Ahad, 23 Januari 2011

KEADAAN SELEPAS MEMELUK ISLAM (hubungan dengan keluarga, harta yang diperolehi sebelum peluk Islam, prosedur masuk Islam?

Soalan; assalammualaikum ustaz. saya ade beberapa soalan yang ingin bertanya kepada ustaz. soalannya seperti berikut:

1. bagi seseorg yang bru memeluk agama islam, kehidupan seseorg itu pasti akan berubah terutama sekali bile bersama dengan keluarga. jika keluarga bkn beragama islam, dan bagaimana seseorg suadara baru itu hendak menghadapi situasi demikian, lebih2 lagi bagi soal makan, adakah masih lagi boleh makan bersama ataupun sebaliknya. andai kata keluarga tersebut tidak memakan makanan haram seperti arak @ daging khinzir, adakah saudara baru itu boleh makan bersama2 dengan keluarganya lagi? minta pandangan ustaz utk ulas perkara ini.

2. sebelum memeluk agama islam, simpanan duit dtgnya dr berbagai2 sumber, ada y dtgnye dr sumber yang haram...tetapi selepas memeluk agama islam, apakah duit simpanan tersebut masih bole digunakan? walaupun sudah beragama islam tetapi duit simpanan tersebut adalah haram...jadi mcm mane ustaz?

3. berapakah tempoh seseorg itu utk memeluk agama islam bagi membolehkan dia melangsungkan perkahwinannya dengan org islam. apakah prosedur2nya utk memerluk agama islam serta selepas memeluk agama islam, adakah perlu utk menghadiri / menyertai sebarang kelas yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan agama islam.

buat masa sekarang ini sahaja soalan yang saya hendak tanya, jika terdapat lagi persoalan2 yang saya tidak tahu, saya akan tujukan soalan lagi kepada ustaz..
sekian, terima kasih.

Jawapan;

Pergaulan dengan keluarga yang tidak Islam

1. Islam tidak menghalang orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk terus berhubungan dan bersilaturrahim dengan keluarganya yang bukan Islam. Malah di dalam al-Quran, Allah memerintahkan seorang muslim untuk tetap melayani dengan baik ibu-bapanya yang bukan Islam walaupun mereka pernah mengajaknya untuk mensyirikkan Allah (yakni kembali kepada agama asal). Firman Allah (yang bermaksud);

“Dan jika mereka berdua (yakni ibu dan bapa) mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…” (Surah Luqman, ayat 15)

Dalam ayat di atas, Allah melarang seorang yang telah Islam untuk memenuhi desakan ibu-bapanya yang masih kafir untuk mensyirikkan Allah (kembali kepada kekufuran), namun dalam pada itu Allah tetap memerintahkan agar ia bergaul dengan mereka di dunia secara baik. Berkata Imam al-Qurthubi –mengulas ayat di atas-; “Ayat ini menjadi dalil kepada tuntutan supaya mengikat hubungan dengan dua ibu-bapa yang kafir termasuk menafkahi mereka –mengikut yang terdaya- jika mereka miskin, bercakap lembut dengan mereka dan mengajak mereka kepada Islam dengan bahasa yang manis” (Tafsir al-Qurthubi, surah Luqman, ayat 15).

Diceritakan dalam hadis bahawa Asma’ binti Abu Bakar, tatkala datang kepadanya ibunya yang masih kafir (musyrik) untuk mengikat hubungan, ia (yakni Asma’) bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, perlukah aku mengikat hubungan dengan ibuku itu?”. Nabi menjawab; “Ikatlah hubungan dengannya”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

Nabi sendiri tetap mengikat hubungan dengan bapa saudaranya (Abu Talib) walaupun beliau (Abu Talib) tidak memeluk Islam.

