Thursday, July 17, 2008

WUDHUK DAN MANDI ORANG BERPENYAKIT KULIT

Soalan; Assalamualaikum Uztaz. Saya ada penyakit kulit Eczema yang severe, area yang affected tu biasanya mengeluarkan cecair kekuningan jernih dan adakalanya berdarah. Saya juga tidak dapat terkena air terlalu kerap kerana ia akan menerukkan lagi kondisi kulit saya. Mandi pun kena sekali sehari. Masalah saya sekarang saya tak tahu bagaimana harus saya melakukan mandi wajib dan menunaikan solat kerana kulit terasa kotor berdarah dan bernanah. Saya harap Ustaz dapat membantu saya. Terima kasih.

Jawapan;

Firman Allah “Bertakwalah kepada Allah apa yang terdaya oleh kamu” (Surah at-Taghabun, ayat 16). FirmanNya juga; “Allah tidak memberati seseorang kecuali mengikut kemampuannya” (Surah al-Baqarah, ayat 284). Bersuci dari hadas (sama ada mengambil wudhuk atau mandi wajib) pada asalnya wajib menggunakan air. Namun jika tidak mampu menggunakan air, diharuskan bertayammum iaitu menyapukan debu ke muka dan tangan bagi menggantikan wudhuk dan mandi wajib. Itu jika keseluruhan badan tidak mampu dikenai air. Jika sebahagiannya dapat dikenai air, maka hendaklah bahagian itu dibasuh sebagaimana biasa dengan air. Adakah bahagian yang tidak dapat dikenai air wajib diganti dengan tayammum? Persoalan ini menjadi khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; Imam Ahmad dan Syafi’ie berpendapat; wajib diganti dengan tayammum. Jadi berdasarkan pandangan ini, orang yang luka atau sakit di badannya dan tidak dapat menggunakan air pada tempat luka atau sakit itu, ia perlu melakukan dua perkara semasa mengambil wudhuk dan mandi wajib;
1) Membasuh kawasan yang sihat dengan air sebagaimana biasa.
2) Melakukan tayammum bagi menggantikan kawasan yang luka atau sakit.

Kedua; Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat; tidak perlu bertayammum lagi. Memadai dengan menyampaikan air pada kawasan sihat sahaja. Adapun kawasan yang sakit dimaafkan oleh Syarak kerana ada keuzuran. Menurut pandangan ini; toharah (bersuci) adalah dengan salah satu sahaja iaitu dengan air (yakni wudhuk atau mandi) atau dengan tanah (yakni tayammum). Tidak dituntut menggabungkan kedua-duanya. (*Baca lebih lanjut tentang toharah orang sakit dalam satu lagi blog saya; http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-cara-bersuci-orang-luka-dan.html)

Kesimpulannya, jika penyakit kulit saudara itu merangkumi seluruh badan, saudara boleh terus berpindah kepada tayammum pada ketika saudara tidak mampu menggunakan air atau penggunaan air akan membawa kesakitan atau melambatkan sembuh atau menambahkan kecederaan pada kulit. Tetapi jika ia melibatkan bahagian tertentu sahaja, saudara boleh memilih untuk beramal dengan mana-mana satu dari pandangan ulamak di atas.

Mengenai darah dan nanah yang keluar ketika sedang solat, ia dimaafkan kerana sukar dielakkan bagi orang yang menghadapi masalah seperti saudara. Jadi, tidak perlulah saudara menghentikan solat dan tidak perlu juga saudara risau tentangnya. Para ulamak menegaskan; harus mengerjakan solat dalam keadaan terdapat najis yang dimaafkan (di badan atau pakaian) (Lihat; Syarah Soheh Muslim (Imam an-Nawawi), jil. 3, kitab at-Toharah, bab al-Istinjak).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim (jil. 1), Imam an-Nawawi.
2. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami (jil. 1), Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili.
3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
4. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub.
Post a Comment