Soalan; Askm ustaz. Saya ada satu
persoalan berkaitan dgn org yg sedang nazak sakit dan org mati. Soalan saya.
Kemana kah arah kaki org yg tersebut di atas sepatutnya hendak dihalakan,
ketika sesorang itu sedang sakit atau pun meninggal dunia, adakah hendak
dihalakan kaki ke arah kiblat ataupun sebaliknya. Saya minta ustaz tolonglg
huraikan kepada saya, berserta dgn hadis dan nas2 berkaitan soalan saya
tersebut, kerana ada sedikit percanggahan pendapat berkaitan hal ini. Terima
kasih..Askm.
Jawapan;
1. Mengalihkan orang
yang sedang nazak (hampir mati) ke arah qiblat –apabila nampak tanda-tanda
hampir mati padanya[1]- adalah
sunat dengan sepakat para ulamak kerana qiblat adalah arah yang paling baik sebagaimana
sabda Nabi SAW; “Sesungguh bagi
setiap perkara ada yang terbaik/paling utama. Sesungguhnya yang terbaik bagi
segala kedudukan ialah yang menghala ke arah qiblat” (Al-Mu’jam al-Ausat,
Imam at-Tabrani; 2354, dari Abu Hurairah RA. Status hadis; menurut al-Haitsami
dan al-Munziri; isnadnya hasan. Lihat; Faidhul Qadier; 2421).
Diriwayatkan dari
Abi Qatadah RA yang menceritakan; Ketika Nabi SAW tiba di Madinah baginda
bertanya tentang al-Bara’ bin Ma’rur. Orang ramai menjawab; ‘Ya Rasulullah, dia
telah meninggal. Dia memesankan agar 1/3 dari hartanya diserahkan kepadamu.
Ketika sedang nazak dia memesankan agar dialihkannya ke arah qiblat’. Nabi SAW
menjawab; “Dia telah menepati fitrah. Aku pulangkan 1/3 hartanya itu kepada
anaknya”. Kemudian Nabi SAW pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya. Baginda
berdoa untuknya; “Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia dan masukkanlah dia
ke dalam syurgaMu. Sesungguhnya Engkau telahpun melakukannya” (Mustadrak al-Hakim;
1305. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 6604. Status hadis; menurut al-Hakim;
hadis ini soheh. Az-Zahabi menyetujuinya).
Diriwayatkan dari
Saidina ‘Umar RA bahawa ia memesan anaknya; ‘Apabila aku hampir meninggal,
alihkanlah aku ke arah qiblat’. Pesanan yang sama juga ada diriwayatkan dari
Saidina ‘Ali RA (al-Fawakih ad-Dawani, 1/283).
2. Namun perkara
ini tidaklah perlu dititik-beratkan sangat jika memayahkan orang yang sedang
sakit itu atau orang lain (kerana rumah sempit dan sebagainya). Sa’id bin
al-Musayyab (seorang Tabi’in terkenal) semasa beliau sakit, orang ramai ingin
mengubah kedudukannya. Ia bertanya mereka; ‘Apa yang ingin kamu semula lakukan
terhadapku?’. Mereka menjawab kepadanya; ‘Kami ingin mengubah kedudukanmu agar
menghadap ke arah qiblat’. Ia menjawab; ‘Bukankah aku dari dulu lagi berada di
atas qiblat (yakni berada di atas agama Islam) hinggalah ke hari ini?’
(al-Mughni, Ibnu Qudamah; 2/286).
Berkata Ibnu Hazm; jika dapat diarahkan ke arah qiblat, elok
dilakukan. Jika tidak, tidak mengapa mengadap ke manapun kerana Allah berfirman
(bermaksud); “Ke mana pun kamu mengadap, di situlah wajah Allah” (surah
al-Baqarah, ayat 115). Berkata as-Sya’bi; ‘(Ketika nazak atau baru kematian) kamu
boleh sama ada ingin mengalihkannya ke arah qiblat atau tidak mahu mengalihnya.
Namun di dalam kubur, pastikan ia mengadap ke qiblat…” (al-Muhalla, Ibnu Hazm,
3/405).
3. Adapun cara menghadapkannya ke arah qiblat itu ada dua
cara;
a) Membaringkannya di atas rusuk kanan dengan muka dan
dada menghadap ke arah qiblat, iaitu sebagaimana kedudukan mayat dalam kubur.
Jika tidak dapat di atas rusuk kanan, di atas rusuk kiri dengan muka dan dada ke
arah qiblat.
b) Atau; membaringkannya di atas belakang dengan kaki
mengadap ke kiblat dan kepala ditinggikan sedikit (iaitu dengan meletakkan
lapik dibawahnya) supaya muka kelihatan mengadap ke qiblat.
Mana-mana satu dari dua cara di atas boleh dilakukan.
Namun para ulamak khilaf pada menentukan mana yang terbaik. Jumhur ulamak
(merangkumi mazhab Maliki, Hanafi dan kebanyakan ulamak mazhab Syafiie)
menyukai cara (a). Jika tidak boleh cara (a), baru cara (b). Imam Abu Muhammad
al-Juwaini dan Imam al-Ghazali menyukai cara (b). Berkata; Imam al-Haramain;
cara (b) lah yang biasa dilakukan manusia. (Rujukan; al-Majmu’, Imam an-Nawawi,
5/116. Hasyiyah al-‘Adawi, 1/407).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116.
2. Hasyiyah al-‘Adawi, Abul Hasan al-‘Adawi al-Maliki, 1/407.
3. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/286.
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/80
(perkataan; ‘ihtidhar’), 10/299 (perkataan ‘tahwil’).
5. al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki,
1/283.
6. al-Muhalla bil Atsar, Ibnu Hazm, 3/405.
[1] Sebelum nampak
tanda-tanda hendak mati, makruh mengalihkannya ke arah kiblat kerana ia
menyakiti orang sakit (al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki,
1/283).
Ulasan