Langkau ke kandungan utama

TUMBUHAN YANG MEMABUKKAN

Soalan:
Assalamualaikum ustaz.
Dalam persoalan sebelum ini yang berkaitan DADAH & BAHAN YANG MENGKHAYALKAN.Saya ingin bertanya kepada ustaz, bagaimana pula tumbuh-tumbuhan / pokok-pokok yang memabukkan.


Jawapan :
Dalam persoalan yang lalu telah dinyatakan bahawa setiap perkara yang memabukkan dan mengkhayalkan sama ada berbentuk minuman atau makanan, hukumnya adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian umum hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;
كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَاْمٌ
“Setiap yang memabukkan adalah haram”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibn Umar r.a.)[1]
Jadi termasuk yang diharamkan Syara’ memakannya ialah tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok yang boleh menyebabkan mabuk atau khayal atau melalikan seperti ganja dan sebagainya.
Dari segi hukuman ke atas orang-orang yang memakannya, maka –menurut pandangan ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie- ia tidak dikenakan hukuman had (sebagaimana peminum arak), tetapi hanya dikenakan hukuman takzir yakni diserahkan kepada hakim untuk menetapkan hukuman asalkan tidak melebihi hukuman had yang ditetapkan Syara’.[2] Dalam hal ini Imam an-Nawawi menaqalkan dari Imam ar-Ruyani yang menyatakan;
“Tumbuh-tumbuhan yang memabukkan haram memakannya, akan tetapi tidak dikenakan hukuman had ke atas orang yang memakannya”.[3]
Namun hukum haram memakan tumbuh-tumbuhan yang memabukkan atau mengkhayalkan itu terdapat pengecualian bagi beberapa keadaan khususnya bagi tujuan perubatan.
Imam an-Nawawi menaqalkan dalam kitabnya al-Majmu’ dari Imam ar-Ruyani –secara ringkasnya- menyatakan; “Dan harus menggunakannya (yakni tumbuh-tumbuhan yang memabukkan) untuk tujuan perubatan jika tidak dapat dielakkan daripadanya. Sekiranya terdapat jenis tumbuhan yang hanya menyebabkan mabuk bila digunakan bersama bahan yang lain, maka memakannya juga haram hukumnya kecuali dimanfaatkan untuk tujuan berubat”.[4]
Lebih terperinci, para ulama’ meletakkan tiga keadaan yang mengharuskan penggunaan tumbuh-tumbuhan tersebut iaitu;[5]

1. Ketika darurat
Dalam keadaan daruat kerana ketiadaan makanan yang lain harus memakannya dengan kadar yang diperlukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa dan badan dari maut.

2. Untuk tujuan perubatan
Umpamanya seorang doktor mencadangkan satu ubat kepada si pesakit di mana ubat tersebut terdapat campuran bahan yang memabukkan sama ada dari tumbuh-tumbuhan atau sebagainya. Maka dalam hal ini, si pesakit harus memakannya jika ketiadaan ubat yang lain dan ia amat memerlukannya.
Namun para ulama’ mensyaratkan; hendaklah dengan berlakunya campuran tersebut sifat-sifat atau cirri-ciri yang memabukkan atau mengkhayalkan yang ada pada bahan tersebut akan hilang. Adapun sesuatu bahan yang memabukkan yang tidak hilang sifat-sifatnya yang memabukkan itu walaupun dicampur dengan ubat-ubatan yang lain, maka tidak harus memakan atau menggunakannya untuk tujuan penyembuhan, walaupun diarahkan atau dinasihatkan oleh doctor.
Suatu bahan yang secara total memabukkan/ mengkhayalkan -yang tidak akan hilang sifatnya yang memabukkan/melalikan sekalipun setelah dicampur dengan bahan lain- mustahil akan menjadi ubat tunggal bagi mana-mana penyakit. Bahkan mudarat yang tersembunyi di dalamnya kemungkinan lebih merbahaya dari faedah atau kebaikan yang bakal diperolehi tatkala menggunakannya.
Seorang sahabat Nabi s.a.w. bernama Thariq bin Suwaid al-Hadhrami r.a. pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang arak yang digunakan untuk menyembuhkan orang sakit. Lalu Nabi s.a.w. menjawab;
إِنَّ ذلِكَ لَيْسَ بِشِفَاءٍ. وَلكِنَّهُ دَاؤٌ
“Sesungguhnya ia bukanlah pemyembuhan, tetapi penyakit”. (Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah dan at-Thabrani)

Ibnu Mas’ud pernah berkata;

إِنَّ اللّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ
“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhanmu dalam perkara yang diharamkanNya ke atas kamu”. (Riwayat Imam Bukhari)[6]

3. Dalam pembedahan
Iaitu doctor terpaksa menggunakannya ketika menjalankan pembedahan sebagai ubat penahan sakit di mana si pesakit yang hendak dibedah tidak berupaya menanggung kesakitan jika tidak diberikannya. Dalam hal ini tidak ditegah menggunakannya sama ada dengan suntikan, diminum atau sebagainya. Ini kerana kesakitan yang bersangatan dikira sebagai suatu dharurat pada pandangan Syara’.

Wallahualam

[1] Bulughul Maram, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, bab Haddu asy-Syarib wa bayan al-muskir, hadis no. 1160.
[2] al-Fiqhul Manhaji a’la Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie,Dr. Musthafa al-Bugha, Dr. Musthafa al-Khin dan ‘Ali Syarbaji, jil. 3, hlm. 84-85.
[3] Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 9, hlm. 30.
[4] Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 9, hlm. 30.
[5] al-Fiqhul Manhaji a’la Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie,Dr. Musthafa al-Bugha, Dr. Musthafa al-Khin dan ‘Ali Syarbaji, jil. 3, hlm. 85 dan 86.
[6] Dalam riwayat yang lain, hadis ini disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. dari Ummu Salamah r.a. Menurut Imam at-Thabrani, hadis ini adalah soheh. (Lihat al-Jami’ as-Shaghir, no. 1773).

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
salam ust..bgmana pulak dgn air ketum?ada pndpt kata blh dan ada yg tidak.air ini najis mcm dadah ker?ayah sy ada bgthu,org2 dulu minum air ketum sbg minuman utk kuat badan sbb tpaksa keje kuat spt angkat kayu dlm hutan, tebang pokok dll keje berat.bgmana hukum air ni.

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...