Langkau ke kandungan utama

MASALAH MUNTAH/JELUAK BAYI

Soalan; Saya ada soalan ustaz, mengikut mazhab maliki, muntah yg sedikit adalah najis yang dimaafkan dan dibolehkan dibawa dlm sembahyang. Soalan saya, adakah boleh saya berpegang pada mazhab maliki dalam bab2 najis yg dimaafkan ini kerana amat merumitkan saya kerana saya mempunyai bayi kecil yg sering muntah / jeluak dan saya sentiasa terpaksa membersihkan muntah/jeluak tersebut walaupun sedikit. Sedikit dalam mazhab maliki adalah selebar titik hitam pada wang dirham. Apakah yg dimaksudkan itu ya ustaz? Mohon pencerahan dan terima kasih byk2 atas bantuan ustaz.

Jawapan;

Muntah adalah najis mengikut pandangan jumhur ulamak termasuk mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) kerana ia adalah makanan yang melalui proses pengubahan dalam perut, maka ia menyamai tahi. Kerana itu, pakaian yang terkena muntah, wajib dibasuh sebelum dipakai ketika solat. Namun, para ulamak menegaskan; najis dimaafkan jika kadarnya sedikit. Menurut mazhab Hanafi; kadar sedikit itu ialah yang kurang dari kadar saiz 1 dirham (iaitu kira-kira sebesar duit 5 sen). Ia dimaafkan, yakni tidak wajib membasuhnya sebelum memasuki solat. Khusus mengenai muntah anak kecil, Imam Najmuddin an-Nasafi (ulamak mazhab Hanafi) berkata dalam fatwanya; “Anak kecil yang menyusu, kemudian muntah mengenai pakaian ibunya, jika muntah itu memenuhi mulut, ia adalah najis. Maka jika kadarnya melebihi satu dirham, ditegah mengerjakan solat dengan memakai pakaian tersebut”. Dari fatwa ini kita dapat memahami bahawa, muntah anak kecil jika kadarnya sedikit (kurang dari saiz satu dirham), dimaafkan dan harus memakai pakaian yang dikenainya untuk mengerjakan solat.

Menurut mazhab Syafiie; ukuran banyak atau sedikit najis itu bergantung kepada pandangan ‘uruf (yakni pandangan menurut kebiasaan). Jika najis yang mengenai badan atau pakaian itu di dianggap sedikit oleh kebiasaan orang sekeliling yang melihatnya, ia dikira sedikit dan dimaafkan. Jika dianggap banyak, maka ia adalah banyak dan tidak dimaafkan. Menurut mazhab Hanbali; ukuran sedikit atau banyak itu kembali kepada pandangan hati sendiri. Jika hati merasai kotor dan menjijikkan kerana kadarnya telah melampaui had, maka ia dikira banyak. Jika hati tidak merasai begitu, ia masih dikira sedikit dan dimaafkan.

Menurut mazhab Syafiie juga; najis turut dimaafkan jika sukar dielakkan, walaupun najis itu banyak. Contohnya; darah pijat, kutu dan nyamuk, darah dari bisul, jerawat, luka, kudis, tempat bekam dan sebagainya. Khusus tentang muntah, ulamak mazhab Syafiie menegaskan; jika seseorang itu menghadapi kesukaran berdepan dengan muntahnya (kerana selalu muntah), dimaafkan muntah yang mengenai badan atau pakaiannya sekalipun muntah itu banyak. 

Menurut mazhab Maliki, muntah hanya dikira najis jika keluarnya dalam keadaan telah berubah dari rupa makanan (yakni ia tidak nampak lagi rupa makanan). Sekiranya yang keluar itu masih berupa makanan, ia tidaklah najis. Adapun di sisi mazhab-mazhab selain tadi; semua jenis muntah adalah najis asalkan ia keluar dari perut, sama ada yang keluar masih berupa makanan atau tidak lagi berupa makanan.

Segelintir ulamak (antaranya Imam as-Syaukani) berpandangan; muntah keseluruhannya tidaklah najis kerana tidak ada sebarang dalil yang menegaskannya sebagai najis, oleh itu ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci (kaedah Fiqh menegaskan; asal semua benda di atas muka bumi ini adalah suci selagi tidak terdapat nas yang soheh yang menyatakan kenajisannya).

Kesimpulannya, muntah (termasuk muntah bayi) adalah najis menurut jumhur ulamak. Namun ia dimaafkan jika kadarnya sedikit dan sukar dielakkan. Merujuk kepada soalan; jeluak bayi yang mengenai pakaian ibu dimaafkan selama ia sedikit. Adapun jika telah banyak, ia tidak dimaafkan, maka wajiblah dibasuh pakaian tersebut sebelum mengerjakan solat. Namun jika ibu mengalami kesukaran hendak membasuhnya setiap kali hendak solat (seperti anak terlalu kerap jeluak), dimaafkan kerana kaedah fiqh ada menyebutkan; al-masyaqqah tajlibu at-taysir (keadaan kepayahan mengizinkan untuk mengambil kemudahan).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.      Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/85.
2.      Mughni al-Muhtaj, 1/112, 267-268.
3.      Al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah), 2/54.
4.      Kifayat al-Akhyar, hlm. 92.
5.      Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, Husain bin ‘Audah al-‘Awayisah, 1/59.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...