Langkau ke kandungan utama

TAK SEMPAT BACA FATIHAH

Soalan; saya ingin bertanya tentang makmum yang belum habis fatihahnya sedangkan imamnya telahpun ruku’. Adakah ia perlu juga menghabiskan fatihahnya atau ia terus ruku’ bersama imam –sekalipun fatihah belum habis dibaca-?

Jawapan;

Para ulamak berikhtilaf dalam masalah; adakah makmum juga wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya?

1. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; makmum wajib membaca al-Fatihah sebagaimana imamnya juga sama ada dalam solat/rakaat yang dibaca perlahan atau di baca kuat, yakni bacaan al-Fatihah imam tidak memadai untuknya.

2. Menurut mazhab-mazhab yang lain (Hanafi, Maliki dan Hanbali); makmum tidak wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya, yakni memadai bacaan imam untuknya atau dalam pengertian yang lain; imam telah menanggung bacaan untuknya, jadi tidak wajib lagi ia membacanya. Cuma sebahagian mereka mensunatkan makmum membacanya dalam solat/rakaat yang tidak dibaca kuat (oleh imam) atau jika makmum tidak dapat mendengar bacaan imamnya.

Merujuk kepada masalah di atas, apabila imam telah ruku’ dan kita belum selesai membaca al-Fatihah, mengikut pandangan jumhur; hendaklah kita terus ruku’ bersama imam dan tidak perlu kita berusaha menghabiskan bacaan Fatihah kita kerana ia telah ditanggung oleh Imam kita. Namun jika pandangan Imam Syafi’ie yang kita ikuti, wajiblah kita menghabiskan juga fatihah kita sebelum ruku’ kerana Fatihah wajib atas makmum sebagaimana wajib atas imam. Untuk dikira rakaat kita bersama imam, kita hendaklah ruku’ sebelum imam bangun dari sujud yang kedua. Ini kerana menurut mazhab Syafi’ie, makmum –atas sebab keuzuran (yakni lambat dalam bacaan)- hanya diizinkan untuk ketinggalan dari imamnya setakat tiga rukun panjang sahaja.[1] Jika kita masih belum selesai membaca al-Fatihah sedangkan imam telah pun bangun dari sujud keduanya, maka tidak perlu lagi kita ruku’, sebaliknya kita menunggu imam di rakaat berikutnya dan meneruskan solat bersama imam seperti biasa, kemudian apabila imam memberi salam kita pun menambah rakaat yang ketinggalan itu.

Itu bagi makmum yang mengikuti imamnya dari mula solat lagi. Adapun makmum yang datang lewat di mana ia sampai ketika imam hampir hendak ruku’ (mengikut pemerhatiannya), hendaklah ia bertakbir dan terus membaca al-Fatihah. Apabila imamnya ruku’, hendaklah ia ruku’ bersama imam tanpa perlu menghabiskan fatihahnya. Jika ia sampai ketika imam telah ruku’, hendaklah ia bertakbir dan kemudian terus ruku’ bersama imam (tanpa perlu membaca fatihah lagi). Bagi kes ini –dalam mazhab Syafi’ie sendiri-, bacaan fatihah makmum telah ditanggung oleh imamnya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.
2. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
2. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

Nota Kaki;

[1] Iktidal dan duduk antara dua sujud adalah rukun pendek. Adapun ruku’, sujud pertama dan sujud kedua adalah rukun panjang. Jadi, apabila makmum masih belum ruku’ tatkala imamnya telah bangkit dari sujud kedua, maka ia telah ketinggalan dari imamnya melebihi tiga rukun panjang, iaitu; ruku’, sujud pertama dan sujud kedua.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...