Langkau ke kandungan utama

BEKERJA DI KEDAI MENJUAL ARAK

Soalan; Assalamualaikum...Saya ingin bertanya, apakah hukum seorang pekerja 7 Eleven yang menjual arak dan membayar hutang daripada hasil pendapatannya?
Adakah hutang yang dibayar halal kepada penerima hutang?
Terima kasih...

Jawapan;

Bekerja di tempat sebegitu (yakni yang bercampur dengan yang diharam Allah) hukumnya adalah dilarang oleh agama kerana seorang muslim diperintahkan Allah agar menjauhi perkara yang haram dan tidak terlibat dalam membantu atau mempromosinya. Firman Allah (bermaksud); "Saling membantulah kamu dalam melakukan kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Quran). Namun dari segi gaji/pendapatan, hendaklah dibezakan antara dua keadaan;

1. Pekerjaan yang haram dari asalnya kerana membabitkan pengeluaran produk-produk yang haram atau secara langsung menjadikan perbuatan-perbuatan yang diharamkan Syariat sebagai sumber rezki. Contohnya; pekerjaan membuat arak, memproses makanan-makanan haram dan sebagainya. Bagi kedai pula, kedai yang masuk dalam kategori ini ialah kedai-kedai yang menjual barang-barang haram sama ada keseluruhannya atau kebanyakannya di mana tujuan kedai itu dibuka adalah untuk menjual barang haram. Hukum pekerjaan tersebut atau bekerja di tempat/kilang/kedai sebegitu hukumnya adalah haram dan pendapatan (upah/gaji) yang diperolehi juga adalah haram kerana ia adalah bayaran kepada pekerjaan yang haram. Jika kita mengetahui bahawa pendapatannya sepenuhnya dari pekerjaan haram tersebut (yakni ia tidak mempunyai pendapatan lain), haramlah kita melakukan urusan kewangan dengannya sama ada menerima hadiah/pemberian darinya, bertukaran dengannya dalam jual-beli atau upah-mengupah, termasuklah menerima bayaran hutang darinya. Ini kerana wang haram itu bukanlah miliknya kerana Islam tidak mengiktiraf sumber haram untuk menjadi pemilikan individu, di mana ia wajib membersihkan wang haram itu dari dirinya dengan mensedekahnya kepada fakir miskin atau kemaslahatan umum kaum muslimin.

Jika ia mempunyai pendapatan lain yang halal, harus kita menerima hadiah/pemberiannya kerana boleh diandaikan apa yang kita terima itu datang dari sumber halal yang dimilikinya. Jika kita konfius, kita ada hak untuk bertanyanya. Jika ia memberitahu bahawa ia mempunyai wang dari sumber yang halal, haruslah kita menerimanya. Ini sebagaimana Rasulullah bertanya orang yang memberi kepadanya; apakah yang diberi itu hadiah atau sedekah untuk mendapat kepastian supaya baginda tidak termakan harta sedekah yang diharamkan ke atas baginda dan keturunan baginda.

2. Pekerjaan yang pada asasnya adalah halal, namun diserapi dengan sedikit penglibatan dengan yang haram. Contoh; bekerja di kedai yang menjual barang-barang keperluan yang halal dan dicelah-celahnya ada barang haram yang turut dijual. Begitu juga, kedai yang menjual pakaian dan di antara pakaian yang dijual terdapat sedikit pakaian yang mendedah aurat. Pada hukum asas, seorang muslim dilarang berkerja di premis sedemikian kerana ia terbabit membantu mempromisi maksiat yang dilarang oleh Allah dalam ayat tadi. Namun pendapatannya tidaklah boleh dianggap sebagai haram kerana pekerjaannya pada asasnya adalah halal. Oleh demikian, harus kita berurusan kewangan dengannya (menerima hadiah/pemberiannya, berjual-beli dengannya dan menerima pembayaran hutang dari hasil gaji/pendapatannya). Namun orang yang terlibat dengan pekerjaan tersebut hendaklah berusaha membersihkan syubhah yang ada dalam pendapatannya (kerana terlibat dengan sedikit yang haram tadi) dengan mensedekahkan sebahagian pendapatannya kepada fakir miskin atau kepada maslahah umum kaum muslimin. Ia hendaklah mencari pekerjaan lain yang bersih dari sebarang syubhah (percampuran dengan yang haram). Jika mengambil masa untuk mendapat pekerjaan baru dan ia tidak mempunyai sumber kewangan lain, harus ia terus berkerja di situ buat sementara sebelum mendapat pekerjaan lain. Hendaklah ia yakin bahawa mujahadahnya untuk mematuhi perintah Allah itulah yang akan melapangkan hidupnya dan membawa keberkatan pada rezekinya. Firman Allah (bermaksud); "Orang-orang yang bermujahadah untuk mencari keredhaan Kami (Allah), Kami akan tujuki mereka jalan-jalan Kami" (al-Quran). Allah berfirman juga (bermaksud); "Sesiapa bertakwa kepada Allah, Allah akan memberikan jalan keluar kepadanya (bagi kesulitan yang dihadapinya) dan Ia mengurniakan rezki kepadanya dari arah yang tidak disangkanya" (al-Quran).

Wallahu a'lam.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam ustaz,
Saya bekerja di sebuah kilang multinasional yg mengeluarkan produk silika dan bermacam-macam gred untuk pembuatan cat,plastik,coating dan sebagainya.

Akan tetapi syarikat ini akan mengembangkan bisnes untuk mengeluarkan satu lagi gred baru dan akan di jual ke kilang membuat arak kerana tujuan silika gred ini
sebagai bahan penapisan dalam pembuatan arak.

Soalan saya :
1. Apakah hukum bekerja dikilang ini dari bermacam2 jenis gred silika hanya satu gred saya yg di jual untuk pemprosesan arak.

2. Adakah sumber pendapatan saya dikira HARAM.

Diharapkan ustaz dapat memberi penjelasan yg seadilnya kerana kami yg majoriti muslim bekerja di sini amat memerlukan jawapan dari ustaz.

Terimakasih
adham berkata…
mohon mengambil hasil nukilan utk disebarkan kepada umum...
Achik Business berkata…
Assalamualaikum ustaz,

Baru2 ini saya menerima tempahan kuih dari seorang non muslim, setelah confirm order beliau memberi alamat lengkap beliau. Saya tidak sangka pesanan tersebut adalah dari premis 'Restoran Bar' di Bukit Bintang.
Mulanya saya tiada perasaan was-was untuk memenuhi pesanan tersebut kerana kuih yang saya iklankan di internet dengan ayat "Tartlet Shell HALAL".
Setelah jual beli selesai, suami menahan saya menggunakan wang tersebut kerana katanya saya umpama menyokong perniagaan mereka...
Minta pendapat Ustaz halal haram wang hasil jualan saya kepada tempat yang haram seperti BAR, PUB dan sebagainya

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...