Makan bersama keluarga yang tidak Islam

2. Mengenai makan; harus makan bersama keluarga yang tidak Islam, malah harus makan makanan yang dimasak/dihidangkan oleh orang bukan Islam, namun hendaklah dipastikan makanan itu adalah halal dan tidak bercampur dengan sebarang bahan yang haram. Terdapat hadis menceritakan; Nabi menerima makanan yang dihadiahkan oleh orang bukan Islam (Yahudi) dan baginda serta sahabatnya makan daging kambing yang dihadiahkan oleh seorang perempuan Yahudi.

Interaksi yang baik oleh seorang muslim baru dengan keluarganya yang bukan Islam boleh menjadi contoh bagi mereka untuk menilai kebaikan ajaran Islam dan mendorong mereka untuk turut sama memeluk Islam.

Harta yang diperolehi sebelum memeluk Islam

3. Wang/harta yang diperolehi seseorang semasa ia masih kafir, kemudian ia memeluk Islam, wang/harta itu adalah halal baginya selepas ia memeluk Islam –walaupun diperolehi dari sumber yang tidak halal- kerana ketika ia mengumpul harta itu ia bukan seorang muslim dan hukum-hakam Islam (termasuk yang berkait dengan harta) belum mengikatnya.

Di dalam al-Quran, apabila Allah menurunkan ayat mengharamkan riba, harta yang lalu yang diperolehi sebelum pengharaman riba tidak diperintah Allah supaya dipulangkan atau dirampas, akan tetapi Allah berkata (yang bermaksud); “…sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (tentang pengharaman riba) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman riba) adalah menjadi haknya” (Surah al-Baqarah, ayat 275).

Imam ar-Razi menegaskan dalam tafsirnya (at-Tafsir al-Kabir); “Ayat ini menjadi asas yang besar bagi hukum-hakam tentang orang-orang kafir yang memeluk Islam, iaitu; apa yang telah berlalu semasa mereka kafir, maka ia adalah kekal, tidak terbatal dan tidak dirongkaikan (apabila mereka memeluk Islam)” (Surah al-Baqarah, ayat 275-279).

Ketika zaman Nabi, orang-orang musyrikin yang memeluk Islam tidak ada seorang pun dari mereka yang diselidiki hartanya oleh Nabi; dari sumber mana datangnya harta mereka? Dari sumber halal atau sumber haram?, sebaliknya baginda membiarkan harta yang mereka himpun semasa mereka kafir untuk terus mereka miliki sebagaimana baginda mengiktiraf perkahwinan mereka sebelum memeluk Islam.[1](Rujukan; Ahkam al-Mal al-Haram, Dr. Abbas Ahmad Muhammad al-Baz, hlm. 122-123).

Berkahwin dengan orang Islam

3. Sebaik sahaja seorang itu sah menjadi muslim (penganut Islam) dengan mengucap dua kalimah Syahadah, berjalanlah atas dirinya hukum-hakam Syariat Islam termasuk yang berkaitan nikah-kahwin.[2] Maka sebaik sahaja ia telah mengucap dua kalimah Syahadah, haruslah ia berkahwin dengan orang Islam. Namun ada baiknya sebelum berkahwin ia mempelajari terlebih dahulu selok-belok Islam termasuk hukum-hakam yang berkait dengan nikah-kahwin dan peraturan kekeluargaan dalam Islam.

Prosedur untuk memeluk Islam

4. Untuk memeluk Islam tidak ada prosedur yang sukar dan sulit. Memadai dengan menzahirkan keyakinan kepada agama Islam dengan mengucap dua kalimah Syahadah (Lailaha Illallah, Muhammadur Rasulullah) di hadapan orang Islam yang dapat menjadi saksi atas keislamannya. Setelah mengucap kalimah Syahadah, barulah disusuli dengan mendaftar keislaman di mana-mana Jabatan berkaitan (Jabatan Agama Islam Negeri, PERKIM dan sebagainya) termasuk mengubah nama (jika perlu) dan status agama di Jabatan Pendaftaran. Perkara pertama (yakni mengucap syahadah) tidak boleh ditangguh. Ia mesti segera dilakukan sebaik sahaja seorang itu diberi kesedaran oleh Allah untuk memeluk Islam. Adapun perkara-perkara berikutnya (yakni mendaftar keislaman, menukar nama dan sebagainya), ia boleh dilakukan dari masa ke semasa. Namun jika disegerakan itulah yang paling baik.

