Langkau ke kandungan utama

MENCUIT IMAM

Soalan; Assalamualaikum. Ustaz, di sini saya ada beberapa soalan.
1- Bolehkah ustaz berikan dalil (sama ada dari Al-Quran, sunnah atau pendapat ulama) ttg amalan mencuit orang yang sedang solat setelah duduk dibelakangnya untuk solat, dengan niat supaya dia berniat menjadi imam sebagaimana yang diamalkan dlm masyarakat kita. Adakah boleh dilakukan amalan tersebut, jika boleh adakah amalan mencuit itu dilakukan sebelum atau selepas mengangkat takbir? Sekian.

Jawapan;

Merujuk kepada hadis-hadis, tidaklah ditemui amalan mencuit itu. Hadis-hadis yang menceritakan para sahabat yang datang bersolat di belakang Nabi ketika baginda solat bersendirian tidaklah pula menceritakan mereka mencuit Nabi -atau melakukan sebarang isyarat yang lain- untuk memberitahu Nabi bahawa mereka turut solat di belakangnya. Di dalam Soheh Imam al-Bukhari, terdapat hadis dari Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Aku bermalam di rumah ibu saudaraku (iaitu Maimunah, salah seorang isteri Nabi). Apabila tiba tengah malam, Nabi bangun mengerjakan solat malam. Aku turut bangun mengerjakan solat bersama beliau. Aku berdiri di sebelah kirinya, namun beliau memegang kepalaku dan mengalihkanku ke sebelah kanannya” (Soheh al-Bukhari, juz 1, kitab al-Jamaah wa al-Imamah, bab Iza Lam Yanwi al-Imam an Ya-ummu tsumma ja-a al-qaumu).

Di dalam hadis di atas, Nabi mulanya solat bersendirian, kemudian datang Ibnu ‘Abbas menjadi makmum di belakangnya. Imam al-Bukhari yang merekod hadis ini dalam sohehnya memberi tajuk kepada hadis ini “Bab apabila imam tidak berniat menjadi imam, kemudian datang orang mengerjakan solat di belakangnya”. Kita perhatikan Ibnu ‘Abbas ketika hendak menjadi makmum kepada Nabi itu, beliau tidaklah memberi sebarang isyarat kepada Nabi. Selain itu, tidak ada hadis yang menegaskan bahawa Nabi memerintah berbuat demikian.

Timbul persoalan; adalah harus seorang yang asalnya solat bersendirian berubah menjadi imam? Kemudian, adakah ia wajib mengubah niatnya? Adakah sah solat berjamaah makmum jika imam yang diikutinya tidak berniat menjadi imam (sama ada dengan sengaja atau kerana tidak mengetahui ada orang solat di belakangnya)? Persoalan-persoalan di atas sebenarnya kembali kepada satu persoalan sahaja; adakah menjadi syarat untuk sahnya solat berjamaah imam mesti berniat menjadi imam? Para ulamak berbeza pandangan dalam menjawab persoalan ini;

1) Jumhur ulamak (termasuk Imam Malik, Imam as-Syafiie, Imam Abu Hanifah) berpandangan; Tidak disyaratkan imam berniat menjadi imam untuk sahnya solat berjamaah. Dalam ungkapan lain; solat jamaah tetap sah sekalipun orang yang menjadi imam tidak berniat menjadi imam. Yang disyaratkan ialah orang yang menjadi makmum ia wajib berniat mengikut imam, jika tidak batallah solatnya.[2]

2) Imam Ahmad dalam satu pandangannya; wajib imam berniat menjadi imam. Jika tidak, tidak terhasillah solat jamaah. Dalam pandangan yang lain (yakni riwayat yang lain darinya), beliau membezakan antara solat fardhu dan solat sunat; dalam solat fardhu wajib imam berniat menjadi imam. Adapun dalam solat sunat, tidak wajib.

Jadi berdasarkan pandangan jumhur ulamak, tidak menjadi halangan untuk seorang yang asalnya solat bersendirian untuk berubah menjadi imam kerana tidaklah disyaratkan untuk sahnya solat berjamaah orang yang menjadi imam ia mesti berniat menjadi imam. Apabila kita solat di belakang seseorang dengan berniat menjadi makmum kepadanya, solat kita adalah sah dan kita akan mendapat pahala solat berjamaah sekalipun imam kita itu tidak berniat menjadi imam. Namun menurut mazhab Imam Ahmad; perkara tersebut tidak harus (yakni tidak harus orang yang solat sendirian berubah menjadi imam) kerana menurut pandangan mereka; imam wajib berniat menjadi imam (dari awal solat hingga ke akhirnya). Oleh kerana ia mula solat tanpa niat menjadi imam, tidak haruslah kita mengerjakan solat berimamkannya.

