Langkau ke kandungan utama

AMALAN ORANG HIDUP UNTUK ORANG MATI

Soalan; ustaz, benarkah di bulan ramadhan , roh org muslim akan menziarahi sanak saudara mereka atau menziarahi tempat yg pernah mereka pergi? Adakah roh-roh sanak saudara yang meninggal dunia mengetahui jika kita menyedekahkan bacaan yassin atau surah al-fatihah kepada mereka? Sekian terima kasih.

Jawapan;

Menjadi prinsip di dalam Islam bahawa setiap perkara ghaib yang hendak diperkatakan (termasuk hal roh) wajib ada sandaran dari al-Quran atau hadis, tidak harus semata-mata anggapan atau cerita. Lebih bahaya lagi jika cerita itu diceduk dari kepecayaan agama lain. Oleh itu, benar atau tidak cerita tersebut (yakni roh-roh orang Islam pulang pada bulan Ramadhan) ia tertakluk kepada ada atau tidak ayat al-Quran atau al-Hadis yang memberitahunya. Jika ada wajib kita mempecayainya dan jika tidak ada, haram kita mempercayainya dan haram kita menyebarkannya. Jika ia datang dari hadis, wajib dipastikan hadis itu adalah soheh kerana para ulamak telah sepakat bahawa hadis dhaif/lemah tidak diterima hal-hal aqidah.

Mengenai persoalan “Adakah roh-roh sanak saudara yang meninggal dunia mengetahui jika kita menyedekahkan bacaan yassin atau surah al-fatihah kepada mereka”, perkara ini menjadi khilaf di kalangan ulamak;

Pertama: pandangan dari ulamak-ulamak mazhab Hanafi, Hambali dan golongan mutaakhirin dari mazhab Syafi’ie dan mazhab Maliki. Mereka berpandangan; bacaan al-Quran dan zikir yang dibaca oleh orang hidup kepada si mati adalah sampai kepadanya dan memberi manfaat untuknya di dalam kubur.

Pandangan kedua: iaitulah padangan generasi awal (mutaqaddimin) ulamak-ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie (termasuk Imam Syafi'ie sendiri). Mereka berpandangan; bacaan al-Quran dan zikir (serta semua ibadah-ibadah badaniyyah yang lain seperti sembahyang) tidak akan sampai kepada si mati. Pahalanya hanya untuk orang yang melakukannya sahaja, tidak akan sampai kepada si mati. Dalil mereka ialah firman Allah:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan terhadap apa yang diusahakannya”. (an-Najm: 38)

Untuk melihat dalil dan hujah kedua-dua pandangan, sila baca di blog Koleksi al-Qalam; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/09/amalan-orang-hidup-untuk-si-mati.html).

Wallahu a’lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...