercerai dapat bahagian dari pusaka arwah? Bagaimana dengan bahagian anak-anak yang lain? Adakah juga perbezaan kadar pembahagian anak-anak dari suami pertama (yang telah bercerai) dan anak-anak dari suami kedua?
Sekian terimakasih. Penerangan dan nasihat ustaz amat berguna kepada saya.
( Faiz Fadzil )
Jawapan

Bismillahir-Rahmanir-Rahim
Apa yang dapat saya simpulkan dari soalan saudara ialah;
Seorang wanita telah mati dengan meninggalkan waris-waris berikut;
1. Suami
2. 5 anak lelaki (iaitu 3 orang dengan suami pertama dan 2 orang dengan suami terakhir).
3. 4 anak perempuan (iaitu 3 orang dengan suami pertama dan 1 orang dengan suami terakhir).
Jika si mati tidak mempunyai waris-waris yang lain lagi selain mereka di atas, maka penyelesaiannya adalah seperti berikut;
- Suaminya akan mendapat bahagian 1/4 sahaja kerana si mati (yakni isterinya) mempunyai anak. Syarak menetapkan bahagian suami; 1/2 jika isterinya mati tanpa meninggalkan sebarang anak dan 1/4 jika isterinya mati meninggalkan anak sama ada hasil perkongsian hidup dengannya atau dengan lelaki lain (yakni suami lama).
Ini sebagaimana firman Allah (bermaksud):
“Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan…”(an-Nisa’: 12)
- Anak-anaknya pula (lelaki dan perempuan) akan mewarisi baki yang tinggal iaitu 3/4.Namun dalam pembahagian, anak lelaki hendaklah diberikan bahagian sekali ganda melebihi bahagian anak perempuan sebagaimana yang diarahkan oleh al-Quran;
“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan…”.
(an-Nisa’: 11)
Tidak ada perbezaan dalam pembahagian di atas antara anak-anak suami pertama dengan anak-anak suami kedua.
- Adapun suami lamanya (yakni bekas suami) tidak akan mendapat apa-apa bahagian dari harta pusaka kerana ikatan perkahwinan antara mereka berdua telahpun tamat dengan berlakunya penceraian dan habis tempoh eddah.
- Katakanlah harta yang ditinggalkan ialah 56 relung tanah, maka pembahagiannya ialah;·
  • Suami akan mendapat; 14 relung tanah (yakni 1/4 dari harta yang ditinggalkan)·
  • Anak-anak akan mendapat; 42 relung (yakni baki harta yang ditinggalkan).Setiap seorang anak lelaki mendapat; 6 relung dan setiap seorang anak perempuan pula mendapat; 3 relung.
Wallahu A’lam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jika tiada anak, suami mendapat 1/2, kemanakah perginya setengah yang baki lagi?

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...