Langkau ke kandungan utama

BERI MODAL DENGAN UNTUNG TETAP

Soalan; assalamualaikum,kwn sy memerlukan modal dari sy untuk perniagaan setiap bulan dia akan bg keuntungan pada sy rm 100 blh ustaz jelaskan hukumnya.

Jawapan;

Pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap tanpa tertakluk dengan untung-rugi (yakni dalam apa-apa keadaan sekalipun pihak pemodal dijamin keuntungannya walaupun syarikat atau orang yang menguruskan modal mengalami kerugian), pelaburan sebegitu ditegah oleh Syarak kerana ia berkonsepkan riba. Dalam konsep riba, pemberi wang (yakni pemberi pinjaman) dalam apa keadaan sekalipun akan memperolehi wangnya berserta faedah/keuntungan yang ditetapkan tanpa tertakluk dengan untung-rugi pihak yang meminjam. Adapun konsep pelaburan dalam Islam adalah berdasarkan kaedah "al-Ghunmu bil-Ghurmi" (Keuntungan adalah bersama risiko). Maksudnya kedua-dua pihak (yakni pemodal dan pengurus) hendaklah sanggup untuk berkongsi risiko sebagaimana mereka sanggup berkongsi untung/faedah. Dalam bahasa lain; untung sama-sama untung dan rugi sama-sama rugi (pemodal mendapat untung kerana sumbangan modalnya, pengurus pula mendapat untung kerana kerja atau pengurusannya. Jika rugi, pemodal menanggung kerugian dari modalnya, pengurus pula menanggung kerugian dari masa dan kerjanya).

Selain itu, andaikan perniagaan hanya mendapat untung dengan jumlah yang ditetapkan itu sahaja, maka keseluruhannya akan dapat kepada pemodal. Akan berlakulah kezaliman kepada pengurus kerana ia tidak dapat apa-apa sedangkan ia telah berpenat dengan kerja dan pengurusannya. Dalam kes saudara, andaikan kawan saudara hanya mendapat untung dari perniagaannya RM100 sahaja (pada suatu bulan), sudah tentu keseluruhan untung untuk akan dapat kepada saudara, maka saudara telah menzaliminya.

Penetapan keuntungan yang menepati kaedah pelaburan Islam ialah secara peratusan atau nisbah. Tidak semestinya peratusan yang sama antara pemodal dan pengurus (yakni 50%-50%), akan tetapi bergantung kepada kesepakatan bersama seperti 70%-30% (iaitu 70 untuk pengurus, 30 untuk pemodal atau sebaliknya).

Satu lagi kaedah pemodalan dalam Islam yang digalakkan oleh al-Quran ialah al-Qardul-Hasan ialah memberi pinjaman tanpa faedah. Mengikut kaedah ini, saudara memberi modal kepada kawan saudara itu untuk perniagaannya tanpa mengharapkan keuntungan di dunia, tetapi mengharapkan keuntungan di akhirat iaitu pahala yang dijanjikan Allah kepada orang yang membantu saudaranya seagama. Namun hendaklah pemberian pinjaman itu diikat dengan perjanjian secara bertulis sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam surah al-Baqarah (ayat 282).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 31/301.
2. Laman Syeikh Soleh a-Munajjid (islamqa.com), fatwa no. 98152.

Ulasan

PeNg3mB4r@_SuFi berkata…
Assalamu'alaikum ustaz,

saya ada satu soalan, sekarang ini, saya mengikuti satu perniagaan internet iaitu pembelian Lot Iklan Online. Cara peniagaan tersebut adalah seperti berikut:

Ahli membeli lot iklan dengan harga Rm60/lot. syarikat yg mengurus pemasaran akan membantu ahli menjual lot yg telah dibeli kepada pembeli lain. selepas 30-35hari tempoh pemasaran..Ahli tadi akn dibayar balik Rm90 (modal + bonus 50%)...selain itu juga, ahli2 difahamkan, modal yg diberikan oleh ahli juga digunakan oleh syarikat tersebut dlam menjalankan perniagaan lain seperti perinting, website design, graphic, IT project, multimedia dan sbginya yg berkaitan.

soalan sy, adakah bonus yg diberikan oleh syarikat kepada ahli itu Halal dari segi syariah?

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...