Thursday, September 11, 2008

TIDAK MELAFAZKAN NIAT

Soalan; ustaz, saya ingin tanya satu soalan; adakah solat kita sah jika kita tidak melafazkan niat tetapi kita berniat untuk menunaikan solat?

Jawapan;

Para ulamak telah sepakat menyatakan bahawa; tempat niat ialah di dalam hati. Apabila melakukan amalan –termasuk solat-, wajib kita menghadirkan ke dalam hati kita; amalan yang hendak kita lakukan dan untuk siapa kita melakukannya. Adapun melafazkan dengan lidah, ia hanya sunat sahaja mengikut mazhab Syafi’ie. Ada ulamak berpandangan; bid’ah melafazkan niat dengan lidah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- atau para sahabat. Oleh itu, sah niat jika hati telah menghadirkannya sekalipun lidah tidak melafazkannya. Adapun melafazkan dengan lidah sahaja tanpa kehadiran hati, tidak sah niat.

Bagi solat, masa niat ialah semasa mengucapkan takbir (yakni takbiratul-ihram). Tidak harus niat dihadirkan sebelum takbir atau selepas habis takbir. Ini adalah pandangan mazhab Syafi’ie. Ada di kalangan ulamak berpendapat; harus didahulukan niat dari takbir asalkan jarak masa antara niat dan takbir itu tidak lama, iaitu sebaik sahaja berniat, hendaklah terus melafazkan takbir tanpa menunggu lagi. Pandangan kedua ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan juga Abu Hanifah.

Untuk kupasan lanjut tentang niat solat, sila baca di; (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/solat-niat.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 1/332.
Post a Comment