Langkau ke kandungan utama

GINCU BIBIR DAN PUASA

Soalan; Assalamualaikum, terima kasih ustaz atas perkongsian ilmu yang dapat saya manfaatkan. di sini saya ada sedikit kemusykilan. adakah benar pemakaian gincu akan menyebabkan puasa terbatal? bagaimana sekiranya menyapu pelembab bibir? terima kasih.

Jawapan;

1. Dari segi puasa, memakai gincu atau pelembab bibir tidaklah membatalkan puasa jika dapat dijaga jangan sampai bahan dari gincu itu bercampur dengan air liur dan tertelan ke dalam kerongkong. Hukumnya sama seperti menggunakan ubat gigi ketika sedang berpuasa. Jika bahan dari ubat gigi tidak masuk ke dalam kerongkong (yakni kita menggosok gigi dengan menjaga jangan sampai tertelan bahan dari ubat gigi itu) tidaklah membatalkan puasa kita.(1)

2. Dari segi hukum berhias, tidak harus wanita Islam memakai gincu bibir yang terlalu menonjol warnanya yang menarik perhatian lelaki kepadanya. Itu termasuk dalam tabarruj yang dilarang agama. Sebaiknya gincu bibir berwarna hanya dipakai isteri untuk suami sahaja di rumah. Adapun yang sederhana yang sekadar mengekalkan warna asal bibir atau untuk melembabkan bibir sahaja, insya Allah diharuskan.

3. Satu lagi perlu dingatkan; bahan-bahan solekan yang digunakan (sama ada losyen, gincu, bedak muka dan sebagainya) wajib dipastikan ia bersih dan suci, iaitu bebas dari bahan-bahan najis seperti lemak babi, gelatin haiwan yang syubhah dan sebagainya. Di samping hendaklah dipastikan juga tidak mendatang mudarat kepada kulit atau badan kerana setiap yang memudaratkan adalah dilarang dalam Islam.

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) lihat; Fatwa Syeikh Hasan Makmun, Darul Iftak, Mesir (al-Maktabah as-Syamilah, 1/116) dan fatwa as-Syabakah al-Islamiyah (no. 67708). Berkata Syeikh Ibnu Utsaimin; "Diharuskan bagi orang berpuasa menggunakan pelembab bibir dan hidung atau dia melembabkannya dengan air atau dengan satu kain/tisu basah atau seumpamanya, akan tetapi hendaklah dia menjaga dari masuknya sesuatu (dari bahan tersebut) ke dalam rongga (kerongkongnya). Jika setelah dijaganya, ada bahan yang masuk tanpa disengajakannya, tidak mengapa (yakni tidak menjejaskan puasanya), sama seperti jika dia berkumur (tanpa berlebihan) lalu air masuk ke dalam kerongkongnya tanpa disengajakan, maka tidaklah membatalkan puasa"  (Dinaqal dari fatwa Syeikh al-Munajjid, no. 92923).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...