Langkau ke kandungan utama

SEMBELIHAN BINATANG YANG HAMPIR MATI

Soalan : Apa hukumnya bagi sembelihan binatang yang hampir mati?

Jawapan

Di antara syarat sah sembelihan ialah; binatang yang hendak disembelih itu hendaklah masih hidup. Maksud ‘masih hidup’ ialah memiliki nyawa yang tetap (hayah mustaqirrah) iaitu nyawa yang melebihi nyawa binatang yang disembelih. Tanda masih memiliki nyawa yang tetap itu ialah adanya tindak-balas selepas dilakukan sembelihan dan diyakini bahawa sembelihan memberi kesan terhadap kematiannya sama ada menyebabkan kematiannya atau mempercepatkan kematiannya (bagi binatang yang cedera, kemalangan atau sebagainya). Tidak sah sembelihan yang dilakukan ke atas binatang yang telah mati. Begitu juga, tidak sah sembelihan ke atas binatang yang berada di hujung nyawa yang keadannya sama seperti binatang yang telah disembelih. Firman Allah;

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (iaitu binatang yang tidak disembelih), darah, daging babi, dan binatang yang disembelih untuk selain Allah, (binatang) yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat tang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu bertenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Demikian itu adalah perbuatan fasik”. (al-Maidah, ayat 3)

Di dalam ayat di atas Allah mengharamkan memakan binatang tercekik, terjatuh, dipukul, ditanduk oleh binatang lain atau yang diterkam oleh binatang buas kecuali yang sempat kita sembelih ketika nyawanya masih ada. Berkata Ibnu ‘Abbas r.a.; “Mana-mana dari binatang tersebut yang sempat kamu sembelih ketika ia masih mempunyai ruh/nyawa, maka makanlah kerana ia adalah bersih”. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Saidina ‘Ali yang berkata; “Jika binatang tersebut menggerakkan ekornya atau mengetih kakinya atau mengedip matanya (selepas kamu menyembelihnya), maka makanlah”. Ibnu Jarir meriwayatkan juga dari Saidina ‘Ali; “Jika binatang yang tercekik, dipukul, terjatuh dan sebagainya itu sempat kamu menyembelihnya ketika ia masih menggerakkan kakinya, maka makanlah”. Tawus dan al-Hasan juga berkata; “Binatang yang disembelih jika ia masih bergerak dengan suatu pergerakan yang menunjukkan ia masih ada nyawa pada badannya selepas disembelih, maka ia adalah halal”. Berkata Imam Ahmad; “Jika ia menggerakkan ekornya, mengedipkan matanya dan mengalir keluar darah darinya (selepas disembelih), haruslah memakannya”. Dari ulasan-ulasan sahabat dan ulamak ini dapatlah kita memahami dengan lebih sempurna maksud ‘memiliki nyawa yang tetap (hayah mustaqirrah)’ yang kita sebutkan tadi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Maidah, ayat 3.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, jil. 8, halaman 401-402.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...