Langkau ke kandungan utama

HUKUM BUTIK YANG MENJUAL PAKAIN MENDEDAH AURAT

Soalan; A'kum.. Saya yang msih perlukan tunjuk ajar...  kepada yang berkaitan, saya ingin menujukan soalan berkaitan pendapatan iaitu :-
1. Apakah hukum pendapatan prniagaan butik atau upah jahit pakaian perempuan yang adekalanye mendedahkan aurat.
2. Adakah terdapat cara-cara membersihkan pendapatan yang kurang berkat? Jika kalau ade, mohon untuk menyatakannye.
Sekian, A'kum.

Jawapan;

1. Pekerjaan menjual pakaian dan mengambil upah menjahit pakaian adalah pekerjaan yang harus pada asasnya dan pendapatan yang diperolehi darinya adalah halal. Namun menjual atau menjahit pakaian yang mendedah aurat merupakan suatu dosa kerana membantu orang lain melakukan perkara yang dilarang Allah (iaitu mendedahkan aurat). Di dalam al-Quran, Allah melarang kita membantu perkara dosa di mana Ia berfirman; "Saling bertolonganlah kamu dalam melakukan kebaikan dan takwa dan janganlah kamu saling bertolongan dalam melakukan perkara dosa dan permusuhan" (al-Quran). Jika keseluruhan atau sebahagian besar pakaian di dalam kedai adalah yang mendedah aurat, haramlah keseluruhan pendapatan yang diperolehi kerana ia adalah tukaran kepada barang yang diharamkan Allah (yakni harga bagi produk yang dilarang agama). Namun jika sedikit sahaja terdapat pakaian yang mendedahkan aurat, pendapatan dari kedai itu tidaklah keseluruhannya haram, namun kewujudan pakaian yang mendedahkan aurat itu menyebabkan pendapatan itu menjadi syubhah kerana bercampur dengan yang haram. Bahagian yang haram itu hendaklah dibersihkan dengan disedekah kepada fakir miskin atau kepada kemaslahatan umum kaum muslimin. Namun seorang muslim tidak boleh berterusan membiarkan diri berada dalam dosa dan bergelumang dengan yang haram. Oleh demikian, ia hendaklah berhenti segera dari menjual pakaian yang mendedahkan aurat itu, bertaubat kepada Allah dan berpada dengan yang halal dalam mencari rezki Allah. 
 
2. Jika kita mengetahui dalam pendapatan kita selama ini bercampur dengan yang haram (yakni terdapat sebahagian darinya datang dari sumber yang haram), wajiblah kita membersihkan bahagian yang haram itu dengan kita menolaknya dari pendapatan kita (atau mengeluarkannnya dari akaun kita) dan diberikan kepada salah satu dari pihak berikut;
a) Fakir dan miskin
b) Kemaslahatan umum kaum muslimin; seperti sekolah, masjid, rumah-rumah kebajikan, pembinaan tempat-tempat awam dan sebagainya yang berkait dengan  kegunaan umum kaum muslimin. 
 
Tidak harus wang/harta haram dibelanjakan untuk kegunaan peribadi kita atau orang-orang yang mempunyai hubungan khusus dengan kita (kaum keluarga dan sebagainya) kerana wang/harta haram itu bukanlah milik kita, maka wajiblah kita pulangkan kepada Allah dengan memberinya kepada fakir/miskin atau kaum muslimin agar kita bebas dari tanggungan harta haram itu di akhirat nanti.

Wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...