Langkau ke kandungan utama

BERJIMAK KETIKA DALAM ‘IDDAH



Soalan; Assalammualaikum ustaz..Saya nak bertanya jika seorang isteri telah diceraikan dan semasa dalam eddahnya dia masih bersama lagi dengan suaminya apakah hukumnya dan adalah itu dikira suami sudah rujuk kepada isterinya semula. Oleh yang demikian isteri takut untuk memberitahu sesiapa dan selepas eddah barulah isteri barani menyuarakannya.. apakah hukumnya ustaz? Mohon jawapan dari ustaz.

Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie; rujuk mesti dengan ucapan rujuk dari suami. Tidak sah niat rujuk tanpa ucapan rujuk. Begitu juga tidak sah rujuk dengan perbuatan (iaitu mensetubuhi isteri atau sebagainya). Jadi menurut mazhab Syafiie; berjimak ketika dalam 'iddah tidak dikira sebagai rujuk dan perbuatan tersebut adalah dosa besar kerana melakukan jimak setelah penceraian dan belum merujuk[1]. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami; “Antara dosa besar ialah mensetubuhi isteri yang ditalak raj’ie sebelum merujuknya bagi orang yang meyakini keharamannya” (az-Zawajir, dosa besar ke 284). Turut diharamkan ialah melihat auratnya, menyentuhnya dan berdua-duaan dengannya. Oleh itu, suami hendaklah keluar dari rumah apabila ia menceraikan isterinya kecualilah jika rumahnya besar dan ada mahram isterinya yang tinggal serumah di mana mahram itu disegani oleh suami, maka haruslah suami tetap tinggal di dalam rumah yang sama.

Kecualilah jika seseorang itu bertaqlid dengan mazhab Hanafi, di mana menurut mazhab Hanafi;  rujuk boleh dengan ucapan dan boleh juga dengan perbuatan (iaitu mensetubuhi, mencium, menyentuh, melihat dan sebagainya). Apabila seorang suami mensetubuhi isteri yang dicerainya dengan talak raj’ie –dan masih dalam iddahnya-, perbuatannya itu dikira rujuk sama ada ia ada berniat rujuk atau tidak. Begitu juga dengan mencium, menyentuh dan melihat farajnya dengan syahwat (yakni dikira sebagai rujuk).[2] Oleh itu, menurut mazhab Hanafi; ketika dalam iddah suami masih boleh beristimta’ (berseronok) dengan isteri yang dicerainya –cerai talak raj’ie- atau berduaan dengannya (tinggal serumah) atau menyentuhnya atau melihat auratnya, kerana selagi belum tamat iddah ia masih dalam hukum isteri di mana suami berkuasa merujuknya pada bila-bila masa tanpa perlu persetujuannya. Dengan berlaku perbuatan-perbuatan tersebut (dengan disertai syahwat) terhasillah rujuk secara otomatik.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/355, kalimah; ‘iddah’.
2. at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 75 dan 80.
3. az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami, 2/52.
4. Hasyiyah al-Bajuri, 2/155.


[1] Akad nikah mengharuskan istimta’ (berseronok dengan isteri), sedang penceraian (talak) pula membatalkannya, kerana itu diharamkan beristimta’ dengan isteri yang diceraikan semasa dalam iddahnya sebelum ia dirujuk (at-Talaq, Dr. Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 75).
[2] Namun melakukan perbuatan-perbuatan tersebut tanpa niat rujuk hukumnya adalah makruh tanzih (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 29/355).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...