Walau bagaimana pun, menurut mazhab Syafiie; Sekalipun imam tidak wajib berniat menjadi imam, disunatkan ia meniatkannya agar ia turut mendapat pahala solat berjamaah. Tanpa berniat menjadi imam, ia tidak akan mendapat pahala solat berjamaah sekalipun makmum di belakangnya memperolehinya.[2] Berdasarkan factor inilah timbul keperluan untuk mencuit imam –atau melakukan sebarang isyarat yang lain- untuk memberitahunya bahawa ada orang ingin solat dibelakagnya agar ia berniat menjadi imam (dan turut mendapat pahala jamaah). Menurut fatwa dalam laman as-Syababah al-Islamiah (islamweb.com); harus memberi memberi isyarat kepada imam itu sebelum kita masuk solat (yakni sebelum takbiratul-ihram) atau selepasnya. Namun yang terbaik ialah memberi isyarat sebelum masuk solat lagi agar imam dapat berniat menjadi imam lebih awal dan lebih panjang pahala jamaah yang diperolehinya.[3](Fatwa nombor 72240).

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Walau bagaimanapun, Imam Abu Hanifah membezakan antara makmum lelaki dan makmum wanita; jika imam lelaki dan makmum juga lelaki, tidak disyaratkan imam berniat menjadi imam. Namun jika makmum di belakang adalah wanita, wajiblah imam berniat menjadi imam.

[2] Sebenarnya terdapat tiga pandangan dalam mazhab Syafiie dalam masalah; Adakah imam akan mendapat pahala solat jamaah jika ia tidak berniat menjadi imam?;
a) Pandangan pertama; ia tidak mendapatnya kerana ia tidak meniatkannya. Pandangan ini adalah paling kuat (asah) dan paling masyhur dalam mazhab Syafiie.
b) Pandangan kedua; ia turut mendapatnya kerana pahala jamaah itu diperolehi oleh makmumnya, maka akan turut diperolehi olehnya kerana ia adalah imam mereka.
c) Pandangan ketiga iaitu dari al-Qadhi Husain (salah seorang ulamak besar mazhab Syafiie); hendaklah dibezakan antara dua keadaan;
i) Jika ia mengetahui kehadiran makmum di belakangnya, namun ia tidak berniat menjadi imam, ia tidak mendapat pahala jamaah.
ii) Jika ia tidak mengetahui kehadiran mereka seperti seorang yang solat sendirian, kemudian datang sekumpulan orang menjadi makmum di belakangnya (tanpa ia mengetahuinya, menyebabkan ia tidak berniat menjadi imam), bagi keadaan kedua ini ia akan turut mendapat pahala jamaah sekalipun tidak meniatkannya kerana terhasilnya solat berjamaah bagi makmum di belakangnya adalah dengan sebabnya.
(Rujuk; al-Majmu’ (Imam an-Nawawi), 4/201 (Bab Solat a-Jama’ah) dan Raudhatu at-Thalibin (Imam an-Nawawi),

[3]Menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; imam akan mendapat pahala jamaah bermula dari saat ia berniat menjadi imam. Jadi, solatnya sebelum ia berniat menjadi imam tidak akan mendapat pahala jamaah. (lihat; Mughni al-Muhtaj, 3/285).

Rujukan;

1. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, juzuk 2 (hlm. 41), kitab al-Jamaah wa al-Imamah, bab Iza Lam Yanwi al-Imam an Ya-ummu tsumma ja-a al-qaumu.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, juzuk 5 (hlm. 108), kitab as-Solah.
3. Al-Hawi Fi Fiqh as-Syafi’ie, Imam al-Mawardi, juzuk 2 (hlm. 349), kitab as-Solah, bab Mauqif Solati al-Makmumi ma’a al-Imami.
4. Raudhatu at-Thalibin, Imam an-Nawawi, juzuk 1 (hlm. 471), fasl Fi Syurut al-Iqtida’ wa Adaabuhu.
5. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syirbini, juzuk 3 (hlm. 285), fasl Syart al-Qudwah.
6. Fatwa di laman (islamweb.com), no. 72240, 59327, 22773, 5287, 35075
7. Multaqa Ahlul-Hadith (http://www.ahlalhdeeth.com/vb/archive/index.php/t-5870.html).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...