Langkau ke kandungan utama

KONGSI RAYA; HARUS ATAU TIDAK?

Oleh: Us. Ahmad Adnan bin Fadzil

Tidak harus orang Islam menghadiri perayaan agama orang bukan Islam. Hukum ini menurut Imam Ibnul-Qayyim -dalam kitabnya Ahkam Ahlil-Zimmah- disepakati oleh sekelian ulamak.[1] Firman Allah;

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (al-Furqan: 72)

Menurut Imam Ibnu ‘Abbas, Abu al-‘Aliyah, Thawus, Ibnu Sirin, ad-Dhahhak, Said bin Jubair dan ar-Rabi’ bin Anas; maksud (لا يشهدون الزور) dalam ayat di atas ialah “mereka tidak menghadiri perayaan-perayaan orang-orang musyrikin (أعياد المشركين).[2]

‘Atha’ bin Dinar telah menceritakan bahawa Saidina Umar r.a. berkata;

لا تعلموا رطانة الأعاجم ولا تدخلوا على المشركين في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم
“Janganlah kamu mempelajari mentera-mentera orang asing dan janganlah kamu bersama-sama orang musyrikin dalam gereja-gereja/tempat-tempat ibadat mereka pada hari raya mereka, kerana sesungguhnya kemurkaan (Allah) akan turun menimpa ke atas mereka”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang soheh).[3]

Berkata Abul-Qasim Hibatullah bin al-Hasan at-Thabari (faqih mazhab Syafi’ie); Tidak harus bagi kaum muslimin menghadiri hari-hari raya orang kafir kerana mereka berada di atas munkar dan zur (agama palsu). Jika ahli-ahli makruf bergaul dengan ahli-ahli munkar tanpa mengingkari perbuatan mereka, mereka (yakni ahli-ahli makruf) seolah-olah seperti orang-orang yang meredhai munkar dan melebihkannya. Maka kita khuatiri apabila turunnya kemurkaan Allah ke atas kumpulan mereka nescaya akan menimpa keseluruhan manusia (termasuk ahli makruf). Kita berlindung dengan Allah dari kemurkaanNya”.[4]

Imam Abul-Hasan al-Amidi juga ada berkata; “Tidak harus menghadiri hari-hari raya penganut Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Hukum ini menjadi pegangan Imam Ahmad dan beliau berhujjah dengan ayat di atas.

Dalam hadis yang kita kemukakan di bahagian muqadimah tadi, Rasulullah s.a.w. bersabda (setelah melihat kaum Ansar menyambut dua hari perayaan yang mereka warisi dari zaman jahiliyah);

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh)[5]

Berkata Imam as-Shon’ani; berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak telah menyimpulkan hukum bahawa dilarang kaum muslimin bergembira/bersuka-ria di dalam perayaan-perayaan orang musyrikin dan meniru-niru mereka. Malah Syeikh Abu Hafs al-Musti (dari mazhab Hanafi) amat tegas dalam hal ini sehingga ia berkata; “Sesiapa memberi hadiah kepada seorang musyrik sekalipun dengan sebiji telur sebagai membesarkan hari mereka, maka sesungguhnya ia kufur dengan Allah”.[6]

Imam al-Minawi ketika mensyarahkan hadis yang serupa telah menaqal pandangan al-Muzhir (المظهر) yang berkata; hadis ini menjadi dalil bahawa membesarkan hari an-Niruz dan al-Mahrajan[7] dan seumpamanya adalah dilarang oleh agama.[8]
[1] Ahkam ahlil-Zimmah, juz. 2, hlm. 156.
[2] Tafsir Ibnu Kathir dan Ahkam Ahlil-Zimmah.
[3] Lihat hadis ini dalam Ahkam Ahlil-Zimmah.
[4] Ahkam Ahlil-Zimmah.
[5] Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solaul-Idaian.
(Di dalam kitab Subulus-salam itu dijelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia antara syari’at Allah kepada hambaNya. Ini kerana yang digantikan hanyalah hari raya. Adapun adat sambutan yang dilakukan oleh mereka iaitu mengadakan permainan-permainan (untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan) tidak disentuh oleh Rasulullah s.a.w.. Ini menunjukkan ia adalah harus pada hari raya. Namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur yang dilarang oleh Syarak dan tidak memalingkan dari ketaatan).
[6] Subulus-Salam, bab Solatil-Idain.
[7] Iaitu dua hari yang disambut oleh Ansar yang ditegah oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas.
[8] Al-Faidhul-Qadier, hadis no. 6106.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...