Langkau ke kandungan utama

MENJADI IMAM BERMAKMUMKAN KANAK-KANAK

Soalan; Ustaz, kebiasaanya saya menunaikan solat secara jemaah bersama-sama isteri saya. Anak-anak saya yang berumur 8, 7 dan 3 tahun juga solat bersama sebagai satu bentuk latihan untuk mereka. Memandangkan isteri saya sekarang tidak berada bersama saya dan anak-anak kerana berkursus, apakah niat yang betul buat saya? Adakah saya kena berniat sebagai seorang imam ataupun niat solat bersendirian kerana walaupun anak-anak saya ikut solat bersama tetapi mereka belum lagi pandai menunaikan solat mengikut cara-cara yang betul? Terima kasih.

Jawapan;

Dalam sebuah hadis, Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteri Nabi s.a.w.). Tiba tengah malam, Rasulullah s.a.w. bangun melakukan solat malam. Aku pun turut melakukan solat bersama beliau dengan berdiri di sebelah kirinya. Lalu baginda memegang kepalaku dan mengalihkanku ke sebelah kanannya” (Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim dan ulamak-ulamak lain). Dalam satu riwayat terdapat lafaz tambahan; “Aku pada ketika itu berusia 10 tahun” (Riwayat Imam Ahmad, soheh).

Hadis ini menunjukkan bahawa harus menjadi imam dengan bermakmumkan kanak-kanak, yakni pahala jamaah terhasil dengannya. Malah, harus berimamkan kanak-kanak yang telah mumayyiz jika bacaan beliau lebih baik dari orang dewasa yang ada. Ini berdalilkan hadis dari ‘Amru bin Salamah r.a. yang menceritakan; “Beliau telah menjadi imam kepada kaumnya kerana beliaulah paling banyak menghafal al-Quran di antara mereka. Pada ketika itu umurnya baru enam atau tujuh tahun” (Riwayat Imam al-Bukhari, an-Nasai dan Abu Daud).

Adapun niat; untuk mendapat pahala jamaah imam hendaklah meniatkan di dalam hati menjadi imam. Namun jika ia tidak berniat menjadi imam, sah solatnya dan sah solat makmum di belakangnya kerana menurut ulamak tidak wajib imam berniat menjadi imam, akan tetapi tanpa niat tersebut ia tidak akan mendapat pahala solat berjamaah. Kesimpulannya, niat menjadi imam tidak wajib, namun untuk mendapat pahala solat berjamaah niat itu adalah perlu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Wajiz, Dr. Abdul-Aziem Badawi, hlm. 138.
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 251.

Ulasan

siti berkata…
bolehkah seorang ibu menjadi makmum kepada anak lelakinya yang belum baligh atau sunat.

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...