Langkau ke kandungan utama

MEMOTONG SALURAN PERANAKAN

Soalan; Apa hukumnya isteri yang memotong saluran peranakan oleh kerana tidak mahu mengandung lagi walaupun diberi keizinan oleh suami? Adakah ia satu dosa besar?

Jawapan;

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam Fatawa Mu’asyirahnya (jil. 2) apabila ditanya berkenaan hukum mengikat saluran peranakan, beliau menjawab; “Perbuatan tersebut tidak harus kerana mengandungi tindakan mengubah ciptaan Allah. Ia adalah perbuatan yang dipengaruhi oleh Syaitan dan dihiasi oleh Syaitan. Dikecualikan jika terdapat darurat yang kemuncak, seperti kelahiran anak akan mendatangkan bahaya kepada Ibu dan tidak ada jalan lain lagi untuk menghalang kelahiran melainkan dengan cara tersebut (yakni mengikat saluran peranakan itu). Hukum darurat tersebut hanya bersifat individu dan merupakan kes terpencil yang dilakukan mengikut kadar perlu. Tidak harus hukum darurat tersebut diambil menjadi satu prinsip umum untuk semua keadaan”. (hlm. 680)

Ulasan;

1. Berdasarkan fatwa di atas dapat kita simpulkan bahawa; mengikat saluran peranakan –apatah lagi memotongnya- hukum asalnya ialah haram kerana ia mengubah ciptaan Allah iaitu merosakkan fungsi anggota tubuh yang dijadikan Allah. Hukum asal ini tidak berubah kecuali jika ada suatu darurat yang tidak dapat dielakkan.

2. Perbuatan yang dipengaruhi oleh Syaitan dan dihiasi oleh Syaitan yang disebut oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam fatwanya di atas adalah merujuk kepada firman Allah yang bermaksud;

“(Syaitan derhaka) yang telah dilaknat oleh Allah dan ia (yakni syaitan itu) berkata: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil dari hamba-hambaMu sebahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku), dan aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak); lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah’. Dan (ingatlah) sesiapa mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang-nyata”. (Surah an-Nisa’, ayat 118-119)

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatawa Mu’ashirah, Dr. Yusuf al-Qaradhwai, jil. 2, hlm. 680. (Cet. Al-Maktab al-Islami, Beirut/Dimasyq/’Amman, 2000).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...