Sunday, 15 June 2008

MEMBACA TANPA BERGURU

Soalan; Assalamualaikum. Ustaz, apakah hukum orang2 awam yang membaca buku2 agama contohnya Tafsir Ibn Kathir, Kitab Sahih Bukhari dsbnya tanpa berguru dengan orang yang lebih alim?

Jawapan;

Sabda Nabi s.a.w. (bermaksud); “Sesiapa merentasi satu jalan untuk mencari suatu ilmu, nescaya Allah akan mudahkan untuknya jalan ke syurga” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Hadis ini secara zahirnya menjelaskan fadhilat mencari ilmu. Namun jika direnung lebih jauh, hadis ini juga mengisyaratkan kepada kita bahawa ilmu itu hendaklah di ambil dari guru sebagaimana para sahabat mengambilnya dari Nabi s.a.w.. “Merentasi satu jalan untuk mencari suatu ilmu…” bermakna; kita keluar dari rumah kita untuk mencari orang alim untuk belajar suatu ilmu darinya. Jika ilmu itu harus ditimba semata-mata dari buku –tanpa guru-, tidak perlu kita bersusah payah keluar dari rumah untuk menuntut ilmu. Cukup dengan kita membeli buku, kemudian membacanya di rumah. Namun ini bertentangan dengan saranan Nabi s.a.w. di dalam hadis di atas.
Tidak salah menimba ilmu dari buku. Di dalam al-Quran sendiri Allah memerintahkan kita agar membaca. “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan” (surah al-‘Alaq, ayat 1). Allah juga menyebutkan tentang al-Qalam (pena) yang menjadi alat untuk penulisan; “Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan” (Surah al-‘Alaq, ayat 4). Malah di dalam al-Quran ada surah bernama al-Qalam (pena) di mana di dalam surah itu Allah bersumpah dengan Qalam (pena) dan penulisan manusia; “Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis” (Surah al-Qalam, ayat 1). Menurut Imam Ibnu Kathir; “Sumpah Allah dengan Qalam (pena) itu adalah untuk memperingatkan manusia terhadap salah satu nikmat Allah kepada mereka iaitu Dia telah mengajar mereka penulisan di mana dengannya mereka memperolehi ilmu” (Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Qalam, ayat 1).
Membaca sememangnya digalakkan oleh agama. Namun ia tidak menafikan kepentingan guru. Berguru dan membaca seharusnya beriringan dalam hidup kita. Ada masa kita belajar dengan menimba dari guru dan ada masa kita belajar melalui pembacaan kitab-kitab yang ditulis oleh alim-ulamak kita. Tidak harus kita meninggalkan guru kerana merasa cukup dengan buku. Begitu juga, tidak harus kita meninggalkan buku kerana rasa memadai dengan guru. Paling baik ialah suatu ilmu itu dipelajari terlebih dahulu dari guru, kemudian setelah itu diperluaskan kefahaman atau penguasaan tentangnya melalui pembacaan. Ada ungkapan hikmah menyebutkan; “Asal ilmu itu berada di dalam dada ulamak. Kemudian dipindahkan ke dalam kitab-kitab ulamak. Namun kuncinya masih berada di tangan ulamak”. Jadi, di peringkat awal pengajian, kita perlu berguru dari orang alim (ulamak) untuk mendapat kunci ilmu dari mereka. Kemudian, apabila kunci telah ada di tangan kita, kita gunakanlah kunci itu untuk membuka kitab-kitab tulisan ulamak untuk mengharungi lautan ilmu yang lebih luas.
Satu perkara lagi yang perlu diperingatkan iaitu tentang buku yang hendak dibaca. Hendaklah kita memilih dengan tepat buku-buku/kitab-kitab yang hendak dibaca. Pengarangnya hendaklah orang yang berilmu dan jelas kesohehan aqidah dan pegangannya. Tujuan membaca sama seperti berguru iaitu untuk menimba ilmu. Sebagaimana kita perlu mengenali guru, maka kita juga perlu mengenali pengarang buku yang ingin kita baca. Imam Ibnu Sirin menegaskan; “Ilmu itu adalah agama. Maka hendaklah seseorang dari kamu memerhatikan dari siapa ia mengambil agamanya” (Soheh Imam Muslim, bab Bayan Anal-Isnad Minad-Din).
Wallahu a’lam.

0 ulasan: