Selasa, 28 Ogos 2012

HUKUM ISTERI MINTA CERAI

Soalan; asmkwbt Ustaz; apakah hukumnya seorang wanita meminta "dilepaskan" daripada suaminya.
(berdosa atau haram?). semoga jawapan ustaz dapat menenangkan hati dan perasaan saya. terima kasih

Jawapan;

Terdapat sabda Nabi SAW (bermaksud); "Mana-mana wanita (isteri) meminta cerai dari suaminya tanpa ada suatu desakan, haram ke atasnya mencium bau Syurga(yakni akan ditegah dari mencium bau Syurga)" (HR Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Tsauban RA. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan. al-Jami' as-Saghier, no. hadis; 2944).

Dari hadis di atas kita memahami bahawa; sengaja meminta penceraian dari suami hukumnya adalah haram dan berdosa. Namun jika ada ada desakan atau sebab yang munasabah, hukumnya adalah harus. Menurut ulamak; contoh desakan ialah; suami yang zalim, suka mendera isteri, tidak memberi nafkah dan mengabaikan tanggungjawab atau sebagainya. Atau isteri merasakan tidak upaya lagi menunaikan tanggungjawab kepada suami jika kekal bersama. Kerana itu, diharuskan khulu' (tebus talak) iaitu isteri meminta suami menceraikannya dan berjanji memberinya suatu bayaran atau mengembalikan mas kahwinnya.

Ibnu 'Abbas RA menceritakan; Isteri kepada Tsabit bin Qies telah datang kepada Nabi SAW (untuk menyatakan hasratnya meminta cerai dari suaminya). Ia berkata kepada Nabi SAW; "Ya Rasulullah SAW, aku ingin meminta cerai dari Tsabit (suamiku) bukan kerana aku mencela agamanya dan akhlaknya, akan tetapi aku bimbang menjadi kufur (engkar)(*yakni kufur dalam pengertian engkar hak/kewajipan terhadap suami atau memilih untuk kufur (murtad) supaya terfasakhnya nikah)". Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya; "Sanggupkah kamu mengembalikan tanah kebun yang ia berikan kepadamu sebagai mas kawin ketika perkahwinan kamu dulu?". Ia menjawab; "Ya, aku sanggup". Ia pun mengembalikan tanah kebun itu. Rasulullah lalu berkata kepada Tsabit; "Ceraikanlah dia". (HR Imam al-Bukhari. Soheh al-Bukhari, 5276).

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...