Langkau ke kandungan utama

SOLAT JENAZAH KE ATAS ORANG BUNUH DIRI

Soalan; orang yang mati kerana membunuh diri sendiri, adakah wajib disolatkan jenazahnya?

Jawapan;

Terdapat hadis dari Jabir bin Samurah r.a. menceritakan;

أُتِيَ النَّبِيُّ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ بِمَشَاقِصَ، فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ.
“Telah dibawa kepada Nabi s.a.w. seorang lelaki yang telah membunuh dirinya dengan panah, lalu baginda tidak menunaikan solat ke atas mayatnya”. (Riwayat Imam Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak –antaranya Khalifah Umar bin Abdul-‘Aziz dan Imam al-Auza’ie- berpendapat; Orang yang membunuh dirinya tidak harus disolatkan jenazahnya”.

Namun jumhur ulamak termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafi’ie berpandangan; hendaklah disolatkan jenazahnya sebagaimana orang Islam yang lain. Berkenaan hadis di atas, mereka menjawab; “Nabi s.a.w. tidak mensolatkan mayat yang membunuh diri itu sebagai satu ancaman kepada orang ramai agar jangan melakukan sepertinya. Walaupun baginda tidak mensolatkannya, namun ia disolatkan oleh para sahabat baginda”. Hal demikian sama seperti tindakan baginda tidak mensolatkan jenazah orang yang mati meninggalkan hutang di mana beliau menyerahkan kepada sahabatnya untuk mensolatkannya. Tujuan baginda ialah sebagai ancaman kepada orang-orang yang suka meremeh-temehkan soal membayar hutang.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Syarh Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 9, Kitab an-Janaiz, Bab Tarki as-Solah ‘Ala al-Qatil Nafsahu.
2. Dalail al-Ahkam, Ibnu Syidad, jil. 1, hlm. 514.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...