Langkau ke kandungan utama

ADAKAH SYURGA BERPINDAH KE BAWAH TAPAK KAKI SUAMI SETELAH BERKAHWIN?

Soalan; Assalamualaikm w.b.t. Saya ade soalan mengenai syurga bagi seorang wanita. Semua tahu yang syurga bagi anak lelaki adalah dibawah tapak kaki ibu, yang wanita pula, sebelum berkahwin syurganya dibawah tapak kaki ibu mereka tetapi bila sudah berkahwin, syurga mereka dibawah tapak kaki suami mereka, betul? Betulkan saya jika saya salah. Disini saye mempunyai situasi yang memusykilkan saya. ade seorang individu ini,seorang wanita dan beliau sudah berkahwin,dan yang menghampakan dan memusykilkan kepala saya, sesudah berkawin, tingkah laku,perbuatan,perangainya terhadap ibu nya sangat tidak ber adab dan sangat "kurang ajar". dan apabila saya bertanya kepadanya,mengapa beliau berbuat demikian sedangkan ibunya melayannya dengan penuh kasih sayang,ibunya menangis setiap hari dan perkara itu sangat menyentuh hati saya,dan jawapan beliau terhdap soalan saya tadi ialah beliau berkata bahawa "syurga aku dibawah tapak kaki suami,bukan tapak kaki ibu lagi" saya sangat kasihan akan ibunya. Adakah boleh sebegitu tindakan wanita tadi? ataupun ade solution disebalik permasalahan ini dan hukum bagi situasi tersebut,saya harap ustaz dapat meleraikan kekusutan saya ini. Wasalam.

Jawapan


Bismillah walhamdulillah wassolatu ala rasulillah.

Kawan saudara itu telah tersalah ilmu tentang hakikat sebenarnya. Seorang anak (lelaki atau wanita) tetap wajib menghormati ibu-bapanya, wajib berbakti kepada mereka, menjaga silaturrahim dengan mereka, mendoakan mereka dan menafkahi mereka (jika mereka miskin) sekalipun dia telah berkahwin. Hanya jika bertembung antara perintah suami dan perintah ibu-bapa, maka perintah suami wajib didahulukan kerana haknya lebih besar. Hal itu tiada kaitan dengan kewajipan-kewajipan terhadap ibu-bapa yang mesti diteruskan sekalipun telah berkahwin.

Firman Allah (bermaksud); “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa” (Surah al-Isra’, ayat 23).

 “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya…” (Surah Luqman, ayat 14).

“…bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu” (Surah Luqman, ayat 14).

“…maka janganlah engkau berkata kepada kedua ibu-bapamu (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)…” (Surah al-Isra’, ayat 24).

“…Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua ibu-bapamu kerana belas kasihan dan kasih sayangmu…” (Surah al-Isra’, ayat 24).

“…dan doakanlah (untuk kedua ibu-bapamu, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” (Surah al-Isra’, ayat 24).

Sekalipun telah berkahwin, perintah Allah dalam ayat-ayat di atas terus berjalan dan wajib dipatuhi oleh anak sama ada lelaki atau perempuan. Tidak harus sama sekali menderhakai mereka kerana Nabi SAW bersabda; "Dosa-dosa paling besar ada empat;
1. Mensyirikkan Allah,
2. Menderhakai dua ibu-bapa,
3. Membunuh
4. Bersaksi palsu"
(Soheh al-Bukhari; 2653, dari Anas RA).

Kesimpulannya, sekalipun telah berkahwin, seorang anak perempuan tetap wajib menghormati ibu-ayahnya, menghubung silaturrahim dengan mereka, merendah diri di hadapan mereka, berbaik dengan mereka dan berbakti kepada mereka mengikut kemampuannya. Tidak boleh sekali-kali bersikap biadap dengan mereka atas alasan telah berkahwin. Ayat-ayat Allah tadi yang memerintahkan anak agar berbuat baik kepada ibu-bapa, berterima kasih kepada mereka, menjaga tutur kata dengan mereka dan merendah diri kepada mereka, ayat-ayat tersebut tiada siapa dapat mengubahnya termasuk suami. Sampai bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.

Sabda Nabi SAW; “Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang baik. Lihat; al-Muntaqa, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hadis no. 1475).

Sabda baginda juga; “Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).

Wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...