Langkau ke kandungan utama

PUASA NAZAR DAN PUASA SUNAT BERSEKALI

Soalan; Salam. Ustaz bolehkah kita membayar puasa nazar bersama dengan puasa sunat...contohnya:puasa sunat Syaaban niat skali utk membayar puasa nazar....sekian...

Jawapan;

Harus menghimpunkan kedua-dua puasa tersebut dalam satu puasa. Hendaklah meniatkan kedua-duanya sekali atau meniatkan puasa nazar. Jika saudara meniatkan puasa Sya'ban sahaja, tanpa meniatkan puasa nazar, sah puasa saudara untuk sunat Sya'ban sahaja. Adapun puasa nazar tidak dikira bagi saudara kerana saudara tidak meniatkannya. Ini kerana, menurut ulamak; "Yang sunat boleh dimasukkan ke dalam fardhu, tetapi yang fardhu tidak boleh dimasukkan ke dalam yang sunat" (al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, Dr. Muhammad Bakr Ismail). Jika saudara meniatkan puasa nazar sahaja, insya Allah akan termasuk di dalamnya puasa sunat Sya'ban kerana yang dikehendaki dari puasa Sya'ban ialah semata-mata wujud puasa di dalam bulan itu sama ada dengan puasa qadha, puasa nazar atau puasa sunat. Perlu diperingatkan, niat puasa bagi nazar hendaklah dilakukan di malam hari kerana semua puasa wajib/fardhu (sama ada puasa Ramadhan, qadha atau nazar), disyaratkan niatnya dilakukan pada malam hari -sebelum masuknya waktu subuh- .

Untuk membaca kelebihan puasa di bulan Sya'ban, sila layari; (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-sunat-bulan-syaban.html)

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, Dr. Muhammad Bakr Ismail, hlm. 135
2. Fatawa Syeikh 'Atiyah Saqar (Min Ahsanil-Kalam...), juz. 2, hlm. 23.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Terima Kasih Ustaz. Informasi yang sangat berguna untuk saya.
Tanpa Nama berkata…
assalamualaikum ustaz.. saya mempunyai sedikit kemusykilan berhubung puasa nazar..
1.saya pernah terbaca bahawa puasa nazar 'Tidak sah nazar dengan diniat didalam hati, kerana nazar termasuk dalam akad maka syaratnya mesti berlafas'. saya tidak pernah melafaz nazar saya, sekadar niat di dalam hati.
2.saya juga musykil dengan pendapat rakan saya yang mengatakan puasa nazar perlu dilakukan secara berterusan, tidak boleh berselang-selang hari. minta ustaz berikan pendapat dengan seberapa segera kerana saya tidak mahu menangguhkan nazar ini.
Wassalam

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...