Langkau ke kandungan utama

WAKAF TANAMAN DI ATAS TANAH MILIK KERAJAAN

Soalan;  Assalamualaikum Ustaz. Mohon jawab persoalan ini. Di sebuah institusi milik kerajaan, pihak majikan telah menanam pokok kelapa sawit di atas tanah insitusi tersebut (tanah milik kerajaan) untuk diwakafkan hasilnya kepada mereka yg memerlukan, di mana kos untuk mendapatkan pokok kelapa sawit tersebut di kutip dari kakitangan-kakitangan yg bekerja di insitusi itu. Adakah sah wakaf seperti ini? Jika sah, pahala dari amalan wakaf seperti ini diperolehi oleh siapa kerana tanahnya milik kerajaan, pokoknya milik kakitangan yg bertugas di situ? Bagaimana jika kerajaan mengambil semula tanahnya atau tidak bersetuju untuk ditanam apa-apa tanaman di atasnya?
Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie; wakaf pokok/tanaman yang tidak putus hasil atau manfaatnya adalah sah seperti pokok buah-buahan, pokok haruman dan sebagainya. Jika pokok wakaf itu ditanam di atas tanah orang lain, hendaklah dengan kebenaran pemilik tanah unuk tujuan tersebut.

Di dalam Kitab Minhaj al-Tullab, pengarangnya (iaitu Syeikhul-Islam Zakaria al-Ansari) menyatakan; "(Antara wakaf yang sah) ialah binaan (yang dibina) dan pokok yang ditanam di atas suatu tanah dengan kebenaran" (1/286).

Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, dinyatakan; "Jika seseorang mewakafkan satu binaan atau pokok yang ditanam di atas tanah yang disewa (kepadanya) atau dipinjamkan (kepadanya) untuk tujuan tersebut (yakni tujuan binaan dan penanaman pokok), maka mengikut pandangan yang ashah (yakni pandangan yang terkuat dari fuqahak mazhab Syafiie); harus wakaf tersebut sama ada wakaf itu dilakukan sebelum tamat tempoh (sewaan atau pinjaman) atau selepasnya (asalkan binaan atau pokok telah ada di atas tanah tersebut). Harus (sah)nya wakaf tersebut adalah kerana keduanya (yakni binaan dan pokok) itu adalah harta milikan yang boleh dimanfaatkan dengan kekal 'ainnya (yakni tidak habis dengan penggunaan). Memadai dengan kekal 'ain itu hingga ke waktu ia akan dicabut apabila tamat tempoh sewaan atau pemberi pinjaman menarik balik tanahnya nanti (untuk dianggap sah wakaf terbabit). Muqabil Ashah (yakni pendapat bertentangan dengan pandangan terkuat tadi) berkata; "Ditegah wakaf tersebut (yakni tidak sah) kerana ia terdedah kepada cabutan/penanggalan (apabila tamat tempoh sewaan nanti), maka seolah-olah orang terbabit mewakafkan benda yang tidak boleh diambil manfaat darinya". Perlu diingatkan; Keharusan mewakafkan binaan atau pokok yang berada di atas tanah sewaan atau pinjaman tadi adalah sekiranya binaan atau pokok tersebut dilakukan sebelum tempoh sewaan tamat atau sebelum pemberi pinjam menarik kembali tanahnya. Adapun jika binaan dibuat atau pokok ditanam setelah tempoh sewaan tamat atau pemberi pinjam mengambil kembali tanahnya, tidak sah wakaf tersebut kerana binaan atau pokok tadi diletakkan di atas tanah tersebut tanpa kebenaran. Maka ia merujuk kepada kenyataan yang disebut oleh Syeikh Zakaria tadi" (Mughni al-Muhtaj, Syeikh al-Khatib as-Syirbini, 2/512,531. Penaqalan secara mafhum serta ringkasan).

Merujuk kepada soalan yang ditanya;

1. Mewakafkan pokok yang ditanam di atas tanah kerajaan sah jika tanaman di atas tanah tersebut mendapat keizinan dari kerajaan atau orang yang diberi mandat oleh kerajaan untuk menguruskan tanah tersebut.

2. Wakaf tersebut dilakukan oleh orang yang memiliki pokok tersebut (yakni oang yang mendapat kebenaran dari kerajaan untuk menanamnya di atas tanah kerajaan) kerana wakaf tidak sah melainkan dari pemilik harta yang diwakafkan. Mak pahala dari wakaf itu diperolehi oleh orang yang memiliki pokok-pokok tersebut.

3. Penaman dilakukan semasa tempoh kebenaran masih ada. Jika penanaman dibuat setelah tamat tempohnya, tidak sah pokok-pokok itu diwakafkan kerana penamannya berlaku tanpa kebenaran pemiliknya.

Wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...