Belajar agama

5. Mengenai belajar agama; setiap orang Islam -sama ada yang baru memeluk Islam atau telah lama memeluk Islam- wajib mempelajari ajaran Islam merangkumi ilmu Aqidah dan ilmu Syariat. Ilmu Aqidah ialah ilmu tentang perkara-perkara yang wajib diyakini dan dipercayai sebagai seorang muslim. Ilmu Syariat ialah ilmu tentang peraturan dan hukum hakam yang ditetapkan oleh Islam yang mesti dilaksanakan oleh setiap orang Islam di sepanjang hidup mereka. Cuma bagi orang yang baru memeluk Islam, ia hendaklah bermula dengan ilmu yang paling asas iaitu ilmu tentang kalimah Syahadah, ilmu tentang rukun Iman dan rukun Islam. Untuk mempelajari tentang Islam tidaklah dimestikan mempelajarinya dari institusi agama yang rasmi (Jabatan Agama, PERKIM atau sebagainya). Saudara boleh mempelajarinya dari mana-mana ustaz yang saudara kenali atau dengan menghadiri mana-mana majlis ilmu yang diadakan di Surau atau di Masjid. Namun buat permulaan, yang terbaik ialah saudara mengikuti majlis ilmu yang diadakan khusus untuk saudara-saudara baru kerana lebih mudah untuk saudara memahami ilmu yang diajar. Walau bagaimana pun, jika ada kesempatan ada baiknya saudara juga turut menghadiri majlis-majlis ilmu di Surau atau Masjid supaya dapat bergaul dengan saudara-saudara Islam yang lain.

Wallahu a’lam.

Nota hujung;

[1] Dikecualikan jenis perkahwinan yang diharamkan di dalam Islam seperti berkahwin lebih dari empat isteri dan mengahwini dua bersaudara sekaligus. Orang kafir yang memeluk Islam dengan memiliki lebih empat isteri, Nabi memerintahkannya agar memilih empat sahaja dari isteri-isterinya dan menceraikan yang selebihnya. Orang yang beristerikan dua wanita bersaudara, Nabi memerintahkannya supaya menceraikan salah seorang dari mereka. Begitu juga, orang yang mengahwini wanita yang menjadi mahramnya seperti mengahwini isteri bapanya, Nabi memerintahkannya agar diceraikan. (Ahkam Ahl az-Zimmah, Ibnul-Qayyim, 1/345).

[2] Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan Lailaha Illallah. Apabila mereka mengucapkannya, terpeliharalah dariku nyawa dan harta-benda mereka kecuali dengan hak yang dituntut oleh kalimah tersebut. Adapun perkiraan (apa yang menjadi rahsia dalam hati mereka) adalah terserah kepada Allah” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim. Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini mutawatir). Berkata Imam Ibnu Kathir; makna hadis ini ialah; seorang yang mengucap kalimah Syahadah tersebut akan berjalanlah atas dirinya hukum-hakam Islam secara zahirnya. Jika ia meyakini kalimah itu dengan hatinya, ia akan mendapat ganjaran di akhirat dari terlaksananya hukum-hakam Islam ke atas mereka di dunia. Jika mereka tidak meyakini dengan hati, berjalannya hukum hakam Islam ke atas mereka di dunia tidak akan memberi manfaat untuk mereka di akhirat. (Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 10). Menurut Imam an-Nawawi; hendaklah bersama mengucap dua kalimah syahadah itu diiringi dengan keimanan (keyakinan) terhadap semua ajaran yang datang dari Nabi Muhammad sebagaimana yang terdapat dalam riwayat yang lain dari Abu Hurairah; “…sehingga mereka bersaksi Tiada Tuhan melainkan Allah, beriman denganku dan dengan apa yang aku bawa” (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Kitab al-Iman, bab al-Amr Bi Qital an-Naas…).

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...