Langkau ke kandungan utama

SYIRIK; APAKAH MASIH ADA HARAPAN TAUBAT?

Soalan; ustaz, saya nak minta penjelasan mengenai perbuatan-perbuatan syirik. Perbuatan ini amat menggerunkan kerana kita tahu ianya satu-satunya dosa besar yang tidak diampuni oleh Allah swt. Walaubagaimanapun, apa yang patut dibuat jika seseorang itu tiba-tiba sedar yang dia telah pernah menghampiri syirik ataupun pernah syirik tanpa disedari? Adakah menghampirinya sama sahaja dengan melakukannya? Adakah ini bermaksud dia tidak ada harapan untuk mendapat keampunanNya dan kesejahteraan di Hari Akhirat walaupun melalui Taubat nasuha?

Jawapan;

Syirik adalah dosa paling besar di dalam Islam. Orang yang mati dalam keadaan mensyirikkan Allah, ditutup pintu keampunan untuknya. Ia akan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya. Firman Allah (bermaksud);

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa mensyirikkanNya dengan sesuatu. Dia akan mengampunkan dosa selain syirik itu bagi orang yang dikehendakiNya. Sesiapa mensyirikkan Allah dengan sesuatu, maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar” (Surah an-Nisa’, ayat 48).

Menurut ulamak Tafsir, ayat di atas bermaksud kepada orang yang mati dalam Syirik. Berkata Imam Ibnu Kathir; yakni; “Allah tidak mengampunkan hamba yang bertemuNya dalam keadaan mensyirikkanNya”. Adapun orang yang semasa hayatnya pernah mensyirikkan Allah, kemudian sebelum ia mati, ia telah menyedari dosa Syiriknya, lalu memohon ampun kepada Allah dan membuang segala perbuatan Syirik dari dirinya, Insya Allah dosanya akan diampunkan Allah. Ini sebagaimana yang dijanjikan Allah melalui sabda RasulNya;

إنَّ اللَّهَ يقبلُ توبةَ العبدِ ما لمْ يُغَرْغِرْ
“Sesungguhnya Allah akan menerima taubat seorang hamba selagi nyawanya belum sampai di halqum (yakni nyawanya berada di penghujung)”. (HR Imam at-Tirmizi. Kata at-Tirmizi; hadis ini hasan gharib)

Keadaannya sama seperti orang yang asalnya kafir, lalu memeluk Islam dan mati di dalam Islam. Sekalipun ia pernah mengkufurkan Allah, tetapi keislamannya telah menutup dosa kekufuran silamya. Begitu juga, dengan orang yang pernah mensyirikkan Allah, kemudian ia bertaubat dan kembali kepada Tauhid , maka taubat dan tauhidnya itu akan menutup dosa Syirik yang pernah ia lakukan.

Ayat di atas memberi ingatan kepada kita agar menjaga Tauhid kita di sepanjang hayat kita supaya kita dapat mati dalam Tauhid, bukan dalam Syirik. Tauhid dan Syirik adalah dua perkara yang saling bertentangan. Kedua-duanya tidak akan bertemu dan bercantum buat selama-lamanya. Jika dalam diri kita ada Tauhid, tidak akan ada Syirik. Jika ada Syirik, tidak akan ada Tauhid. Kerana itu, orang yang diserapi dengan penyakit Syirik, akan hilang darinya Tauhidnya sebanyak Syirik yang menyerapinya itu. Kemuncak Syirik ialah Syirik Akbar (Besar) kerana ia memadamkan sepenuhnya Tauhid dari diri seseorang. Adapun Syirik Asghar, ia tidak memadamkan sepenuhnya Tauhid, namun tidak boleh juga kita pandang ringan kerana ia menghakis Tauhid kita sikit demi sedikit. Orang yang berterusan melakukan Syirik Asghar (Kecil), lambat laun ia akan terjebak ke dalam Syirik yang lebih besar dan akhirnya mati dalam Syirik.

Orang yang menyedari ia pernah terjebak denagn Syirik hendaklah ia cepat-cepat bertaubat kepada Allah. Bertaubat dari Syirik tidak cukup dengan istighfar dan sembahyang taubat sahaja. Ia hendaklah memenuhi segala rukun yang ditetapkan agama untuk sahnya taubat seseorang, iaitu;

Pertama; Ia hendaklah meninggalkan segala perbuatan Syirik yang pernah dilakukannya. Jika ia melakukan Syirik dengan berdoa atau memuja jin, hantu atau makhluk-makhluk halus yang lain, hendaklah perbuatan itu ditinggalkan dan ia kembali beribadah dan memohon kepada Allah sahaja. Jika ia melakukan Syirik kerana melakukan sihir, hendaklah sihir itu ditinggalkan. Jika ia ada menggantungkan tangkal, hendaklah tangkal itu dibuang.

Kedua; Hendaklah ia menyesali ketelanjurannya melakukan dosa yang amat dimurkai Allah itu. Jika ia dapat menterjemahkan penyesalan itu dengan menangis di hadapan Allah itulah yang paling baik. Sabda Nabi s.a.w.; “Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; (pertama) mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan (kedua) mata yang berjaga malam kerana berkawal di jalan Allah” (HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Menurut beliau; hadis ini hasan).

Ketiga; Hendaklah ia berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi perbuatan Syirik yang pernah dilakukan dulu.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Syirik, khususnya perbuatan-perbuatan yang mendatangkan Syirik, sila baca di Blog Artikel al-Qalam; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/09/syirik_15.html) untuk huraian terperinci dan (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/09/syirik.html) untuk ringkasannya.

Semoga Allah menjaga Tauhid kita dan menyelamat kita terjebak dalam segala jenis Syirik dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.

Wallahu a’lam.

Ulasan

Muhammad Naqueuddin berkata…
Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Ustaz, saya nak bertanya sedikit tentang pemakaian gelang bermagnet yang sering kita lihat pada hari ini. Pemakaian gelang bermagnet ini bertujuan untuk memudahkan peredaran darah di dalam badan. Bukan sahaja perempuan si pemakainya, malah juga lelaki. Boleh ustaz terangkan sedikit sebanyak tentang gelang tersebut sama ada gelang tersebut perkara syirik atau tidak. Terima kasih.

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...