Langkau ke kandungan utama

DARI MANA HENDAK DIMULAI SAF?

Soalan; Assalamualaikum Ust. Saya musykil berkenaan kedudukan saf kedua dalam solat berjemaah. Apabila saf pertama penuh, saf kedua hendaklah dimulakan dari hujung sebelah kanan imam kemudian makmum yang baru masuk hendaklah duduk sebelah kirinya atau hendaklah dimulakan dari tengah saf, iaitu bertentangan dengan kedudukan imam dan makmum yang baru masuk hendaklah duduk sebelah kanan saf dan makmum seterusnya duduk sebelah kiri secara bergilir-gilir? Tolong ust jelaskan beserta rujukannya. Terima kasih.

Jawapan

Hendaklah dimulakan dari tengah saf kerana Nabi –sallalllahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

وَسِّطُوا الْإِمَامَ وَسُدُّوا الْخَلَلَ
“Jadikanlah imam berada di tengah kamu dan tutupilah kekosongan (pada saf)” (HR Imam Abu Daud dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Maksud hadis ini menurut ulamak ialah; jadikanlah imam kamu di tengah-tengah saf kamu iaitu dengan kamu berdiri di belakangnya serta di sebelah kanan dan kirinya. (‘Aunul-Ma’bud, Kitab as-Solah, jil. 2, bab Maqam al-Imam min as-Saf).

Berdasarkan hadis di atas, orang yang pertama sampai di saf ia hendaklah berdiri betul-betul di belakang imam, kemudian orang yang datang selepasnya hendaklah berdiri di kanan atau kirinya. Berada di sebelah kanan saf adalah lebih baik (afdhal) dari sebelah kirinya kerana Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى مَيَامِنِ الصُّفُوفِ
“Sesungguhnya Allah dan Malaikatnya berselawat ke atas (orang-orang yang berada) di sebelah kanan saf” (HR Imam Abi Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha-. Menurut Imam Maghlatoi dalam syarahnya kepada Sunan Ibnu Majah; hadis ini sanadnya soheh mengikut pensyaratan Imam Muslim. Lihat; Faudhil-Qadier, hadis no. 1815).

Dalam kitab Dalil al-Falihin (Syarah kitab Riyadhus-Salihin), dijelaskan; “Disunatkan apabila seorang makmum sampai ke masjid dan ia mendapati para jamaah sedang berada tengah-tengah saf di belakang imam dan terdapat ruang kosong di sebelah kanan imam dan sebelah kirinya, hendaklah ia mengisi ruang kosong di sebelah kanan imam. Tidak semestinya melebihkan sebelah kanan imam akan menyebabkan terhapusnya sunnah menjadikan imam di tengah saf yang juga dituntut. Tuntutan berada di kanan saf ialah jika arah kanan saf adalah luas dan dapat menampung semua mereka yang datang. Jika tidak, mereka yang datang itu hendaklah berlumba untuk mendapatnya (yakni mendapat tempat di ruang kanan saf) dan orang yang gagal mendapatnya hendaklah ia menunaikan solat di sebelah kiri saf. Begitu juga, adalah sunnah memenuhkan saf pertama terlebih dahulu, diikuti saf kedua dan berikutnya”. (Dalil al-Falihin, juz 6, hlm. 426, bab Fadhl as-Saf al-Awwal).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. ‘Aunul-Ma’bud, Syarah Sunan Abi Daud, karangan; Syeikh Muhammad Syamsyul-Haq al-Adziem Abadi, jil. 2, Kitab as-Solah, bab Maqam al-Imam min as-Saf.
2. Dalil al-Falihin Syarah Riyadhus-Salihin, Syeikh Muhammad Ali bin Muhammad bin ‘Allan al-Bakri as-Syafi’ie, juz 6, hlm. 426, bab Fadhl as-Saf al-Awwal.

Ulasan

shah berkata…
assalamualaikum ustaz..saya nk tanya sikit kalau kita datang masjid saf pertama dah penuh kita berdiri d saf kedua di belakang imam. sekiranya hanya kita seorang sahaja berada di saf kedua itu, perlukah kita memarik orang yang berada di saf pertama untuk berada di saf kedua. dan bagai manakah cara untuk menarik orang dari saf hadapan itu. sekiranya kita berada seorang diri di saf kedua hingga habis solat bagaimana?
shah berkata…
Assalamualaikum ustaz saya nak bertanya, sekiranya kita datang ke masjid saf pertama dah penuh, kita akan ambil tempat di saf kedua di belakang imam, perlukah kita menarik makmum di hadapan hadapan kita ( saf pertama ) untuk ke saf kedua, bagaimana caranya? sekiranya kita seorang di saf kedua sehingga selesai solat bagaimana?

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...