Langkau ke kandungan utama

KANAK-KANAK BERSAMA DALAM SAF ORANG DEWASA

Soalan; Bolehkah seorang kanak-kanak yang berumur tujuh tahun yang telah bersunat tetapi belum baligh bersama-sama saf orang dewasa?

Jawapan;

Seorang sahabat iaitu Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Aku bersama seorang anak yatim telah menunaikan solat di belakang Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- di rumah kami, sementara ibuku Ummu Sulaim berdiri di belakang kami”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, para ulamak menyimpulkan bahawa jika makmum yang ingin mengerjakan solat itu terdiri dari seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak, maka mereka berdua hendaklah berdiri di belakang imam dalam satu saf. Jika terdapat perempuan, maka ia hendaklah berdiri di belakang mereka.

Jika sekiranya makmum terdiri dari kumpulan lelaki dewasa, kumpulan kanak-kanak dan kumpulan wanita, maka aturannya ialah; saf lelaki dewasa di belakang imam, diikuti dengan saf kanak-kanak dan hujung sekali saf wanita. Ini berdasarkan hadis dari Abi Malik as-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;

“Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- meletakkan orang-orang dewasa di saf hadapan, kanak-kanak di belakang mereka dan para wanita di belakang saf kanak-kanak”. (Riwayat Imam Ahmad)

Namun menurut Syeikh al-Albani; hadis di atas sanadnya adalah dhaif. Menurut beliau tidak ada hadis lain yang menyuruh agar kanak-kanak diletakkan di belakang saf orang dewasa melainkan hadis di atas, akan tetapi sanadnya adalah dhaif dan tidak harus dijadikan hujjah. Oleh itu, beliau menegaskan; “Aku berpandangan bahawa harus kanak-kanak berdiri bersama orang dewasa di dalam satu saf jika terdapat ruang pada saf. Solat seorang anak yatim bersama Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu- di belakang Nabi (iaitu hadis pertama di atas) merupakan hujjah dalam masalah ini”.

Menurut Imam as-Syaukani; kanak-kanak di letakkan di belakang saf orang dewasa jika bilangan mereka ramai (yakni lebih dari seorang). Adapun jika ia seorang sahaja, maka ia hendaklah berdiri bersama saf orang dewasa berdalilkan hadis pertama tadi. Berkata Imam al-Baghawi; jika seorang kanak-kanak bersama orang dewasa dalam saf, kemudian datang seorang lelaki, janganlah ia menolak kanak-kanak itu ke sisi (yakni hendaklah ia menunaikan solat di tepi kanak-kanak itu dengan menyambung saf darinya).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. At-Tahzib Fi Fiqhi al-Imam as-Syafi’ie, Imam al-Baghawi, jil. 2, hlm. 278.
2. Ad-Darari al-Madhiyyah, Imam as-Syaukani, hlm. 139.
3. Nailul Autar, Imam as-Syaukani, juz. 3, Kitab as-Solah, bab Mauqif as-Shibyan wa an-Nisa Minar-Rijal.
4. Tamam al-Minnah Fi at-Ta’liq ‘Ala Fiqh as-Sunnah, Syeikh Nasiruddin al-Albani.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk