Langkau ke kandungan utama

SOLAT TASBIH DI MALAM HARI RAYA

Soalan; ustaz, berkenaan solat sunat tasbih, adakah dituntut dilakukan pada malam raya? Dan adakah benar dakwaan yang mengatakan bahawa tiada sebenarnya solat ini dalam pengamalan rasulullah?

Jawapan;

Tidak ada solat sunat yang disyariatkan secara khusus untuk malam hari raya. Apa sahaja ibadah yang telah disyariatkan secara umum –iaitu solat tahajjud, zikir, selawat, bacaan al-Quran, majlis ilmu dan sebagainya- harus kita lakukan untuk menghidupkan malam hari raya untuk memperolehi kelebihan yang disebut oleh hadis; “Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)[1]

Mengenai solat Tasbih, terdapat hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a.; “Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada bapa saudaranya al-‘Abbas; ‘Wahai al-‘Abbas, bapa saudaraku! Sukakah aku berikan, aku kurniakan dan aku ajarkan kepadamu sepuluh kelebihan jika kamu lakukannya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa kamu dari awal hingga akhirnya, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terang; iaitulah kamu menunaikan solat empat rakaat di mana kamu membaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah dan satu surah (yang lain), kemudian apabila selesai membaca (al-Fatihah dan surah itu) engkau baca –ketika sedang berdiri itu-; “سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر” sebanyak 15 kali. Kemudian kamu ruku’ dan semasa ruku’ itu kamu membaca sebagaimana bacaan tersebut sebanyak 10 kali. Kemudian kamu angkat kepalamu dari ruku’ dan membaca 10 kali juga (ketika sedang berdiri I’tidal itu). Kemudian kamu sujud dan membaca semasa sujud sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangun dari sujud dan membaca 10 kali lagi. Kemudian kamu sujud semula dan membaca 10 kali juga. Kemudian engkau angkat kepalamu dari sujud dan membacanya 10 kali lagi sebelum bangun ke rakaat berikutnya. Demikianlah 75 kali pada setiap rakaat. Hendaklah kamu lakukannya dalam empat rakaat. Jika kamu dapat kerjakan solat itu pada setiap hari sekali, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali pada setiap jumaat. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap bulan. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap tahun. Jika tidak mampu juga, lakukanlah seumur hidup sekali” (HR Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

Ulamak-ulamak berbeza pandangan tentang hadis di atas. Ada yang menolaknya (yakni menganggapnya dhaif, tidak soheh) dan ada yang menerimanya. Antara yang menolaknya ialah Imam Ibnul-Jauzi, Hafiz al-‘Uqaili dan Abu Bakar Ibnu al-‘Arabi. Adapun yang menerimanya (yakni menganggapnya sebagai soheh untuk dijadikan hujjah dan amalan)–antara mereka- ialah; Imam as-Suyuti, Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan al-Hafiz al-Munziri. Berkata Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani; hadis mengenai solat tasbih ini adalah hasan kerana banyak jalannya yang menguatkan jalannya yang pertama”. Termasuk juga yang menerima hadis Solat Tasbih itu ialah Syeikh Nasiruddin al-Albani. Dalam tahqiqnya terhadap Sunan Abu Daud, beliau menegaskan; “Hadis tersebut (yakni hadis solat Tasbih yang kita kemukakan di atas) adalah soheh” (Lihat; Soheh Wa Dhaif Sunan Abi Daud, no. 1297).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Pedoman Solat-Solat Sunat, Ustaz Abdul-Ghani Azmi Haji Idris, hlm. 308.

Nota Kaki;

[1] Al-jami’ as-Saghier, hadis no. 8343 (dhaif). Hadis ini menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’; sanadnya adalah dhaif. Namun menurut ulamak, hadis dhaif harus diamalkan dalam fadhilat-fadhilat amalan. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...