Langkau ke kandungan utama

UKURAN WAKTU BERBUKA BAGI ORANG MUSAFIR

Soalan; Ustaz, saya akan pulang ke Malaysia pada penghujung Ramadhan dan akan menaiki penerbangan selama kurang lebih 13 jam. Perjalanan saya akan bermula pada pukul 12.00 tengah hari waktu tempatan. Saya dijangka tiba di Malaysia hari berikutnya pada jam 7.25 pagi waktu Malaysia. Mengikut waktu tempatan, saya akan mulai berpuasa pada jam 5.17 pagi dan berbuka pada jam 6.51 petang.
Soalan saya, semasa dalam perjalanan ini, adakah saya perlu mengikut waktu tempatan tempat saya berlepas atau mengikut waktu Malaysia bagi tujuan berbuka puasa/sahur/solat?

Jawapan;

Menurut fatwa Syeikh ‘Athiyah Saqar Rahimahullah (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar); Seorang yang bermusafir –sebagaimana juga orang lain yang tidak bermusafir- ia hendaklah berbuka apabila telah tiba malam (yakni telah jelas terbenam matahari). Ini kerana Allah berfirman (bermaksud); “Kemudian sempurnakanlah puasa hingga (tiba) malam (yakni terbenam matahari)” (al-Baqarah; 187).

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim diceritakan; Nabi s.a.w. bermusafir di bulan Ramadhan bersama sahabatnya. Apabila matahari terbenam, baginda meminta seorang lelaki menyediakan makanan untuknya. Bila telah disediakan, baginda minum sambil berkata –dengan tangannya menunjuk ke arah Timur dan Barat-; “Apabila matahari telah terbenam dari arah sana (arah Barat) dan datang malam dari arah sana (yakni Timur), maka orang berpuasa bolehlah berbuka” (HR al-Bukhari dan Muslim dari Umar r.a.).

Jadi, berdasarkan ayat al-Quran dan hadis tersebut, seorang yang berpuasa tidak harus berbuka kecuali apabila telah tiba malam dan malam tiba dengan terbenam matahari. Selama orang yang berada di atas kapal terbang tidak melihat malam (yakni ia masih melihat siang) tidak harus ia berbuka. Apa yang akan berlaku ialah; jika ia bermusafir ke Timur, maka siangnya semakin pendek dan tempoh puasanya juga akan jadi singkat. Dan jika ia menuju ke arah Barat, siang dan puasanya akan jadi panjang. Arah mana pun yang ia tujui (sama ada Timur atau Barat), yang dijadikan perkiraan untuk berbuka ia dengan tibanya malam (terbenam matahari), bukan merujuk kepada waktu di tempat ia bertolak atau waktu di tempat tujuannya atau waktu semasa di Negara/kawasan yang dilalui oleh kapal terbangnya.

Jika berpuasa menyukarkannya –khusus bagi yang menuju ke Barat- kerana masa berpuasa yang menjadi lebih panjang, harus ia meninggalkan puasa atas sifatnya sebagai seorang musafir dan kemudian mengqadhanya selepas Ramadhan.

(Rujuk; al-Fatawa; Min Ahsanil-Kalam, Syeikh ‘Atiyah Saqar, 2/8. Terjemahan dilakukan secara bebas dan dengan penghuraian)

Wallahu a’lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...