Monday, July 21, 2008

TAWASSUL DENGAN NABI

Soalan; Apa maksud tawassul? Adakah harus kita bertawassul kepada Nabi s.a.w.?

Jawapan;

Dari sudut bahasa, kalimah at-Tawassul bermaksud mengambil satu jalan untuk sampai kepada sesuatu. Adapun dari segi Syara’, ia bermaksud; mendekatkan diri kepada Allah melalui jalan mentaatiNya, beribadah kepadaNya, mengikuti para Nabi dan RasulNya dan dengan apa sahaja amalan atau cara yang disukai Allah dan diredhaiNya. Firman Allah (bermaksud); “Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah kepadaNya (yakni jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya), serta berjihadlah pada jalanNya supaya kamu beroleh kejayaan”. (Al-Maidah; 35)

Tawassul ada yang disepakati oleh para ulamak dan ada yang diikhtilafkan. Tawassul yang disepakati oleh ulamak akan keharusannya –malah digalakkan melakukannya- ialah;
1. Tasawwul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya
2. Tawassul dengan amal soleh
3. Tawassul dengan doa orang soleh

Tawassul melalui cara-cara di atas telah disepakati oleh para ulamak dan tidak ada ulamak yang mempertikainya. Adapun jenis tawassul yang diiktilafkan ialah bertawassul kepada Allah (iaitu berdoa kepadaNya) dengan kemuliaan atau kemegahan zat salah seorang dari hambaNya. Contohnya; bertawassul dengan zat Nabi atau mana-mana orang soleh untuk memohon suatu hajat dari Allah. Para ulamak dalam menjelaskan hukum tentangnya ada beberapa pandangan;

Pertama; Pandangan yang mengharamkannya secara keseluruhannya iaitulah pandangan Imam Ibnu Taimiyyah, Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Bin Baz dan yang sealiran dengan mereka. Mereka berpandangan tawassul sedemikian adalah tidak harus dan bid’ah kerana tidak disebut oleh al-Quran dan tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w.. Adapun hadis-hadis yang menyebutkan tentang tawassul sahabat dengan Nabi s.a.w. maka maksudnya ialah tawassul dengan doa baginda, bukan dengan zatnya.

Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; “Lafaz tawassul dikehendaki maknanya dengan tiga perkara;
(1) Bertawassul kepada Allah dengan cara beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan mentaati baginda.
(2) Bertawassul dengan doa dan syafaat baginda
Kedua-dua bentuk tawassul di atas telah disepakati keharusannya oleh ijmak ulamak. Siapa mengingkarinya ia adalah kafir dan murtad. Ia diminta supaya bertaubat. Jika enggan bertaubat, hendaklah dibunuh.
(3) Tawassul dengan makna bersumpah kepada Allah dengan zat Rasulullah s.a.w. atau memohon kepada Allah dengan zat baginda. Tawassul yang ketiga ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat sama ada ketika baginda masih hidup atau setelah baginda mati, sama ada di sisi kubur baginda atau di sisi kubur orang lain”. (Lihat; at-Tawwasul wa al-Wasilah, al-Imam Ibnu Taimiyyah).

Kedua; Pandangan yang mengkhususkan keharusan dengan Nabi s.a.w. sahaja, yakni harus bertawassul dengan Nabi s.a.w., namun dengan orang lain (termasuk para sahabat, wali-wali Allah dan sebagainya) adalah tidak harus. Pandangan ini diambil dari Imam Izzuddin Ibnu ‘Abdissalam. Beliau berdalilkan sebuah hadis yang menceritakan; “Seorang lelaki yang buta matanya datang kepada Nabi s.a.w., lalu ia berkata; ‘Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah supaya Dia menyembuhkan mataku’. Lalu Rasulullah menyuruhnya mengambil wudhuk, menunaikan solat dua rakaat dan seterusnya berdoa seperti di bawah; “Ya Allah! Aku bermohon dan bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad, nabi rahmat. (Aku telah meminta kepadanya (yakni kepada Muhammad);) ‘Ya Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh kepada Tuhanku dengan kemuliaanmu bagi hajatku ini supaya Ia menunaikannya untukku’. Ya Allah! Berilah syafaat kepadanya untukku’” (HR Imam at-Tirmizi dan al-Hakim. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini adalah hasan soheh).

Ketiga; Pandangan yang mengharuskannya secara mutlak, iaitu harus bertawassul sama ada dengan kemegahan zat Nabi Muhammad s.a.w., para Nabi yang lain atau orang-orang soleh. Pandangan ini diutarakan –antaranya- oleh Imam as-Subki, as-Syaukani, al-Alusi, Syeikh Zahid al-Kauthari dan Syeikh Muhammad Hasanin Makhluf (bekas mufti Mesir). Antara dalil mereka ialah; riwayat oleh Imam Ibnu Syaibah dari Malik ad-Dar dengan sanad yang soheh –sebagaimana yang ditegaskan Imam al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari- yang menceritakan; “Telah berlaku kemarau yang teruk pada zaman Umar r.a., lalu seorang lelaki pergi ke kubur Nabi s.a.w., lalu ia berkata; ‘Wahai Rasulullah! Mohonlah hujan (dari Tuhanmu) untuk umatmu kerana sesungguhnya mereka telah mengalami kemusnahan (kerana kemarau)’. Pada malamnya, lelaki itu bermimpi Rasulullah datang kepadanya dan berkata; “Pergilah kepada Umar, sampaikan salamku kepadanya dan khabarkan kepadanya bahawa mereka akan dikurniakan hujan (oleh Allah)”. Menurut Imam Ibnu Hajar, lelaki tersebut bernama Bilal bin al-Harith al-Muzani dan beliau merupakan seorang sahabat. (Rujuk; Fathul-Bari, juz. 3, hlm. 148 dan al-Isabah, juz. 3, hlm. 4). Peristiwa di atas berlaku pada zaman Saidina Umar dengan diketahui oleh para sahabat termasuklah Umar sendiri dan tidak ada seorangpun di kalangan mereka yang mengingkarinya, menunjukkan bahawa ia adalah harus. Adapun pandangan Imam Izzuddin yang mengkhususkan keharusan bertawassul seperti itu dengan Rasulullah s.a.w. sahaja, yakni tidak harus dengan orang lain, maka pandangan itu dapat dipertikaikan kerana tidak ada dalil yang menegaskan bahawa hal tersebut hanya khusus untuk baginda sahaja. Apabila tiada dalil khusus, maka kekallah ia dengan sifat umumnya.

Kesimpulan; bertawassul dengan Nabi s.a.w. jika dengan makna mencari wasilah/jalan kepada Allah dengan cara beriman kepada baginda s.a.w. dan mentaatinya atau dengan makna memohon hajat kepada Allah dengan doa dan syafaat baginda (ketika hayatnya), maka tawassul sebegini adalah harus dengan ijmak para ulamak. Adapun bertawassul dengan makna memohon kepada Allah dengan menyebutkan zat atau kemuliaan baginda (selepas kewafatannya), maka ia diikhtilafkan di kalangan ulamak. Masing-masing dengan hujjah yang tersendiri. Hal ini dijelaskan juga oleh Imam Hasan al-Banna dalam Usul al-‘Isyrinnya; “Berdoa jika diiringi dengan bertawassul kepada Allah dengan salah seorang dari makhluknya merupakan perkara khilaf dalam masalah furu’ dalam cara berdoa dan ia bukan tergolong dalam masalah-masalah aqidah” (Usul ke 15).

Namun demikian, jika kita dapat mengambil sikap yang mengeluarkan kita dari khilaf itulah yang terbaik sebagaimana ditegaskan oleh ulamak dalam kaedah Fiqh; “Mengambil jalan untuk keluar dari khilaf adalah digalakkan”. Di hadapan kita ada tiga jenis tawassul yang disepakati oleh ulamak keharusannya –malah amat digalakkan kita menggunakannya- iaitu bertawassul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya, bertawassul dengan dengan amal soleh kita dan bertawassul dengan doa orang soleh. Tiga tawassul ini sudah mencukupi bagi kita untuk meninggalkan jenis tawassul yang dikhilafkan oleh ulamak (iaitu tawassul dengan orang yang telah mati). Dari tiga tawassul tersebut, yang terbaik ialah bertawassul dengan nama-nama Allah kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu” (al-A’raf; 180) .

Wallau a’lamu bisshawab.

0 comments:

 

Copyright © LAMAN SOAL JAWAB AGAMA Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger